Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Sunday, November 21, 2010

Hentikan Tangisanmu!

Salamullahi'alaikum...


Hentikanlah tangisanmu! Kerana walau selebat mana hujan, ia pasti akan berhenti...

Hujan yang turun bagaikan mutiara,
Berkilau bersinar berkerdipan,
Subur menghijau bumi terbentang,
Dan bayu berpuput lembut

      Mengapa dirimu terus-terusan menangis? Hentikanlah segera tangisanmu kerana hujan akan berhenti walau seteruk mana keadaannya. Ribut akan pergi, guruh akan pulang ke kampung asalnya manakala kegelapan sang langit akan segera digantikan dengan cahaya. Pancarannya pasti dirasa menembusi atap-atap keresahan. Sebentar lagi, segala kesedihan pasti akan lenyap sekelip mata.

     Perhatikan setiap ciptaan Tuhan, nescaya segala masalah akan sirna ditelan zaman. Salah satu tanda ciptaan Tuhan adalah hujan. Kewujudannya tidak dapat diduga apatah lagi diubah walau dengan cara apa sekalipun. Sehinggakan teknologi canggih cuba untuk mencipta hujan buatan, namun kehebatan hujan asli langsung tidak dapat diganggu gugat. Seperti mana barang ‘ori’, ia sudah pasti mempunyai daya tarik dan nilai sahamnya yang tersendiri.

'Fisiologi' Hujan


     Bagaimana terhasilnya hujan? Rata-rata umat manusia yang pernah melalui alam persekolahan akan mengetahui bagaimana terbentuknya hujan. Mengikut kajian sains hayat, hujan terhasil daripada serapan wap dari sumber air di bumi sama ada laut, sungai dan sebagainya. Ia diangkat naik ke ruang lapisan atmosfera, lalu membentuk gumpalan awan yang semakin lama semakin menebal.

     Setelah gumpalan mencapai tahap tertentu di tambah pula dengan pertembungan antara gumpalan awan yang lain, maka bermulalah suatu fenomena alam yang biasa kita lihat. Warna alam bertukar dari terang dek sinar mentari berganti mendung, suram dan gelap akibat gumpalan awan yang menutupi sinar suria. Seterusnya cuaca mendung itu akan kekal, sehinggalah turunnya hujan.


An Nuur : 43Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (yaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya dari siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

     Begitulah betapa hebat kuasa Tuhan yang diserlahkan melalui lengkapnya kuasa alam. Setiap inci alam saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru hal yang pertama wajib kita lakukan adalah meletakkan rasa syukur penuh penghambaan hanya pada Allah, Tuhan semesta alam. Segalanya bertindak atas arahan Allah. Yang telah diatur rapi, tersusun indah namun ia kekal terhijab di sebalik rahsiaNya.

Hujan pasti berhenti

     Salahkah bersedih? Sepertimana alam yang sekali sekala menumpahkan rintik hujan, maka begitulah jua dengan manusia. Manusia juga mempunyai ‘hujan’ dengan gaya tersendiri. Ia mengalir halus dalam bentuk linangan air mata. Air mata ini wujud atas pelbagai alasan. Boleh jadi disebabkan kesedihan, kegalauan rasa hati mahupun kegembiraan. Tapi awas, di luar sana ada juga air mata buaya!

     Air mata merupakan bukti bahawa manusia itu punya perasaan yang bermacam-macam rupa dan gaya. Bergantung pada rentak hati seseorang. Maka bagi sesetengah keadaan, mengalirkan air mata kesedihan tidaklah menjadi suatu kesalahan kerana ia adalah fisiologi normal manusia. Akan tetapi, kesedihan yang wujud dalam jangka masa panjang adalah teramat tidak digalakkan.

     Dalam ilmu psikologi, kesedihan atau kemurungan berpanjangan boleh membawa kepada masalah mental yang serius. Lebih teruk, seseorang individu akan mengalami penyakit psikosis. Jika ia benar-benar terjadi, teramatlah sukar untuk dipulihkan. Kalau pulih sekalipun, kebiasaannya penyakit ini boleh berulang sekiranya masalah kembali membuai rasa.

    Oleh sebab itu, ahli psikologi bertindak memberi tunjuk ajar bagi meredakan kesedihan yang berpanjangan. Seorang ulama’ yang juga pakar dalam motivasi Islam, Dr. ‘Aidh al-Qarni telah mengarang sebuah buku bertajuk ‘La Tahzan’ (jangan bersedih). Buku tersebut terbukti mampu menghentikan kesedihan ramai orang. Kata-kata indah yang telah beliau garapkan amat menyentuh perasaan dan secara tidak langsung kesedihan yang terbuku di hati akan lenyap secara beransur-ansur.

     Pun begitu, kesedihan yang bermain-main di jiwa seseorang hanya dapat dihentikan oleh pemilik jiwa itu sendiri. Walau pakar motivasi sekalipun yang hadir, kesedihan sebenar dan cara untuk meredakan kesedihan itu hanya dapat dirasai oleh yang memendam rasa. Seperti mana firman Tuhan,  tiada yang dapat merubah sesuatu kaum melainkan mereka sendiri.

     Ayuh, marilah sama-sama kite perhatikan saat sebelum turunnya hujan membasahi bumi. Bukankah gumpalan awan menjadikan alam suram dan mendung? Begitulah jua lah hati manusia. Seseorang itu tidak akan lepas dari musibah. Keresahan, kesedihan, kemurungan dan sebagainya akan bercampur baur sehingga terpaksa menerbitkan air mata. Air mata ini adalah titik puncak kepada kesedihan hati. Sama seperti hujan, ia adalah titik puncak kepada cuaca mendung yang berpanjangan.

     Justeru, pantaskah kita bersedih dengan sesuatu perkara yang pasti ada penyelesaiannya? Sepertimana selepas hujan, akan memancar sinar terang menandakan segala kesedihan alam sudah kian pudar. Mendung sudah pergi, kini mentari yang menggantikan tempatnya. Ertinya, tak perlulah untuk kita terus bersedih kerana masa akan menjadi pengubatnya. Putaran waktu akan membawa kesedihan hati segera menjauh. Ia akan membawa ketenangan dalam diri, seraya menghentikan tangisan. Ketenangan yang wujud dalam wajah kebahagiaan itulah sinar dalam hidup kita. Pancaran sinarnya terang malah lebih terang dari sinar sang matahari.

     La takhaf wa la tahzan, innallaha ma'ana. Duhai kekasih, jangan takut dan janganlah bersedih lagi. Sesungguhnya Allah ada dekat bersama kita. Kalau tetap ingin takut, takutlah akan kemurkaan Allah. Jika tetap ingin brsedih mahupun ingin terus menangis, menangislah hanya kerana ALLAH kerana pelepah tamar dan buraq pun pernah menangis kerana Allah. Pelepah tamar menangis kerana Nabi Muhammad tidak lagi menggunakannya sebagai mimbar masjid, akhirnya ia dimasukkan ke dalam syurga. Buraq menangis kerana takut tidak terpilih sebagai tunggangan Nabi sewaktu Isra’ dan Mi’raj. 

     Oleh itu, perlu diingat pantang larang sewaktu bersedih. Kita diingatkan supaya tidak bersedih terlalu lama. Sama seperti hujan, apa akan jadi sekiranya hujan berlalu dalam jangka waktu yang lama? Sudah pasti segala kerja tidak dapat disiapkan. Penoreh getah terpaksa bercuti, pesawah perlu berehat dari turun ke bendang dan nelayan terpaksa menunda tarikh ke laut. Seksanya hujan terlalu lama boleh membantutkan usaha memenuhi keperluan asas. Maka sebab itulah kesedihan yang lama teramat dilarang. Sikit-sikit, lama-lama jadi barah!

Cahaya Kekuatan

     Jadi, sedarlah kita bahawa kesedihan hanya memberi manfaat yang teramat sedikit berbanding keburukan. Tangisan yang berpanjangan boleh menyebabkan Kassim Selamat buta mengenangkan Sabariah. Aliran air mata yang berterusan menjadikan mata Nabi Yaakub buta akibat sedih tatkala mendapat khabar ‘kematian’ Nabi Yusuf. Itulah antara kesan sampingan bahana tangisan yang telah terbukti pada pengetahuan kita. Untuk itu, bersederhanalah apabila menangis!

     Sebenarnya kita masih belum mengerti tentang diri sendiri. Buktinya, kita akan terus terjelepuk rebah setiap kali ditimpa musibah. Seakan-akan dunia sudah kiamat. Langsung tiada usaha untuk bangun semula. Kita lupa untuk membuka kunci mahligai kekuatan yang sememangnya telah disematkan dalam setiap diri anak Adam. Jika kita benar-benar mengenali diri kita sendiri, yakinlah bahawa kesedihan akan dapat segera dihapuskan.

     Kadang-kadang kita tidak perlu mencari di mana letaknya kunci mahligai itu. Sebab, sewaktu pancaran matahari menerangi segenap ruang alam, waktu itulah wap-wap air akan diserap naik ke angkasa. Tinggi makin tinggi meninggalkan permukaan bumi. Dulunya air itu pernah jatuh, kini ia menggagahkan diri menggapai awan. Lalu membentuk kesatuan raksasa malah riang berterbangan di angkasa raya. Ibrah yang dapat diambil darinya adalah, kita pelu melahirkan sifat ‘sabar’ sewaktu menghadapi sesuatu masalah. Berbsabarlah duhai hati, kerana kekuatan itu akan hadir dengan sendirinya. Dengan syarat kita perlu yakin dengan bantuan Allah.

     Inilah silapnya kita. Kita terlebih-lebih peka kepada sesuatu benda yang jatuh tanpa kita sedari saat kebangkitannya. Yang menambahkan silapnya, kita langsung tidak menyedari saat kita sedang kuat tetapi kita sering menggunakan kekuatan itu. Kita bekerja seharian membanting tulang, mengerah keringat mencari rezeki untuk keluarga. Segalanya berlaku di ketika alam terang. Kita melalui hari-hari indah itu tanpa menyedari hakikat kecerahan yang Allah anugerahkan. Apabila guruh berdentum dan awan bergerak laju, barulah kita sedar bahawa segala pekerjaan tadi terjadi akibat adanya kekuatan. Dan kekuatan itu dipancarkan oleh sang Matahari. Konklusinya, sedarlah bahawa kita sebenarnya kuat!

     Sebagai akhirnya, sedarlah bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ciptaan Tuhan tidak berlaku dengan sia-sia, apa lagi untuk disia-siakan. Yakinlah bahawa setiap musibah pasti ada penyelesaiannya. Ya, memang selepas hujan akan tercipta lopak-lopak air yang menunjukkan tinggalan parut-parut keperitan yang masih membekas. Akan tetapi, yakinlah pada edaran masa. Jika kita menggunakan kekuatan dengan sebaiknya seterusnya membiarkan parut keperitan itu terubat sendiri, maka kita akan dianugerahkan dengan trofi kebahagiaan. Trofi ini dihadiahkan atas usaha gigih kita setelah sekian lama berperang dengan perasaan.

     Sebagai akhirnya ingatlah, kita pasti jadi kuat dan akan sentiasa kuat sekiranya kita Sabar! Sesungguhnya sabar dan syukur itu adalah kunci Syurga untuk hidup yang kekal abadi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita di atas segala keterlanjuran yang tidak disengajakan. Dan diharapkan agar Allah menguatkan Iman kita dan menjauhkan diri kita dari rasa sedih yang tak mampu ditanggung. Jika tetap ingin menangis, ‘menangislah kerana Allah’.

~perisaimahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails