Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Friday, December 31, 2010

Lafaz Yang Tersimpan

Salamullahi'alaikum...

Setiap yang hidup, pasti akan sampai pada saat kematian.

Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
Yang bermaksud : “Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).


Mereka Yang Telah 'Pergi Tak Kembali'

Sekalung doa & Al-Fatihah buat...

     Arwah atuk mak, Allahyarhamah Hajjah Ruba'yah binti Abu Bakar bin Mohsein telah kembali menghadap Sang Khaliq pada 8 Februari 2000. Aku tidak mampu untuk menahan tangisan pada waktu itu kerana saat rohnya dipisahkan dari jasad, aku sedang mengurut lembut kedua-dua belah kakinya. Arwah atuk mak sempat berkata, "tak sempat dah mak nak solat subuh hari ni". Tanpa sedar, kedinginan semakin dirasakan dan jelas kata-katanya itu adalah petanda terakhir darinya. Walaupun tidak sempat untuk solat subuh, arwah telah selamat 'pergi' bersama alunan Surah Yaasin bacaan Abah, dan tiada siapa yang menyedari pemergian arwah kerana kujur tubuhnya tika itu bagai seorang anak kecil yang sedang tidur lena.

     Kemudian, pemergian atuk mak diiringi suaminya yang tercinta iaitu atuk bak, Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Ahmad bin Wiji pada tanggal 30 April 2002. Setelah mendapat berita dari kampung, aku diambil oleh abah dari asrama dan terus berangkat pulang ke Sg. Keluang, Rengit, Batu Pahat. Sepanjang perjalanan, ummi tak mampu menyeka aliran jernih yang membasahi pipi, namun ia dikawal dengan kuasa Iman yang mengatasi emosi. Walaupun dalam keadaan tergesa-gesa, kami telah selamat sampai dan sempat mencium wajah atuk bak sebelum disemadikan bersebelahan pusara arwah atuk mak. Hujan rahmat yang mengiringi majlis pengkebumian itu menandakan telah perginya seorang pejuang.

     Selang 7 tahun, ayahanda abah yakni arwah che, Allahyarham Jusoh bin Awang yang telah selamat kembali ke rahmatullah pada 15 Februari 2009. Teramat sedih bagiku kerana waktu itu aku tidak sempat memberikan penghormatan terakhir kepada che. Walaubagaimanapun, syukur Alhamdulillah... che telah menghembuskan nafas terakhir dalam suasana penuh ketenangan. Hadirrnya disambut senyuman kegembiraan, pulangnya diiringi tangis kesyahduan. Pemergiaan che teramat dirasakan setiap kali aku pulang ke kampung. Namun setiap yang berlaku, telah diatur sempurna oleh Yang Maha Mengatur.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya : “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi”. (Riwayat Al-Tarmizi)

     Semoga roh Allahyarham Atuk Mak, Atuk Bak, dan Che ditempatkan bersama mereka-mereka yang telah dijanjikan nikmat kesejahteraan. Amiin... ya Rabbal 'alamiin.

     Sentuhan dalam lagu bisa mengembalikan kenangan kita kepada mereka. Akhirnya, terimalah Lafaz Yang Tersimpan nyanyian kumpulan UNIC. Semoga kenangan bersama mereka, kembali menerjah ke ruang fikir dan zikir kita seraya mampu mengingatkan kita bahawa kita juga pasti akan mengikut jejak langkah mereka. Saat kematian telah ditetapkan tanpa diperawal walau sesaat dan ia takkan dilewatkan walaupun sesaat. Bersiap sedialah pada setiap detik dan ketika... Wallahua'lam.

Sunday, December 26, 2010

Dia Yang Maha 'Cemburu'

Salamullahi'alaikum...

     "Kenapa aku ni kuat sangat cemburu? Aku sering fikir yang bukan-bukan sedangkan dia sentiasa mengakui bahawa hanya ada aku di hatinya. Kelemahan demi kelemahan diriku, terbongkar di hadapan mataku sendiri. Maka sedarlah aku bahawa aku hanya budak mentah yang tidak ada apa-apa keistimewaan untuk dikongsi dengan teman-teman yang lain," kata hati kepada pemilik hati. Sebagai penyelesaian, mari kita bongkar apakah rahsia di sebalik rasa cemburu ini.

     Definisi cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya.

     Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya.

     Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain.

Saturday, December 25, 2010

Menggapai Tingkat Keikhlasan

Sehingga kini,
aku belum merasakan keikhlasan
dalam tariqah mencari Tuhan


Mana mungkin aku berbicara soal ikhlas
sedang hati masih tercari-cari
kerahsian rahsia hati

Aku yakin!
Aku masih belum ikhlas
Dalam Iman, pada Islam, dari Ihsan

Pernahkah ikhlas?
Adakah ikhlas?
Masihkah ikhlas?
dan
Akankah ikhlas?

Ya Allah...
Riyai' dalam diri ini masih menebal
Sum'ah makin menjadi-jadi
Ujub dan takabbur pula mengiringi

Ampunkan diriku Ya Allah...
Hadirkanlah ikhlas dalam diriku
Amin ya Rabbal 'alamiin



~perisaimahkota
Perjalanan Hati
23:09, 25 Disember 2010

Tuesday, December 21, 2010

Sesaat sahaja lagi! (episod 2)

Salamullahi'alaikum...

     Jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Seperti biasa tanpa disuruh, adik akan membantu ummi memotong buah tin di dapur. Buah tin ini untuk dijamukan pada tetamu yang datang ke rumah bersama buah kurma, air zam-zam dan sebagainya. Sehingga ke hari ini, masih ada saudara, sahabat dan kenalan abah juga ummi yang datang bertandang ke rumah untuk bersua muka dengan abah dan ummi bagi bertanya khabar keadaan diri dan keadaan kehidupan di bumi Haramain sana.

     Yang ingin dikongsikan di sini adalah cerita sembang-sembang antara adik, ummi dan aku sewaktu adik sedang khusyuk memotong buah tin tersebut. Dalam keadaan tangan yang sedang bekerja, rupa-rupanya otak adik juga tengah ligat berfikir. Tiba-tiba suaranya terpancar menanyakan soalan pada ummi.

     “Ummi, ummi takut tak dengan hari kiamat?”

     “Mesti la takut, semua orang akan takut.” Jawab ummi tenang sambil terus mencuci lauk yang hendak dimasak. Justeru adik bertanya lagi. Soalan yang berbentuk cadangan seperti yang pernah diajukan pada abah pada malam semalam. “Kalau ummi takut, kita sama-sama duduk dalam rumah la. Kita tak payah pergi mana-mana, kita diam jer…”

     Mendengar cadangan itu, ummi terus menjawab, “Mana boleh, sebab nanti pun rumah kita ini akan hancur.” Adik terus memotong buah tin. Tapi harus diingat, adik akan terus bertanya selagi soalan belum terjawab. Jika cadangannya pula ditepis tanpa alasan yang kukuh, selagi itu adik akan bersoal jawab. Adik tidak memaksa orang menerima cadangannya, tetapi adik ingin mengetahui kenapa cadangannya ditolak.

     “Kenapa semua hancur ummi? Kiamat tu akan datang sekali dengan ribut ker?” Seperti dijangka, adik bertanya lagi. “Ya dik. Bila waktu kiamat datang, tiada seorang pun akan terlepas. Semua akan hancur termasuk rumah kita. Sebab itulah kita tak boleh nak lari ke mana-mana.” Aku yang berada jauh dari mereka kini mendekat. Ingin turut sama berada dalam diskusi hebat ini. Aku tersenyum mendengarkan jawapan dari ummi, mudah-mudahan jawapan ummi diterima sebaiknya.

     “Tapi, adik tetap nak lari. Adik tak nak kena ribut tu.” Adik bijak mengelak. Dia nampak yakin dengan kata-katanya walaupun bagi kita ulasan sebegitu mungkin mudah untuk dipatahkan. Dengan meminta izin, aku mencelah. “Tak boleh jugak la dik sebab bila kiamat datang nanti semua akan kena. Rumah hancur lebur, tanah, bukit-bukit juga akan turut sama hancur.”

     “Kalau macam tu, susah la. Habis tu kita macam mana? Kita nak pergi mana sebenarnya?” Adik bertanya untuk mendapatkan kepastian. Mukanya sedikit berkerut, tangannya yang sedang memegang pisau berhenti sejenak dari terus memotong buah tin yang seterusnya. Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapanku.

     “Nanti kita semua akan mati.” Jawabku cuba menjelaskan.

     “Mati?”

Sesaat sahaja lagi!

Salamullahi'alaikum...

     Sekadar berkongsi cerita. Tengah sembang-sembang sesama keluarga, tiba-tiba adik mengajukan soalan berbentuk cadangan, "Abah, nanti kalau hari kiamat, kita jangan pergi mana-mana lah. Kita duduk jer diam-diam dalam rumah, nanti kita selamat... emm..boleh tak?" Abah menjawab sambil tersenyum, "Adik, kalau dah kiamat nanti, rumah kita pun hancur lebur lah...hehe." Semua tergelak, adik pun ikut sama. "Hihihi...adik dah tau la bah, adik saje jer," adik bijak menamatkan bicara.

     Semakin hari semakin advance soalan-soalan yang ditanyakan oleh adik. Sehinggakan abah, ummi, kakak malahan aku sendiri pun teragak-agak dan termenung panjang untuk menjawab soalan yang diajukan. Walaupun umurnya baru ingin memasuki alam persekolahan sebenar, tetapi gaya berfikir dan percakapannya mengalahkan orang dewasa. Tahun depan, adik akan memasuki darjah 1. Apalah nasib ustaz atau ustazah yang akan mengajar kelasnya nanti. Semoga sudah bersiap sedia dengan segala jawapan yang penuh hikmah.

     Sedar atau tidak, itulah mesej ringkas dari adik. Siapa tahu mungkin Allah yang menggerakkan lisan adik untuk memberi ingatan (takirah) kepada kami dan kita semua berkenaan hari kiamat. Dari apa yang kita tahu dan faham, hari kiamat itu dahsyat dan mengerikan. Dan yang pasti hari kiamat itu akan tetap berlaku walau apa sekalipun cara yang kita lakukan untuk mengelakkannya. Maka, setiap kerja yang kita lakukan di dunia ini perlu berada pada landasan yang benar mengikut Syariat. Jangan dilanggar pantang larang, kelak menyesal bukan kepalang.

     Sebagai pelengkap kepada episod fikir ini, mari sama-sama kita melangkah masuk ke taman-taman zikir. Di sana tempat berhimpun mereka-mereka yang benar-benar beriman dengan rukun Iman yang kelima ini. Kita buka minda dengan fikir-fikir ilmiah, kita basahkan lidah dan tenangkan hati dengan zikir-zikir ilallah. Semoga di sana terkandung ibrah dan pengajaran yang baik untuk kita meneruskan baki kehidupan yang mungkin tinggal 'sesaat' sahaja lagi!

Sunday, December 19, 2010

Doa Pengharapan

Salamullahi'alaikum...

La Tahzan, Innallaha ma'ana...

     Di saat hati dilanda keresahan. Sabarlah dan Syukurlah kerana pada waktu itu, tiada lain harapan kita melainkan hanya Allah. Dia yang mendatangkan ujian, maka Dia jualah yang akan menyelesaikannya.

     Semoga aku, dirimu dan kita akan terus sabar dalam perjalanan meraih CINTA dan REDHA Allah... InsyaAllah.

     Kuncinya, berbaik sangkalah pada Allah. Yakin musibah ini adalah tarbiyyah Allah supaya kita lebih kuat mendepani masalah yang lebih besar menanti hari-hari kemudian. Allah ada...kan? bertenanglah...

Bantulah kami yang lemah ini Ya Allah...


Ya Allah,
berikanlah kami ketenangan
untuk menerima segala yang tidak mampu kami ubah,
kurniakan kami keberanian
untuk mengubah apa yang dapat kami ubah,
Dan curahkah kami kebijaksanaan
untuk memahami setiap perbezaan antara keduanya.

Ya Allah, 
sesungguhnya kami memohon kepada-Mu jiwa yang tenang, 
beriman kepada hari pertemuan dengan-Mu, 
rela dengan segala keputusan-Mu,
 dan menerima setiap pemberian-Mu...

Ya Tuhan kami,
 curahkanlah kesabaran keatas kami,
 dan teguhkanlah pendirian kami,
 serta bantulah kami terhadap golongan yang kafir.

Ya Tuhan kami, 
janganlah Engkau palingkan hati kami, 
setelah Engkau tunjuki 
dan berilah kami dari hadhirat-Mu, Rahmat 
kerana Engkau adalah Yang Maha Pemberi.

Ya Allah,
tetapkanlah kami dari kemungkinan kekufuran,
dan berilah kami petunjuk dari kemungkinan kesesatan.

Ya Allah,
sebagaimana Engkau telah memberi penghalang
antara kami dan hati kami, 
maka berilah penghalang antara kami dan syaitan 
serta perbuatannya.

Ya Allah,
aku memohon daripada-Mu jiwa yang tenang dan tenteram,
yang percaya pada pertemuan dengan-Mu,
dan ridha atas keputusan-Mu,
serta merasa cukup puas dengan pemberian-Mu.

Amiin...

~perisaimahkota

Friday, December 17, 2010

Maafkan Aku...

Sedar aku 
Ia suatu kesilapan

sukar untuk dimaafkan
payah untuk dilenyapkan
secara tuntas!

Maafkan aku...
 Maafkan aku...
Maafkan aku...


perisaimahkota
Desa Senja Timur
5.57 petang 17 Dis 2010

Siapa Benar Siapa Salah?

Bergabung!!!


Politik itu indah
Mengapa dikotorkan?
Bersatulah!

Politik itu suci
Mengapa dicemarkan?
Berpadulah!

Politik itu Sunnah
Mengapa ditunggang langgangkan?
Bangunlah!

Demi Umat Islam
Untuk Melayu

Demi Jihad di jalan kebenaran
Untuk kesatuan serumpun

Alangkah Indah jika
Satu Malaysia
Membangun Bersama Islam

Alangkah Indah jika
Wawasan 2020
Menuju Negara Berkebajikan

Satu matlamat
Satu slogan
Satu visi dan misi

Islam tertegak atas SATU nama
SATU Ummah
SATU Aqidah
Mengapa dicarik?
Mengapa dirobek?

Muhasabahlah diri demi maruah
Kita mampu bersatu

Bukan menegakkan agama
meninggalkan bangsa
Bukan menjaga bangsa
meninggalkan agama

Kita pasakkan tunjang agama
Kita hiaskan dengan kesatuan bangsa
Hidup mulia
Rakyat terbela
Amanah terjaga

Ayuh!
Inilah masanya
Kita bersatu!

~perisai mahkota
Perkampungan Ummah
7.50 pagi 17 Dis 2010

Thursday, December 16, 2010

Erti Hidup

Hidup tak selalunya indah,
tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

Orang yang bahagia itu...
akan selalu menyediakan waktu untuk membaca
kerana
membaca itu sumber hikmah,
menyediakan waktu tertawa
kerana
tertawa itu muziknya jiwa,
menyediakan waktu untuk berfikir
kerana
berfikir itu pokok kemajuan,
menyediakan waktu untuk beramal
kerana
beramal itu pangkal kejayaan,
menyediakan waktu untuk bersenda
kerana
bersenda itu akan membuat muda selalu
dan
menyediakan waktu beribadat
kerana
beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna utk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan.

Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yg kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dgn baik berlandaskan kenyataan.

Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.

Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan. Teruskan perjuangan kita walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup

Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.

Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.

Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula ke pada Tuhan.

Transformasi Diri

Apabila kitab sejarah dibuka
Terserlah kembali
Khilaf yang ke seribu kali
Tutup pun ia terbuka
Pekup ia ternganga

Bibir basah mengulang
Aku bersalah dan aku punca
jelasnya hanya aku
bukan kamu
bukan dia

Demi kesejahteraan mereka
Demi menebus kesilapanku
Demi ketenangan mereka
Demi membayar segala hutangku

Tranformasi bermula...

How Stress Affects the Body

Bagaimana dengan hidupku?
Persetankan!

Degil sangat
Padan dengan muka!

Lihat dulu pada hati
Runtuhkan ego dalam diri
Aku adalah aku
Kamu adalah kamu

Bukan ustaz
Bukan wali
Bukan Nabi
Apalagi Malaikat

Cuma manusia pendosa!
Takkan sempurna
Sedarlah hakikat
Aku juga manusia biasa

Berubahlah sebelum merubah!

~perisai mahkota
Perkampungan Hati
10.00 pagi 16 Dis 2010

Wednesday, December 15, 2010

Aku Yang Berdosa


Kian tak terhenti
Menyemai benih-benih dosa
dalam kamar sepi
Aku sendirian
Menanti tuah yang tak pasti
Malah kecundang lagi
Rebah tersembam ke bumi

Sumpahan laknat menguji
Sejak azali
Angkara hasad dan 'ujub
Bisik pada suara hati
Syahwat menggoda nafsu
Lahirlah semarak api
Membakar anak-anak adam
Yang lalai dan longlai
Seperti aku

Dunia meronta
Masa untuk berubah
Katanya
Change! Reformasi! Tranformasi!
Manifesto tak tertagih
Hanya janji tinggal janji

Serlah diri menurut takdir
Meronta jua hati
Inginkan garis perubahan
Menjadi aku yang aku
kau bukan aku
aku bukan kamu!

Benih dosa bercambah
Kini merendang berbuah
Diracun tak mati
Dicantas tak runtuh
Kian menjulang lagi
Menggapai awanan hitam
Jahat mengkhianat

Manusia...
Singkap segera tabir sepimu
Sinarmu di balik itu
Bukalah
Kan terkilau sang cahaya
Bahagia
~perisai mahkota
Teratak Usang MHI5
11.50malam 15Dis 2010

Saat ini...

Salamullahi'alaikum...

     Alhamdulillah. Walaupun dalam keadaan tangan tak mampu berada pada kududukan tetap, hidung pula tersumbat dan bernafas berat. Aku cuba menggagahkan diri bangkit dari pembaringan, supaya dapat aku merenung kembali usia diri. Subhanallah, rupa-rupanya aku sedang di akhir-akhir garisan kehidupan. Walaupun kata orang umurku masih awal dewasa, tetapi nasihat dari 'orang-orang agama' membisikkan agar senantiasa meletakkan diri berada pada garisan-garisan terakhir sebuah perjalanan.

     Saat ini, sempat aku terbaca sebuah diari maya bertajuk 'Saat itu...'. Kata 'dia', saat itu membahagiakan. Maha Suci Allah, memang benar saat itu jua amat membahagiakan bagiku. Siapa sangka haruman Cahaya Kewangian jauh dari wilayah selatan sudi membawa diri ke wilayah timur. Hadirnya bukan sendirian, tetapi ditemani bersama ahli usrah tersayang.

     Saat itu, salam dihulur dibalas senyum bersambut. Kehadiran dia dan keluarga membawa bersama erti sebuah pengorbanan. Berkorban demi kesucian cinta. Maka dengan penuh rela aku menyambut pengorbanan itu tanpa rasa terpaksa. Ketahuilah bahawa pada saat itu hatta saat ini, hati dan jiwa telah kupertaruhkan sepenuhnya untuk kembali membalas setiap pengorbanan yang telah mereka pertaruhkan.

Tuesday, December 14, 2010

Pertunangan : Antara Syariat dan Adat

Salamullahi'alaikum...

     Penulisan kali ini di sedut dari beberapa tulisan orang, berkenaan dengan Pertunangan. Ia sebagai persediaan untuk menempuh hari-hari depan. 

     Gabungan Syariat dan Adat menambahkan seri dalam membina sesebuah ikatan. Ia sebagai tanda dan kenangan terindah kerana berkemungkinan majlis sebegitu hanya dapat dilalui sekali sahaja dalam hidup.

     Pun begitu, jangan direndah-rendahkan Syariat semata-mata ingin mengangkat Adat. Pertunangan dan Pernikahan diwujudkan untuk meraih Cinta dan Redha Allah. Jika tersasar dari landasan, akibatnya merana di hari kemudian. Sama-samalah kita perhalusi apa kata 'orang agama' dan 'orang lama' berkenaan syariat dan adat peminangan seterusnya pertunangan.

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

     Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya. Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

     Pertama; adakah Fardhu Ain si lelaki ´benar-benar beres´ kerana suamilah tunjang yang bakal mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.

Monday, December 13, 2010

Bila Diri Disayangi

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut namaMu

Tiada batasan waktu
Tiada tempatMu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa,
Keagungan kasih, merubah takdir

( korus )
Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap namaMu
Terasa diriku kembali dipandu

Engkau yang pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan Engkaulah Cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan Kasih dan SayangMu
Ku berserah diri...


Nyanyian : Ukays
Album : Hangat

MenSyukuri Nikmat Sabar

Salamullahi'alaikum...

     Baru-baru ini, penduduk kampung jadi kelam kabut apabila terlihat Pak Long mengamuk bersenjatakan buluh tumpat. Pak Long menjadi seakan hilang punca setelah diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah motosikal. Dengan lantang Pak Long bertanya kepada orang kampung, "Siapa yang langgar anak aku? Hah, cakap siapa?!" Walaupun ditenangkan beberapa kali, tetapi Pak Long tetap berkeras untuk mengetahui siapa penunggang motosikal tersebut. "Celaka punya budak! Kalau aku dapat kau, aku cincang-cincang sampai lumat." Tambah Pak Long yang semakin tak mampu mengawal emosinya.

     Ini salah satu dialog ringkas yang boleh kita ambil sebagai 'kenyataan masalah' untuk dibincangkan berkenaan dengan erti sabar dalam kehidupan. Tak ramai manusia yang dapat bersabar dengan sebenar-benar sabar. Ada sesetengah orang yang boleh bersabar tetapi masih ada sekelumit rasa dalam hatinya timbul juga penyesalan atau penafian dengan musibah yang menimpa, dan ada juga yang langsung tidak dapat bersabar seperti dialog di atas. Beruntunglah bagi mereka yang mampu bersabar dan teramat malanglah bagi mereka yang tidak dapat bersabar. Mengapa?

     Hal inilah yang kita istilahkan sebagai redha, yakni menerima ketentuan Tuhan dengan penuh berlapang dada. Langsung tiada rasa marah pada apa yang berlaku sebaliknya menerima takdir tersebut dengan berbaik sangka pada Allah. Cuba kita ambil langkah sebegini setiap kali kita ditimpa musibah. Dengan meletakkan tapak tangan pada bahagian dada sambil dipejamkan mata, kemudian dengarkan bisik hati kita;

     'Astaghfirullahal'azim...Ya Allah, aku mengerti setiap apa yang diberikan pada hamba hanyalah pinjaman, bukan hak milik kekal bagiku. Sesungguhnya segala apa yang dihadiahkan ini adalah hak Mu Ya Allah. Engkau berhak memberikan aku nikmat dan Engkau juga berhak mengambilnya kembali. Justeru aku tidak perlu bersedih dengan apa yang berlaku, lalu mana mungkin aku memarahi Engkau. Ampunkan aku Ya Allah'.

     Jika kata-kata seperti inilah yang memujuk hati kita setiap kali ditimpa musibah, maka syukurlah kerana kita sudah melepasi ujian pentarbiyahan Allah. Ujian dari Allah untuk menguji tahap kesabaran hambaNya. Memang sukar untuk menjadi panyabar, kerana kita perlu bersabar untuk menjadi penyabar. Dan, apabila kita sudah mampu menjadi penyabar, kita wajib bersyukur di atas nikmat kesabaran itu. Yakinlah bahawa setiap apa yang Allah jadikan pada makhluk, itulah yang terbaik.

     Telah berkata baginda Rasulullah SAW, "Tidak ada anugerah yang lebih baik selain memperolehi sifat sabar." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

     Namun, masih ramai yang tidak mampu bersabar dengan musibah yang melanda. Mereka menafikan sesuatu takdir dengan mengatakan Allah itu cuai, zalim dan sebagainya. Rasa redha sudah luput dalam diri mereka. Maka dengan itu hati mereka menjadi keras-sekerasnya. Selagi mana tidak ada yang memberi peringatan kepada mereka, selagi itulah mereka akan terus berdemonstrasi di hadapan Allah. Kononnya meminta 'hak asasi manusia' dikembalikan tanpa mereka sedari nikmat bernafas yang dianugerahkan padanya adalah 'hak mutlak Allah'. Disangka meminta hak sendiri, rupa-rupanya meminta hak orang lain.

Sabar atas Nikmah, Syukur atas Musibah

     Kita sering mendengarkan nasihat-nasihat dari para ustaz atau orang-orang lama berkenaan dengan sifat sabar dan syukur. Sesungguhnya yang kedua-duanya itu kunci kepada 'pintu Syurga'. Kata mereka, 'sabarlah di atas musibah dan syukurlah di atas nikmat Allah, kerana musibah dan nikmat itu adalah hadiah dari Allah. Ia bersifat tarbiyah langsung dari Allah. Jika kita mampu bersabar dengan musibah yang didatangkan pada kita, maka kita akan beroleh ketenangan dari Allah. Manakala jika kita sering bersyukur di atas segala nikmat yang dilimpahkanNya, maka lengkaplah erti kebahagiaan kita'.

     Tapi pernahkah kita terbalikkan ayat itu? Kita cuba jadikan, 'sabar di atas nikmah (nikmat) dan syukur di atas musibah'. Bunyinya macam aneh, tetapi hakikatnya tidaklah seaneh yang kita sangkakan, atau mungkin juga sangkaan kita yang sebenarnya aneh.

Sunday, December 12, 2010

Penanda Sejarah Hujjaj

Salamullahi'alaikum...

     17 Oktober 2010, tarikh keberangkatan Abah dan Ummi bagi mengerjakan ibadah haji. Rombongan bertolak seawal jam 8pagi. Segala yang dirancangkan berjalan dengan lancar.

     Alhamdulillah, kami tiba di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu lebih kurang jam 11pagi. Kami sampai awal disebabkan waktu berkumpul adalah pada jam 1.30tengah hari manakala waktu pendaftaran adalah pada jam 3.30petang. Dengan itu, masa terluang diambil untuk saling beramah mesra bersama saudara dan jiran yang sama-sama menyertai rombongan.

Petanda Lahirnya Penanda

     Lebih kurang jam 12tengah hari. Kak Fiza, anak ayah ngah mengadu sakit perut. Sebenarnya Kak Fiza sedang sarat mengandung anak keduanya. Walaupun menyedari kandungannya sudah lebih jangkaan waktu bersalin, tetapi atas rasa persaudaraan yang tinggi, dia tetap menggagahkan diri menyertai rombongan.

Akibat kesakitan yang semakin tidak mampu ditahan, akhirnya suami Kak Fiza membawanya pulang ke Tanah Merah. Tanpa pulang ke rumah, mereka terus ke Hospital Tanah Merah disebabkan kesakitan semakin dirasakan.

     Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menghantar abah dan ummi, kami diberitakan kak Fiza telah selamat bersalin. Alhamdulillah, bayi lelaki. Kehadiran bayi ini ke dunia amat bersejarah bagi keluarga kami kerana kelahirannya bersamaan tarikh keberangkatan abah dan ummi mengerjakan haji. 17 Oktober 2010. Jadi, senang untuk kami mengingati tarikh bersejarah ini.

     Kelmarin, kali pertama aku bertemu dengan anak kak Fiza ni. comel budaknya tapi lupa pulak nak tanya nama. Abah dan ummi paling gembira apabila bertemu dengan bayi ni sebab bagi mereka seakan ada pertalian yang benar-benar erat. (kan best kalau ada adik lagi seorang...hihi. Tapi bila dah makin berumur ni, terasa teruja sangat-sangat kalau dapat memiliki cahaya mata sendiri. wallahua'lam...).

     Manakala pada tarikh abah dan ummi pulang pula ( 3 Disember 2010), rupa-rupanya tarikh tersebut adalah ulang tahun kelahiran dikman atau nama sebenar kanak-kanak lelaki comel ini adalah Nur Muhammad. Iaitu anak bongsu kepada 'Ayah' dan 'Mama'.

Alhamdulillah...

     Rupanya tarikh-tarikh ini akan lebih senang diingati untuk masa-masa akan datang. Bila diingat tarikh keberangkatan para hujjaj Malaysia bagi penerbangan KT30, maka akan teringatkan anak kedua kak Fiza. Mungkin di sana terletak keberkatan. InsyaAllah.

Bagaimana dengan keberangkatan haji kita nanti? Apakah ada tanda-tandanya yang tersendiri?

     Jangan khuatir jika tidak ada, kerana 'tarikh' langsung tiada kaitan dengan keberkatan sesuatu pekerjaan. Cuma ia sekadar pemanis bicara, penyedap kata sahaja supaya modal-modal sembang menjadi ceria. Wallahua'lam... kita serahkan segalanya pada Allah, kerana setiap ketentuanNya adalah yang terbaik buat kita.


~perisaimahkota

Friday, December 10, 2010

Al-Quran masih diturunkan?

Salamullahi'alaikum...

     Salam diskusi buat semua pembaca yang dikasihi lagi disayangi. Sudah pasti kita berbangga jika kita mempunyai sahabat yang baik. Baik budi akhlaknya, tutur bicaranya, santun pergaulannya dan sebagainya. Dengan adanya sahabat seperti itu di sisi kita, setiap langkah perjuangan kita akan terasa roh kekuatannya. Sedikit pun takkan goyah. Saat mara kehadapan, dia membisikkan kata semangat. Tika jatuh, dia menghulur tangan pada kita lalu memapah seiringan supaya kita kembali bangkit meneruskan sisa-sisa perjuangan.

     Mencari kawan yang ramai, tidak menjadi masalah besar berbanding mencari seorang sahabat yang sejati. Kawan ada macam-macam jenis dan rupa. Baik buruknya masih terselindung di sebalik tabir penglihatan kita. Sebab itu wujudnya istilah, 'kawan makan kawan'. Belum pernah kita terdengar 'sahabat makan sahabat'. Oleh sebab itu, jelaslah mengapa kawan yang seribu lebih senang di cari berbanding sahabat yang satu.

     Pernahkah kita terfikir untuk menjadikan Al-Quran sebagai sahabat baik yang paling rapat dengan kita? Jika belum terfikir, mari kita selongkar dan sama-sama fikirkan rahsia yang terhimpun di sebalik mukjizat Al-Quran. Kemudian, terpulang pada kita untuk menilainya sama ada Al-Quran layak dijadikan sebagai sahabat atau hanya kawan, ataupun musuh!

Al-Quran Diturunkan Sepanjang Zaman

     Mengapa dikatakan Al-Quran masih diturunkan sedangkan Rasulullah telah lama wafat? Bahkan ia telah pun dibukukan dalam sebuah kitab dengan pelbagai mushaf mengikut zaman dan tempatnya tersendiri. Inilah yang perlu kita cungkil dari Mukjizat yang terbesar ini. Cuba kita lihat dari sudut bahasa Al-Quran sahaja. Betapa hebatnya bahasa Arab yang telah dipilih oleh Allah sebagai bahasa Al-Quran.

     Berbeza dari kitab suci agama lain yang hanya berlaku untuk masa yang terbatas, Al-Quran diturunkan untuk jangka waktu yang tak terhingga bahkan ianya akan tetap turun sampai datangnya kiamat. Maka bahasa yang digunakan Al-Quran haruslah bahasa yang tetap digunakan oleh umat manusia sepanjang zaman.

     Kenyataannya, sejarah manusia belum pernah menjumpai sebuah bahasa pun yang tetap kekal sepanjang sejarah. Setiap bahasa punya usia, selebihnya hanya tinggal peninggalan sejarah. Bahkan bahasa Inggeris sekalipun masih mengalami perkembangan sejarahnya. Maksudnya, bahasa Inggeris yang digunakan pada hari ini jauh berbeza dengan bahasa yang digunakan oleh orang Inggeris di abad pertengahan. Kalau Ratu Elizabeth II masuk ke mesin waktu dan bertemu dengan datuknyanya, King Arthur, yang hidup di abad pertengahan, mereka tidak mampu berkomunikasi, walaupun sama-sama penguasa Inggeris di zamannya. Mengapa?

Thursday, December 9, 2010

Prosedur Cinta

Salamullahi'alaikum...

     Pernah dulu abah memberikan jawapan setelah aku mengajukan soalan tentang bicara 'peneman hidup'. "Bila-bila pun boleh, janji dah bersedia segala-galanya." Hari ini ummi pula menambah dengan gayanya seakan sama, "terpulanglah, kalau abang ada duit dan dah bersedia..bila-bila masa pun ummi terima."

     Alhamdulillah. Jawapan abah dan ummi memang senantiasa berbentuk motivasi. Ringan bunyinya tapi besar maknanya. Bukan menegah keras, tapi menyambut beralaskan syarat-syarat tersendiri. Inilah cantiknya adat melayu. Lebih tampak jelas kiasannya jika bicara soal jodoh. Pada hematku, senyuman dan gurauan mereka sudah cukup untuk membuktikan penerimaan bakal teman hidupku dengan sepenuh hati mereka.

     Namun, rasa takut sering hadir saat aku sendirian. 'Mampukah aku membawa diri dengan sebenar-benar bersendirian? Lebih berat dari itu, berdayakah aku memikul dan menjaga amanah suci pemberian Allah? Lebih hebat dari itu, adakah aku mampu memabahagikan rasa kasih dan cinta ini sebaik-baiknya?' Sebagai lelaki, aku adalah si anak kepada ibu dan bapaku. Dalam pada itu, aku juga mesti menjadi da'ie. Manakala kelak berkemungkinan aku seorang suami dan jika diizinkan, aku seorang ayah. Ya Allah, beratnya tugasku sebagai lelaki.

     "Barangsiapa yang pada pagi hari menjadikan kedua-dua orang tuanya redha kepadanya tapi menjadikan aku murka, maka Aku turut redha kepadanya. Dan barangsiapa yang menjadikan Aku redha kepadanya tetapi menjadikan kepada kedua-dua orang tuanya murka, maka Aku juga murka kepadanya." Demikian salah satu kata-kata Allah dalam sebuah Hadis Qudsi. Manakala dalam surah An-Nisa' ayat 36, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun serta berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tuamu."

     Apa yang dapat kita simpulkan dari ayat-ayat Allah di atas adalah, seolah-olah Allah meletakkan cinta dan redhaNya kepada ayah dan ibu kita. Jika baik layanan kita pada ayah dan ibu, maka secara langsungnya baik juga layanan kita pada Allah. Jika sebaliknya yang kita lakukan kepada ayah dan ibu walaupun layanan kita kepada Allah adalah yang terbaik, nescaya Allah turut murka pada kita. Maka tidak mustahil, seorang ahli ibadah boleh masuk neraka hanya kerana mengecilkan hati seorang ibu.

     Kita pernah diceritakan dalam satu riwayat tentang Alqamah. Seorang sahabat Nabi yang kuat mengerjakan amal ibadah. Siang dan malamnya sentiasa dipenuhkan dengan solat dan berzikir kepada Allah tanpa rasa jemu. Namun saat kematiannya cukup tragis. Jenazah beliau hampir-hampir dibakar dengan kayu api. Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat yang lain mengumpulkan kayu untuk membakar jenazah Alqamah disebabkan ibu Alqamah tidak mahu memaafkannya. Atas rasa kasih, hati ibu telah segera memaafkan anaknya. Maka selamatlah jenazah anaknya disemadikan.

     Sebelum Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabatnya mengumpulkan kayu api, Rasulullah bertanya kepada ibu Alqamah. "Apakah yang menjadi sebab kamu terlalu murka sehinggakan tidak dapat memaafkan anakmu sendiri?"

     Ibu Alqamah menjawab, "Ini kerana dia lebih mementingkan isterinya daripadaku dan dia menurut kata-kata isterinya sehingga dia menentangku." Rasulullah berkata" Jelaslah, kemurkaanmu yang mengunci lidah anakmu dari mengucapkan kalimah Syahadah."

     Cerita lagenda melayu turut memutarkan cerita yang lebih kurang sama. Watak Alqamah diubah kepada Si Tanggang. Cinta Si Tanggang kepada harta dan isterinya terlalu kuat sehingga sanggup 'membuang' seorang ibu dalam hidupnya. Cuma bezanya kisah Alqamah dengan Si Tanggang, ibu Si Tanggang tetap tidak rela memaafkan anaknya. Lalu mengangkat tangan berdoa kepada Allah supaya dihukum anaknya setimpal dengan perbuatannya. Kisah itu berakhir dengan Si Tanggang ditimpa azab dengan bertukar menjadi batu. Si Tanggang mati terhina akibat derhaka kepada ibunya.

     Walaupun berbeza jalan ceritanya, matlamat dua kisah di atas tetap mempunyai persamaannya. Ia berkisar tentang teologi cinta ataupun Prosedur Cinta. Maksudnya, cinta yang pertama perlulah kepada Allah, kemudian kepada Rasul Allah, seterusnya mencintai jihad dan seterusnya pula kepada kedua ibu bapa. Soalan timbul, di mana letaknya cinta kepada isteri? 

Tuesday, December 7, 2010

Salam Ma'al Hijrah 1432H.

Salamullahi'alaikum...

Salam Ma'al Hijrah 1432H.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120

     Hijrah Nabi dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah menyingkap tabir sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang besar buat Dunia Islam dan seluruh umatnya. Kesusahan dan keperitan untuk meninggalkan kampung asal telah menjadikan diri mereka kuat dan terus istiqamah dalam perjuangan. Mereka tidak gentar apa lagi menyesal kerana yang meyakinkan mereka adalah firman-firman Allah. Apabila pohon firman dan daun Iman bersatu, maka tindakan yang bersungguh-sungguh dan istiqamah akan mewujudkan buah Taqwa.

     Diqiaskan pula dalam kehidupan kita hari ini. Perpindahan dari kampung lama ke kampung baru bererti meninggalkan jalan-jalan kegelapan menuju jalan yang terang bercahayakan Iman. Memang sakit untuk meninggalkan 'kampung' lama kerana di sana tempat kita membesar dan tempat kita bermain. Selok belok 'kampung' lama teramat kita kenal sehinggakan kita telah bersumpah untuk mempertahankannya dari amukan orang luar.

     Jika firman tidak disatukan dengan Iman, maka 'perpindahan dari kampung lama ke kampung baru' tidak akan terjadi. Walaupun terdetik rasa ingin berubah, jika tidak digerakkan dengan usaha, selama itulah perpindahan hanya menjadi teori semata-mata. Kekuatan usaha membuktikan kekuatan iman seseorang. Maka dengan itu, kita akan mengenali tahap iman kita berdasarkan sejauh mana usaha kita berubah ke arah yang baik dan meninggalkan yang buruk. Namun, tahap keimanan kita yang sebenarnya adalah tetap dalam rahsia Allah swt.

firman Allah S.W.T.: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

     Yang lebih utama, kita buat dulu apa yang perlu kita buat. Amal-usaha-doa-tawakkal. Jika tidak terpisah empat elemen ini berpandukan acuan Al-Quran dan Hadis , insyaAllah kita akan selamat selama-lamanya. Sebagai akhirnya, sempena dengan 1 Muharram 1432H ini, saya ingin menyeru kepada sahabat sekalian terutamanya diri saya sendiri agar sama-sama mengembalikan diri pada jalan mujahadah. Walaupun mujahadah ini pahit, tapi percayalah kepahitan ini hanya sementara kerana kemanisan yang bakal kita kecapi kelak di syurga adalah bersifat kekal tiada penghujungnya. Justeru, ayuh kita berubah! Bukan esok ataupun lusa tetapi sekarang!

Monday, December 6, 2010

Doa Yang Dilupakan

Salamullahi'alaikum...

 
     Kali ini saya ingin kongsikan perihal doa yang selalu kita baca ketika duduk antara dua sujud. Kita sering terlupa untuk mengahayati makna juga maksudnya. Justeru sedarlah bahawa kita ini memang manusia -yang diambil dari perkataan 'nasiya' (pelupa) terutama diri saya sendiri. Semoga kita semua di berkati dan di rahmati Allah s.w.t.

     Hayatilah hidup ini setiap saat kita. Kerana di situ terdapat NIKMAT yang tidak ternilai. Tidak kira apa jenis keadaan yang kita sedang hadapi, bersyukurah dan berterima kasihlah kepada Allah setiap masa.

BESARNYA makna DOA YANG KITA LUPAKAN (semasa duduk antara dua sujud)
Dalam tidak sedar, setiap hari kita memohon didalam solat kita. Tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami apa yang kita sendiri pohonkan. Sekadar tersebut dibibir, tetapi tidak tersentuh pada hati kita selama ini. Marilah sama-sama kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat. Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah...

Duduk antara dua Sujud merupakan lambang ketenangan seorang hamba...

Panggilan Barzakh

Salamullahi'alaikum...

     Kematian sesuatu yang menakutkan bagi kita. Jika ditanya pada anak kecil hinggalah dewasa, boleh kata semua mengakui bahawa kematian adalah sesuatu yang tidak diinginkan kecuali jika ditakdirkan. Kita sering membayangkan masa-masa akan datang, kita akan melakukan itu dan ini. Kita ingin bina rumah banglo, berkereta mewah, beristeri cantik dan ingin memiliki kebahagiaan seisi alam. Tapi, tiada seorang pun dalam fikiran atau jadual hidupnya untuk meletakkan tarikh kematiannya. Oleh sebab itu, kematian semakin dilupakan manakala dunia kian diimpikan.

     Mendengar dari cerita-cerita orang atau dari pengalaman sendiri menguruskan jenazah, kematian adalah sesuatu episod kehidupan yang teramat mengerikan. Ramai yang beranggapan kematian adalah suatu pengakhiran kehidupan. Tetapi sebenarnya tidak. Kematian di alam dunia hanyalah suatu episod realiti perjalanan. Perjalanan musafir untuk meneruskan langkahan ke alam baru. Ke arah alam yang lebih realiti.

     Apapun yang kita cuba tafsrikan tentang kematian, ia pasti hadir. Kerana ajal maut itu dalam kuasa Tuhan. Allah berhak menghidupkan dan berhak mematikan. Oleh kerana kuasa yang ada padaNya tidak terbatas, maka Dia juga berhak merahsiakan tarikh kematian kita. Allah memberitahu kita bahawa mati itu pasti, tetapi saat kematian itu dirahsiakan. Supaya setiap detik dan waktu kita dipersiapkan untuk KEMATIAN!

Setiap yang bnyawa, pasti akan mati!

"Ya Allah Ya Tuhan kami, matikanlah kami dalam husnul khatimah dan janganlah Engkau matikan kami dalam su-ul khatimah..."

Saturday, December 4, 2010

Kepulangan Hj Abah dan Hjh Ummi

Salamullahi'alaikum...

     Alhamdulillah. Setinggi langit seluas hamparan laut dan bumi, aku sujud syukur ke hadratMu ya Allah di atas segala limpahan kurnia nikmat-nikmatMu yang tiada pernah terhenti. Selang masa antara 17 Oktober 2010 ke 3 Disember 2010 terasa singkat yang amat. Pejam celik, abah umi dah nak balik. Betapa cepatnya masa beredar.

     Setelah genap 47 hari abah dan umi menjalankan ibadah haji di tanah suci, kini tiba saat kepulangan yang dinanti. Penantian ini seolah-olah menantikan mujahid dan mujahidah pulang dari medan juang di jalan Allah. Hati berdebar-debar menanti dengan penuh pengharapan. Syukur kepada Allah, segala kerja-kerja ibadah rukun yang kelima dalam susunan Rukun Islam ini telah selamat disempurnakan.

     Sedikit terkilan kerana tidak dapat sama-sama menyertai rombongan menyambut kepulangan abah dan ummi. Di atas halangan-halangan tertentu, niat untuk cuti awal terpaksa dibatalkan. Dari tempat pengajian, aku sampai ke rumah hampir sama dengan waktu abah dan ummi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu. Oleh sebab itu, aku hanya menanti di rumah bersama dengan sepupu (anak-anak ayah ngah) yang lain.

     "Abang!!! bangun la, abah umi dah balik ni..." Astaghfirullah, aku terlena rupanya. Aku celik mata setelah kakak yang mengejutkan aku. Rupa-rupanya, semua orang dah sampai. Apapun syukurlah, semuanya telah selamat.

Friday, December 3, 2010

Realiti sebuah Mimpi

Salamullahi'alaikum...

Cepatnya masa berlalu. Kehidupan terus berjalan sepertimana arakan awan menuruti hembusan angin. Aliran air sungai dari puncak bukit terus ke hilir hingga sampai ke laut. Begitulah juga jika ia diadaptasi dalam kehidupan sebagai manusia. Ada irama dan lirik yang seakan sama.

Hari berganti hari, diri pasti akan terasa semakin berumur. Walaupun lisan cuba menafikan, tapi hati tetap membenarkan hakikat diri sudah semakin tua. 'Rumah kata pergi, kubur kata mari'. Itu pepatah orang lama yang masih kekal tersimpan sebagai pedoman hingga ke hari ini. Kata-kata orang lama bukan cakap-cakap kosong. Isinya penuh dengan nasihat untuk anak cucu yang akan mewarisi peninggalannya. Jadi, pesanan ini penting agar si anak mahupun cucu tak mudah leka dengan tipu daya dunia.

Apa yang ingin ku tulis sebenarnya?
Wallahua'lam. Hati tergerak untuk menyatakan sesuatu. Luahan isi hati agar diri melengkapkan rasa ketenangan. Tapi, entah apa yang cuba kuluahkan. Mungkin terlalu banyak sendi-sendi ceritanya sehinggakan tak mampu untuk dipersembahkan.

Jadi, untuk kali ini aku cuba berkongsi tentang sebuah mimpi. Dari mula hingga saat ini. Macam-macam yang telah terjadi. Ada yang menceritakan saat kesepian, kesedihan, kegembiraan dan ada juga yang tak mampu untuk diungkapkan. Cerita ini telah diadaptasikan dari Kisah Benar. Untuk itu, marilah kita langkah bersama...

Siapakah dia?

     Berlatar belakangkan Baitillah alHaram. Dengan hembusan angin kota Suci Makkah dan cahaya terik sapaan sang mentari. Langkahan ringan itu membawa Wardah ke suatu sudut yang tak pernah difikirkannya. Terasa damai dalam hatinya. Seakan menantikan seorang teman. Tapi siapa?

     Dalam suasana yang mendamaikan itu, terlihat pula di suatu sudut yang jauh akan kelibat seorang pemuda. Wardah cuba meneka siapa pemuda yang sedang tercipta dalam pandangannya itu. Namun sedikit kehampaan membalut jiwanya kerana pemuda langsung tidak berpaling memperlihatkan raut wajahnya. Hati Wardah semakin berkobar-kobar ingin mengetahui siapa gerangannya pemuda itu.

     Ingin menegur, sudah pasti Wardah tidak berdaya. Bukan kerana kelemahan, tapi itulah kekuatan yang telah terpasak utuh dalam jiwanya. Kekuatan yang diasaskan oleh Iman dan Amal. Wardah bukan wanita sebarangan. Tak mudah baginya menegur lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Dalam kata sasteranya, Wardah diibaratkan seperti Mawar Berduri. Dilihat boleh, disentuh ia berbisa!

Thursday, December 2, 2010

Janji Tak Tertunai

Salamullahi'alaikum...


(~_~) Maaf seribu kali kemaafan...

Janji, bukan sengaja untuk kukhianati..
Tapi aku adalah si hina bukannya suci...
Aku bukan sengaja menghancurkan harapan..

Tapi ku cuma kerdil yang hanya bisa berdoa...
Tiada niat mempermainkan impian..

Apatah lagi bermain kata-kata...




Berfikirlah sebelum bertindak..
Tapi aku sering khilaf dalam gerak..
Jangan sekejap ya kemudian tidak..
Namun hati tak pernah istiqamah..
Sesuka hati mengikut kehendak..
Tapi sebenarnya ia bukan pintaku..
Sekejap tarik kemudian tolak..
Kerana ku ditipu mainan nafsu!

Hati bukan kristal, bukan juga kaca..

Bila terhempas berderainya tetap sama..
Namun luka dan pedih ditanggung berbeza..
Tidak berdarah tapi sakitnya terasa..

Pernah aku bertanya..
"Apakah aku layak menjadi peneman hidupmu?"
Kerna aku sedar diri tak punya apa..
Tapi engkau tetap menggenggam tanganku..
Memberi saranan.. mencurah harapan...

Dengannya aku cuba berdiri..
Mencari makna kendiri..
Namun aku sedar, aku adalah hamba..
Yang jelas tidak sempurna..
Tiada kudrat manabur janji..

Ampunkan aku!
Jua Terima kasih, kerna masih menerimaku... ~_~
Hanya Allah yang mampu membalas..
Segala jasa baikmu...
Sedangkan aku..
Menanti balasan yang pasti menyapa..
Mudah-mudahan aku berdaya..

~peirisai mahkota < ainul mardhiah

Bacaan : Andai Syurga & Neraka Tidak Ada

Salamullahi'alaikum...

Alhamdulillah, setinggi syukur ku persembahkan hanya padaMu Ya Allah, Tuhan sekalian alam.

Al-kisahnya...
Minggu ini adalah minggu yang amat mencabar buatku dalam sepanjang perjalanan kehidupan. Perjalanan hidup meniti jambatan-jambatan rapuh menuju alam kedewasaan. Inilah namanya kehidupan. Ada hitam dan putihnya. Ada yang warna warni dan ada juga yang langsung tiada warna. Semuanya telah disusun oleh Sang Khaliq Rabbul 'alamin. Pentasnya adalah hamparan Alam Dunia yang serba luas dan pelakonnya adalah manusia hamba yang berpangkat khalifah.

Selama ini kita hidup hanya berbekalkan sebuah guni kecil. Kegunaannya adalah untuk mengisi seberapa banyak mungkin amalan yang ingin kita bawa ke alam berikutnya. Tugasan yang diberikan adalah sama bagi setiap hamba iaitu 'kerjakan amal kebaikan, dan tinggalkan amal yang buruk'. Itulah kunci kepada kotak Iman dan Taqwa. Bagi siapa-siapa yang dapat membukanya, maka beruntunglah hidup Dunianya apatah lagi Akhiratnya.

Namun persoalannya,
Kita mendirikan ibadah kerana inginkan Syurga, menjauhi dosa kerana takutkan Neraka. Andai Syurga dan Neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama?

Inilah persoalan yang mungkin pernah kita dengar dari pengajian-pengajian kitab atau mungkin juga melalui sembang petang di warung kopi. Kali ini, persoalan ini dijadikan muka hadapan sebuah buku ilmiah karangan Wawan Susetya (Nama Pena : Muhamad Hassan Basri). Tajuk buku yang dimaksudkan adalah ANDAI SYURGA & NERAKA TIDAK ADA. Dengan warna yang memukau dan tajuk yang mampu menjentik ruang fikir, sudah pasti ia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Secara tidak langsung, buku ini menjadi pilihan penggemar buku-buku motivasi Islam.

Membelek helaian kulitnya, tersisip sebuah kata-kata luar biasa yang pernah diluahkan oleh seorang 'insan luar biasa'. Siapa yang tidak kenal dengan pemilik nama indah, Rabiah Al-Adawiyah. Ketua waliyullah dari golongan sayap kiri pejuang-pejuang agama Allah. Beliau berkata...

"Ya Allah, sekiranya aku menyembahMu kerana takut kepada Neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembahMu kerana mengharapkan Syurga, campakkanlah aku jauh dari Syurga. Namun sekiranya aku menyembahMu semata-mata demiMu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan WajahMu yang abadi kepadaku."

Subhanallah, Maha Suci Allah...
Kata-kata ini mampu menggegarkan jiwa hamba yang menagih rasa berTuhan. Terdengar esak tangis kecil sang hati, akibat terkenangkan dosa-dosa silam. 'Zaman kejahilan' diri membawa hati jauh dari pengabdian hamba pada Tuhan. Betapa hinanya sejarah silamku.

Wednesday, December 1, 2010

Hikmah Luka Semalam

Salamullahi'alaikum...


Ya Allah,
Jika ini jalan terbaik buatku dan 'dia', maka Engkau tetapkanlah hati kami agar beroleh kekuatan dan terus istiqamah dalam menempuh duri ranjau 'perjalanan meniti kedewasaan'.

Amin Ya Allah,
Kini aku benar-benar mengerti, sunnatul hayah bukanlah dalam genggaman tanganku. Qada' dan Qadar bukan atas fasih lidahku. Tapi segalanya adalah atas qudrat dan iradatmu. Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui dan engkau lebih mengerti apa yang terbaik buat kami.

Syukur Ya Allah,
Engkau menghadiahkanku sebuah perjalanan hidup yang cukup indah. Engkau pernah menjatuhkan aku dan seringkali Engkau membangunkan aku dari jatuhan-jatuhan itu. Sifatku sebagai hamba tak kan lari dari pengawasan nafsu. Nafsu Lawwamah masih hebat memelukku walau bergunung usaha pernah ku taruhkan. Bukan sengaja nafsu itu dicipta, tapi adalah sebagai peringatan buat diriku. Namun aku selalu terlupa walaupun senantiasa diingatkan.

Terima kasih Ya Allah,
Dalam perjalananku mencari cinta dan redhaMu, Engkau meniupkan pada hatiku sedamai rasa keajaiban. Jika ini ajaibnya rasa cinta makhluk, sudah pasti tak dapat ku nafikan betapa hebatnya cinta Mu. Ya, aku terpanah dengan cinta insan. Inilah yang pernah dan masih aku rasakan. Ternyata untuk mengelaknya, bagai menolak awan ke arah angin berlawanan. Aku sedar ia khilaf pada aturanmu, tapi sebagai manusia aku lemah. Lemah dalam menyulusuri jalan mujahadah.

Sunday, November 28, 2010

Hamba Musafir

Sampai saat ini aku masih mencari-cari erti hidup. Menyingkap tabir gelap, cuba mencari siapa aku.

Siapakah aku?
Aku mengerti, diriku adalah si kerdil ciptaan Allah. Bukan menafikan kehebatan ciptaanNya, tetapi kekerdilan ini melambangkan aku ini hamba. Hina penuh nista. Sedari alam roh, aku dianugerahkan bermacam-macam nikmat. Sehingga direhatkan di alam rahim ibuku sebelum mengerah keringat berpenat lelah di alam dunia.

Sehingga di pertengahan jalan. Aku merasaka Dunia ini amat besar bagiku tanpa aku sedar alam Akhirat lebih besar. Maka dengan nikmat dunia yang terasa besar ini membuatkan aku aku leka bercanda. Aku mengaut sebanyak mungkin kekayaan, aku merosakkan sesama makhluk, aku mengkufuri nikmat Tuhan. Kelalaianku kian menjadi seiring dengan bertambahnya usiaku. Hubunganku dengan Allah entah ke mana bahkan hubungan sesama insan aku persiakan.

Perintah Tuhan jadi ukuran. Segala apa yang aku lakukan di alam dunia ini adalah tertaktluk pada aturanNya. Pertamanya aku wajib percaya bahawa yang menjadikan Dunia ini adalah Dia, dan Dia jua lah yang menjadikan alam yang selainNya. Lebih dari itu bukan hanya pencipta, tapi jua mengatur segala gerak kerjanya.

Jika di alam dunia, adanya alam semesta. Langit dan bumi asas penceritaannya. Dijadikan malam waktu untuk melepaskan segala penat setelah seharian penat bekerja membanting tulang. Namun selang masa yang diberikan, mengarahkan jasad mengabdi diri pada Sang Pencipta. Manakala setiap masa menginginkan manusia berfikir dan terus berzikir.

Saturday, November 27, 2010

Khilaf yang ke-seribu kali!


Salamullahi'alaikum...

     Setelah banyak kerosakan yang telah aku lakukan, kini aku sedar betapa susah untuk Ikhlas menjadi diri sendiri. Kata hati milik sendiri, tapi sengaja mendengar bisikan luar dengan harapan mampu berubah. Sedangkan lupa akan hakikat diri. Dia 'orang besar' yang berperisai ampuh tapi aku cuma 'orang kecil' berbaju lusuh bertongkat rapuh.

     Aku sering berbicara soal hati. Bagaikan aku pakar penyelam yang bisa menyelam ke dalam dasar lautan hati. Segala yang ku fikir tentang hati, akanku persembah dalam bait-bait puisi. Tapi aku lupa bahawa yang ku lakukakn semua itu bukan dari gerak keikhlasan, tapi semata-mata mencari pandangan meraih sokongan. Segalanya penuh 'ujub, riya' dan takabbur.

     Walaupun benar yang ku lakukan semuanya untuk merawat barah hati sendiri, tapi keangkuhan nafsu keinginan telah mecengkam seluruh penjuru hati. Aku menangis sendiri. Mengenang dosa yang makin lama makin menjadi. Penawarnya masih tak kelihatan apa lagi ingin merawat sendiri, aku memang tiada upaya.

     Hancur hatiku, bila kata-katanya seakan ingin menutup diari yang masih di awal perjalanan. Ikatan suci yang diikat pada Syariat telah kuruntuhkan hanya dengan sekelip mata. Begitu lama mengambil masa mendirikannya, tapi dek kebodohanku, segalanya musnah dalam sekali hambur. Sumpah seranah yang ku tabur pada diri sendiri, langsung tak mengambil berat tentang hati insan-insan lain.

Ummu Balqis...
Abah, Umi... Ayah, Ma...
Adik, Dikman...

     Mereka ternyata antara nama yang teramat aku sayang. Tapi mengapa dalam saat kemarahan, aku dengan senang melupakan mereka? Hinanya aku di hadapan mereka. Jika mereka tahu dosa apa yang telah ku lakukan, entah aku ini layak untuk teruskan hayat bersama mereka atau sebaliknya.

     Segalanya telah dipersembah. Mata-mata yang melihat telah membaca karangan 'bodoh' ku abad ini. Aku bagai memuaskan diri sendiri tanpa sedar tanganku sedang mecarik-carik kepingan hatinya. Tergamak aku berlaku zalim, memperbodohkan diri sendiri. Maka, jelas aku terhutang. Aku perlu membayar segala kesalahanku ini walaupun tidak dituntut sebarang pampasan.

Maafkan aku...
Semoga Allah menjauhkanmu dari fitnah liar...
dan semoga kita sama-sama mengambil ibrah dari apa yang telah berlaku.




~perisaimahkota

Sunday, November 21, 2010

Hentikan Tangisanmu!

Salamullahi'alaikum...


Hentikanlah tangisanmu! Kerana walau selebat mana hujan, ia pasti akan berhenti...

Hujan yang turun bagaikan mutiara,
Berkilau bersinar berkerdipan,
Subur menghijau bumi terbentang,
Dan bayu berpuput lembut

      Mengapa dirimu terus-terusan menangis? Hentikanlah segera tangisanmu kerana hujan akan berhenti walau seteruk mana keadaannya. Ribut akan pergi, guruh akan pulang ke kampung asalnya manakala kegelapan sang langit akan segera digantikan dengan cahaya. Pancarannya pasti dirasa menembusi atap-atap keresahan. Sebentar lagi, segala kesedihan pasti akan lenyap sekelip mata.

     Perhatikan setiap ciptaan Tuhan, nescaya segala masalah akan sirna ditelan zaman. Salah satu tanda ciptaan Tuhan adalah hujan. Kewujudannya tidak dapat diduga apatah lagi diubah walau dengan cara apa sekalipun. Sehinggakan teknologi canggih cuba untuk mencipta hujan buatan, namun kehebatan hujan asli langsung tidak dapat diganggu gugat. Seperti mana barang ‘ori’, ia sudah pasti mempunyai daya tarik dan nilai sahamnya yang tersendiri.

'Fisiologi' Hujan


     Bagaimana terhasilnya hujan? Rata-rata umat manusia yang pernah melalui alam persekolahan akan mengetahui bagaimana terbentuknya hujan. Mengikut kajian sains hayat, hujan terhasil daripada serapan wap dari sumber air di bumi sama ada laut, sungai dan sebagainya. Ia diangkat naik ke ruang lapisan atmosfera, lalu membentuk gumpalan awan yang semakin lama semakin menebal.

     Setelah gumpalan mencapai tahap tertentu di tambah pula dengan pertembungan antara gumpalan awan yang lain, maka bermulalah suatu fenomena alam yang biasa kita lihat. Warna alam bertukar dari terang dek sinar mentari berganti mendung, suram dan gelap akibat gumpalan awan yang menutupi sinar suria. Seterusnya cuaca mendung itu akan kekal, sehinggalah turunnya hujan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails