Salamullahi'alaikum...

Kadang-kadang apabila kita mendapat sesuatu yang kita suka, kita menyangka ianya bakal menjadi kepunyaan kita buat selamanya. Kadang-kadang kita berfikiran tiada apa yang mampu menukar perancangan kita kerana ianya sudah kita rancang dengan teliti. Malangnya kita lupa bahawa hidup ini seperti roda yang sentiasa berputar tanpa mengira waktu rehatnya. Putarannya sentiasa berlaku biarpun kita cuba memberhentikannya. Apabila langit yang cerah tiba-tiba dilanda hujan maka kita menjadi muram kerana keinginan kita menjadi luruh.
Kita mungkin melihat kesalahan itu pada awan yang membawa hujan tanpa menyedari ianya berlaku kerana itulah sifat alam. Begitu juga dengan kehidupan, apabila sesuatu perkara terbantut di tengah jalan, kita jarang sekali melihat kesalahan itu pada diri sendiri kerana mata fizikal hanya mampu memandang keluar tanpa cuba melihat ke dalam diri. Hakikatnya kita juga adalah penyumbang utama penghalang kepada cita-cita kita. Mungkin itulah pelajaran yang selalu kita alpakan. Antara kelemahan yang sering kita remehkan walhal ianya cukup kuat untuk member impak dalam kehidupan kita secara keseluruhannya adalah mudah kasihan bak kata seniman agung P.Ramlee dalam salah satu filemnya “murah hati.”
Baik hati itu satu sikap yang bagus tetapi murah hati itu amat membinasakan. Baik hati bakal membuatkan seseorang itu dihormati kerana sikap prihatinya itu namun sebaliknya murah hati membuatkan seseorang itu mudah ditindas atau diperlekehkan. Bukan tujuan saya untuk menggalakkan anda menjadi orang yang keras hati tetapi kita perlu menjadi orang yang tegas dalam mengemudi kehidupan kita. Jika kita tidak bertindak untuk mengemudi kehidupan kita maka pasti ada orang lain yang melihatnya sebagai satu peluang untuk dimanfaatkan. Hasilnya kemusnahan masa hadapan akan berlaku dan lebih buruk lagi apabila ianya melibatkan orang yang kita sayang.