Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Saturday, October 2, 2010

Menyingkap Rahsia 'RAHSIA'

Salamullahi'alaikum...

     Saya kira, sedari kecil lagi kita telah memahami takrifan Rahsia. Bahkan sering diguna pakai dalam dialog seharian. Dalam gurauan mahupun serius, kemungkinan kita akan bertemu sekilas pandang dengan penggunaan makna rahsia ini. Sama ada secara jelas disebutkan bahawa ia adalah rahsia, atau sekadar menggayakan bahasa tubuh. Tanda 'diam' seseorang juga kadang-kadang telah memberi faham kepada kita yang dia sedang berahsia.

     Rahsia adalah rahsia. Siapapun pemegang rahsia itu, ia tetap merasakan perkara tersebut adalah rahsia. Bayangkan kita baru saja dapat hadiah sebentuk cincin yang tinggi nilai harganya dari bonda tercinta. Kita percaya bahawa ia adalah amanah besar dari orang yang paling kita sayang. Jadi, sudah pasti kita akan menyimpannya sebaik mungkin. Seupaya diri mengawal kesuciannya.

     Suatu hari kita menerima panggilan tugas yang penting dan memaksa untuk kita menyerahkan hak penjagaan cincin itu kepada seorang teman. Nyatalah bahawa teman itu adalah seorang yang amat kita percaya. Kita meletakkan kepercayaan yang tinggi padanya, lebih tinggi dari harga sebentuk cincin dan seisinya. Kita berpesan agar dia sesekali tidak memberitahu kewujudan cincin itu kepada orang lain. Maka sekiranya teman kita adalah pemegang rahsia terbaik, sudah tentu kesucian cincin itu takkan tergugat walau dengan cara apa sekalipun.

     Akan tetapi, awas! Jika teman kita itu pembelot, maka akan runtuhlah segalanya. Bermula dari nilaian sebentuk cincin, sehinggalah runtuhnya nilai kasih sayang antara dua teman rapat. Bagai sebuah bangunan lama yang dibom, runtuhan itu akan lesap sekelip mata. Hilang rasa percaya, Derita sepanjang masa. Cincin hilang, sayang terbuang.

     Begitulah analogi ringan yang cuba saya rungkaikan berkenaan dengan hebatnya kuasa Rahsia. Boleh jadi kekuatan rahsia itu ada pada rahsia itu sendiri atau ianya bergantung kepada pemegang rahsia. Tidak dinafikan, kekuatan pemegang rahsia itulah yang terpenting. Diharapkan bahawa pemeganag rahsia itu adalah pagar kejap dan utuh yang sesekali tidak akan merosakkan padi!
Rahsia dalam rahsia

     Saya ingin membawa kalian sama-sama melangkah ke satu lagi tahap. Tingkatan ini sebenarnya adalah rahsia Sang Sufi dan seluruh kerabat Pencinta Sang Agung. Hanya mereka yang benar-benar merasakan Hakikat keWujudan Allah, yang akan RASA rahsia ini. Saya sebagai fakir yang hina, haqir lagi jahil mula berbicara dengan Taufiq  yang  diberikan  oleh Allah Taala. Sekadar bicara untuk mengisi kekosongan ruang pengeTAHUan. Sebaliknya, jika ingin meRASAkan hakikat sebenar rahsia itu, kalian wajiblah berusaha mendekatkan diri pada Allah secekal yang mungkin.
     Dalam soal ini, saya akui memang teramat jahil apatah lagi dengan keupayaan diri yang serba hina ini. Dalam hati, ingin sekali menggapai makna Rahsia itu. Namun saya sedar bahawa usaha ini memerlukan kesungguhan dan istiqamah. Saya masih jauh. Jika kalian sudah mampu melangkah gagah, ingatlah temanmu di sini. “Aku juga ingin dekat dengan Allah. Impian sejak dulu, kini dan selamanya”.

     Rahsia Allah terlalu banyak. Sampaikan mustahil untuk kita membilangnya. Mesin kira yang secanggih mana pun, takkan mampu menghisab betapa besar, hebat, halus, indah dan banyaknya Rahsia Allah. Tingkat Rahsia yang tertinggi adalah Rahsia Allah. Rahsia Allah terhimpun dalam rahsia. Dan rahsia-rahsia itu pula terbuku di dalam sebuah lembaran rahsia. Rahsia di dalam rahsia.

     Contohnya ‘ikhlas’. Pernahkah kita merasakan diri kita benar-benar ikhlas? Saya percaya orang yang benar-benar ikhlas tak mampu untuk mengungkapkan dengan lisan mahupun tulisan, bagaimana bentuk ikhlas. Kehebatan ikhlas dan keindahan ikhlas. Tapi nyata Allah mengetahui segalanya kerana mana mungkin Dia tidak mengerti akan ciptaanNya. Jika kita merasakan ikhlas itu hebat dan indah, maka nyatalah bahawa yang menciptakan ‘Ikhlas’ itu juga punya kehebatan tersendiri dan keindahanNya mengatasi segala isi dunia.

     Betapa terbatasnya pengetahuan manusia. Sehinggakan rahsia yang wujud dalam diri sendiri pun tidak dapat digambarkan. Berbeza dengan Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu yang diciptakanNya. Dia mengetahui rahsia ciptaanNya, juga mengetahui rahsia ZatNya sendiri. Pengetahuan Allah Maha Agung melebihi segalanya. Tak mampu untuk kita fikirkan dan tak terdaya untuk kita titipkan satu persatu dalam mushaf, walau ketebalannya mengatasi gunung tertinggi Dunia.

     Contoh lainnya adalah Alam. Setakat yang kita tahu, alam itu berkisar soal Dunia dan Akhirat. Bagi yang punya ilmu lebih sedikit, pernah jugalah kita dengar berkenaan alam roh, alam rahim, alam barzakh dan seumpamanya. Tapi pernahkan kita mendengar tentang firman Allah dalam Hadis Qudsi:

"Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut dan Jabarut; kerana...
  • •alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
  • •alam Malakut, syaitan bagi orang Arif; 
  • •alam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".
Ada beberapa istilah dan idea-idea yang berkaitan dengannya perlu dimengertikan terlebih dahulu kerana apabila kita mengetahui dan memahaminya,  maka mudahlah  untuk kita mentafsirkan atau menyelongkarkan rahsia-rahsia makna dan kiasan berhikmah yang terdapat dalam Kalimah berhikmah Firman Allah tersebut.  Itupun hanya sebahagian  kecil darinya sahaja sekadar yang direzekikan oleh Allah,  Tuhan Yang Maha Mengetahui.  Selebih dari itu  adalah untuk hamba-hambaNya yang terpilih sahaja dan selebihnya lagi  hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui maksud dan rahsia-rahsianya yang sebenar. "Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran)


Personaliti suka berahsia

     Saya kira cukuplah untuk kita menyelongkar sedikit sebanyak rahsia Allah. Sekadar tahu-tahu tapi mustahil untuk kita TAHU, apa lagi untul RASA. Ini bererti, Allah adalah Maha Rahsia dan Maha Perahsia. Sekarang kita patah balik kepada tajuk perbincangan asal. Akarnya, saya ingin menyimpulkan berkaitan dengan personaliti seseorang. Bagi mengecilkan skop perbincangan, kita cuba selidiki sesetengan individu yang amat gemar menyimpan rahsia. Biasa kita sebut, makhluk yang suka berahsia.

     Setiap individu mempunyai personaliti tersendiri. Saya membawa warna hidup saya. Dan kalian pula pastinya mempunyai warna hidup yang tersndiri. Warna-warna itu pula menyerlahkan aura kehebatannya yang tersendiri dan akan dibawa ke mana-mana. Memukau dan cukup bererti. Apabila diteliti dengan lebih mendalam, rupa-rupanya personaliti diri ini boleh digambarkan walaupun samar-samar. Sebagai contoh melalui tarikh lahir, kita tahu sifat keperibadian seseorang. Maka terjumpalah kita dengan sifat seseorang yang suka berahsia.

     Barangkali, individu yang gemar sekali berahsia itu adalah kita sendiri. Kita merasakan orang lain tidak berhak mengetahui apa yang kita ada, apa yang kita fikir dan apa yang kita rasa. Jika ada teman-teman yang ingin mengetahui rahsia kita, kita menganggap dia adalah penyibuk. Suka jaga tepi kain orang. Bila terasa dipaksa, ingin sahaja kita membuka langkah seribu dan memecut jauh meninggalkan kehidupan manusia. Baginya berkawan dengan binatang, pokok kayu, air dan batu di hutan itu lebih baik. Bebas dari hiruk pikuk ‘dunia’.

     Ada pula yang memiliki personaliti biasa-biasa saja. Baginya, sesetengah perkara itu suka dikongsikan dengan orang lain dan sesetengah lagi cukuplah hanya dia dan Dia yang tahu. Rahsia katanya. Lain pula bagi sesetengah individu yang rela meluahkan apa saja yang dia ada. Baginya tiada rahsia. Dia suka berkongsi cerita, senang membuka topik bual bicara. Jika resah diluahkan, bila senang dikongsikan. Personaliti jenis ini lebih senang hidup dalam kelompok manusia dan orang sekitarnya juga senang dengan kehadirannya.

Berhadapan dengan orang yang kuat berahsia

     Sepanjang perjalanan hidup ini, saya pasti kita jua pernah berhadapan mahupun berkawan dengan individu yang kuat berahsia ini. Saya sendiri mempunyai seorang kawan baik yang suka berahsia. Apa yang saya rasa, saya luahkan padanya kerana saya memang bukan jenis yang suka berahsia. Sehinggakan sekarang, banyak benda yang dirahsiakannya dari saya. Pernah memujuk selembut cara, pernah meminta sekeras daya. Namun usaha saya tidak jua berhasil. Baginya, rahsia itu tetap rahsia. Tinggallah saya bagai terseksa dengan rahsianya. Syukurnya, takdir Allah tetap mengurniakan kesabaran dalam diri saya. Kerenah membuatkan persahabatan kami tersimpul kemas. Bermula dari alam sekolah sehingga sekarang dan harap-harap sampai hembusan nafas yang paling akhir.

     Berhadapan dengan orang yang kuat berahsia juga mempunyai tajuk perbincangan tersendiri. Bagi sesetengah individu (individu A) yang cool and steady,dia akan membawa hidupnya terbang bersama angin. Baginya, hidup hanyalah hidupnya semata-mata. Hal sekeliling yang tiada kaitan dengannya, langsung dihiraukannya. “Suka hati akulah, dunia aku dunia aku...dunia kamu, kamu punya pasal”. Mungkin itu dialog atau monolog dirinya. Orang seperti ini, mungkin bahagia sepanjang masa tapi tidak mustahil orang akan benci padanya.

     Sudut pandang lain pula, ada antara kita yang memang dalam jiwanya dikurniakan rasa simpati dan empati. Emosinya mengatasi fikirnya. Dia mudah tersentuh dengan apa jua perkara sensitif yang berlegar-legar disekelilingnya. Kebiasaannya inidividu jenis ini mudah mengalirkan air mata. Bukan air mata palsu, tapi linangan ikhlas yang terbit tanpa dipaksa dari wujudnya dua sifat tadi. Simpati juga empati. Saya bahasakan individu jenis ini sebagai individu B.

     Individu A kurang bermasalah dalam soal berhadapan dengan orang yang kuat berahsia. Kerana baginya, ia langsung tiada kaitan dengannya. Jika seseorang itu ingin berahsia, lantaklah..janji tidak mengganggu urusan hidupnya. Namun berbeza sama sekali bagi individu B. Mereka akan mengambil serius dalam setiap perkara yang dilaluinya. Jika seseorang temannya mula menyimpan sesuatu perkara darinya, maka dia akan cuba mencari apakah perkara yang cuba disembunyikan itu. Sehingga mengganggu waktu tidur, makan dan sebagainya. Baginya, dia tak kisah akan dirinya selagi persoalan belum terjawab. Selagi rahsia belum tersingkap.

     Sebenarnya, individu B ini amat khuatir akan temannya. Lebih-lebih lagi teman itu adalah ‘insan istimewa’ dalam hidupnya. Pelbagai sebab yang menjadikan dia begitu runsing memikirkan. ‘apakah aku telah menyakitinya?’ ‘Dosa apa yang aku lakukan sampaikan dia sanggup berahsia denganku?’ ‘Adakah aku sudah tidak bermakna dalam hidupnya?’ Mungkin ini soalan-soalan yang berlegar-legar di dalam dasar hatinya. Berat untuk ditanggung tapi tak sanggup pula untuk ditanyakan. Risau-risau soalan-soalan ini menambahkan lagi garis-garis luka di hati temannya dan menambahkan lagi ketebalan bungkusan rahsia itu.

     Lantas perasaan berubah menjadi kecewa akibat letih memikirkan. Lebih tepatnya rasa terkilan. Individu B ini akan terkilan disebabkan dirinya seolah-olah tidak diperlukan lagi. Dia merasakan bahawa dia bukanlah tempat luahan perasaan yang terbaik. Rasa tidak berguna, lalu dia merasakan dirinya tidak perlu wujud. Tekanan semakin menjadi-jadi. Selagi mana rahsia itu terbungkam, selama itulah jiwanya akan tertekan. Hanya satu ubatnya, jika si perahsia itu membuka segala apa yang dirahsiakan maka amanlah jiwanya. Kalau dibuktikan bersalah, si perahsia tadi pun memaafkannya. Maka lapanglah dadanya, tenanglah fikirannya. Syukur setinggi-tingginya dipanjatlan kehadrat Allah.


Menyingkap rahsia penyelesaian

     Begitulah sedikit sebanyak yang boleh kita simpulkan berkenaan dengan rahsia. Personaliti kuat berahsia dan individu yang berdepan dengan mereka yang kuat berahsia. Sekali lagi dijelaskan, individu A mungkin hampir keseluruhannya tidak punya banyak masalah dalam mendepani ‘perahsia tegar’. Akan tetapi, ia agak bermasalah kepada individu B. Kemungkinan juga ia boleh membarah menjadi masalah besar jika rawatan segera tidak dapat diambil. Kesan kroniknya membawa padah akibat tekanan perasaan yang melampau.

     Justeru bagi yang biasa berhadapan dengan individu yang kuat berahsia ini, seeloknya banyakkanlah bersabar. Kuatkan semangat dan kembalikan segera rasa percaya pada diri sendiri. Jangan membiarkan ‘barah hati’ ini terbiar terlalu lama. Jika si perahsia itu adalah sahabat, ahli keluarga, teman istimewa atau isteri, maka buanglah sifat prasangka buruk kita kepada mereka. Letakkan dalam diri kita bahawa mereka mereka masih percaya dan sayang pada kita. Sikapnya untuk berahsia bukan kerana tidak percaya kebolehan menyelesaikan masalah, tetapi dia sebenarnya tidak mahu kita susah hati akibat dari turut merasakan keperitan yang ditanggungnya. Jika sampai masanya nanti dia sudah tak mampu lagi untuk memikul bungkusan rahsia itu, tak lain tak bukan dia akan mencari kita juga sebagai tempat untuk meluahkan apa yang dtanggungnya.

     Dengan kesabaran ini, Allah menganugerahkan kita dengan pelbagai hikmah. Yang paling penting, kasih sayang Allah akan dilimpahkan kepada kita tanpa ada jarak waktu yang terhenti. Rahmat Allah akan berterusan memenuhi dada-dada hambaNya yang sentiasa bersyukur dan bersabar atas segala sesuatu yang terjadi. Selain itu, kita tidak akan lagi berburuk sangka dengan teman kita. Ikatan ukhuwah yang terjalin tidak akan diganggu gugat. Rahmat Allah akan senantiasa dialirkan, terus ke dalam hati setiap manusia yang sedang berkasihan keranaNya. Untuk itu, haruslah sabar untuk menjadi penyabar. Anda mampu mengubahnya (diri sendiri)!.. InsyaAllah...

~Perisai Mahkota

1 comment:

Anonymous said...

r.. rasa
a.. aku
h.. hampir
s.. setiap
i.. intipati
a.. amalan
maka lahirlah keikhlasan dalam menzahirkan maksud hamba itu sendiri.. rahsia yang terperi bukan untuk dicanang seluruh negeri .. ianya satu ilmu yang perlu dicari..bak kata org tua yang tiada gigi.. nyata bagi yang mengerti.. kenyataan juga bagi yang memahami.... sama2 lah kita pelajari..
Allah hu akhbar Allah hu akhbar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails