Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Friday, September 17, 2010

Bacaan : Cipta Syurga Hati & Tentang Cinta

Salamullahi'alaikum...

     Alhamdulillah. Setinggi syukur semulia kalimah yang mampu di luahkan.Syawal kian berlalu seusia angin bayu. Kemeriahan yang dirasakan semakin hari semakin reda. Bukan kerana Syawal kali ini suram mahupun muram, tetapi begitulah adat resam sunnatul hayah (adat kehidupan). 

     Pun begitu, kicau burung dan alunan irama alam masih bernyanyi riang seperti sebelumnya. Indah tak pernah punah. Irama asli ciptaan Tuhan ini tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Ia teramat menenangkan. Bagi yang bahagia, mendengarkan kemerduan alam ini menambahkan lagi seri warna warna kehidupan. Yang berduka tatkala gundah, suara-suara riang sang burung mampu menenangkan hati walaupun lirik bibir sukar membentuk senyuman.

     Inilah antara bahasa-bahasa alam yang perlu kita terokai. Dari bacaan, pendengaran, penglihatan, bau mahupun sentuhan. Sastera semulajadi ciptaan Tuhan ini menyimpan lenggok dan kiasan cerita tersendiri. Justeru mampu membahagiakan sang duka lara. Apabila bahagia menerjah ke ruang hati, kesan tinggalan resah kian musnah sedikit demi sedikit. Walaupun saki bakinya masih ada, tapi kesan yang hanya tinggal selepas itu cuma sedikit. Tidak sekental sebelumnya. Begitulah adat kebiasaannya.

     Maka setelah kebahagiaan diperolehi, akan terciptalah syurga hati. Syurga itu menjadi idaman setiap insan yang berakal tak kira dia adalah 'manusia besar' atau 'manusia kecil'. Golongan atasan mahupun bawahan, semuanya menginginkan terciptanya Syurga Hati (ketangan hati). Jika wujud syurga itu, timbul lagi keinginan untuk mengekalkan rasa bahagia. Kalau boleh untuk selamanya. Tak mahu lagi mencipta pondok buruk lagi busuk dalam ruangan hati. Yang ada hanya rasa inginkan tercipta sebuah mahligai indah yang kekal sehingga mati.

Bacaan

     Cipta Syurga Hati adalah sebuah buku indah karangan motivator terkenal tanah air, Dr HM Tuah Iskandar. Beliau mengolah sesuatu penceritaan bertepatan dengan situasi masyarakat sekarang. Bagi yang telah mambacanya, saya rasa ulasan kita berkenaannya hampir sama. Penulisannya membawa kita meletakkan diri kita pada tahap terbawah, supaya kita mengenang kembali asal wujudnya kita di bumi Allah ini. Kembali diingatkan tentang tugas dan peranan kita, siapa kita dan untuk apa kita disini [?]. Kemudian penulis mengangkat kita dari satu tahap ke tahap berikutnya sehingga sampai membawa kita ke daerah yang tertinggi sesuai dengan kemampuan kita. Maka di situ, kita akan kembali beroleh semangat untuk meneruskan kembara hidup. Membina kecekalan hati untuk mencipta sebuah 'syurga' indah di sebuah negara yang dikenali sebagai HATI.


     Buku kedua yang sempat saya baca adalah berkenaan dengan cinta. Apa itu cinta? Siapakah yang layak bercinta? Bagaimana untuk memperoleh Cinta dan apakah cara untuk mengekalkan rasa Cinta itu? Jika putus cinta, apakah penawarnya? Ini antara soalan-soalan awal yang biasa mahupun luar biasa yang diajukan kepada siapa yang telah membelek buku 'Tentang Cinta' ini. Seperti biasa, penulis buku tersebut adalah Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Beliau telah saya nobatkan sebagai idola dalam bidang penulisan dalam hati saya. Tulisannya mampu menggetarkan jiwa saya. Saya yakin, ini jualah yang dirasakan oleh peminat tegar tulisan beliau.

     Apabila penulis ikhlas melontarkan kata, maka ketenangan dan 'resapan langsung' akan terkesan tepat pada hati. Hati yang bergejolak akan terpujuk dengan keindahan kata-katanya seraya terasa damai haruman ketenangan. Buku Tentang Cinta ini merupakan cahaya petunjuk bagi sang muda mudi yang belum, akan sudah mahupun telah lemas dalam lautan percintaan. Cinta muda mudi mempunyai seni yang tersendiri. Berbeza cerita cinta muda mudi sekarang dengan zaman muda mudi mak ayah kita. Perbezaan inilah yang menyebabkan perlunya panduan dan nota baru sebagai petunjuk jalan. Jika tidak, kita akan terus hanyut dalam alur kesesatan. Na'uzubillah...

Bacalah

     Justeru, saya sarankan bagi sahabat pembaca blog Perisai Mahkota yang ingin mecipta Syurga Hati, buku Cipta Syurga Hati boleh dijadikan sebagai 'manual' dalam menjadikan kunci kepada pintu 'syurga hati'. Dan bagi sahabat sekalian yang terasa ingin bercinta atau telah 'tewas' dalam cinta, pilihlah buku Tentang Cinta ini sebagai bahan bacaan seterusnya dikerah seluruh keringat untuk diamalkan dalam hidup seharian. InsyaAllah... Allah akan bantu kita atas usaha keras kita. Allah tidak zalim dan tak mungkin zalim. Hanya manusia yang menzalimi diri sendiri kerana berterusan meletakkan diri dalam kancah kejahilan.
Barakallahulakum...aminn.

~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails