Salam diskusi buat semua pembaca yang dikasihi lagi disayangi. Sudah pasti kita berbangga jika kita mempunyai sahabat yang baik. Baik budi akhlaknya, tutur bicaranya, santun pergaulannya dan sebagainya. Dengan adanya sahabat seperti itu di sisi kita, setiap langkah perjuangan kita akan terasa roh kekuatannya. Sedikit pun takkan goyah. Saat mara kehadapan, dia membisikkan kata semangat. Tika jatuh, dia menghulur tangan pada kita lalu memapah seiringan supaya kita kembali bangkit meneruskan sisa-sisa perjuangan.
Mencari kawan yang ramai, tidak menjadi masalah besar berbanding mencari seorang sahabat yang sejati. Kawan ada macam-macam jenis dan rupa. Baik buruknya masih terselindung di sebalik tabir penglihatan kita. Sebab itu wujudnya istilah, 'kawan makan kawan'. Belum pernah kita terdengar 'sahabat makan sahabat'. Oleh sebab itu, jelaslah mengapa kawan yang seribu lebih senang di cari berbanding sahabat yang satu.
Pernahkah kita terfikir untuk menjadikan Al-Quran sebagai sahabat baik yang paling rapat dengan kita? Jika belum terfikir, mari kita selongkar dan sama-sama fikirkan rahsia yang terhimpun di sebalik mukjizat Al-Quran. Kemudian, terpulang pada kita untuk menilainya sama ada Al-Quran layak dijadikan sebagai sahabat atau hanya kawan, ataupun musuh!
Al-Quran Diturunkan Sepanjang Zaman
Mengapa dikatakan Al-Quran masih diturunkan sedangkan Rasulullah telah lama wafat? Bahkan ia telah pun dibukukan dalam sebuah kitab dengan pelbagai mushaf mengikut zaman dan tempatnya tersendiri. Inilah yang perlu kita cungkil dari Mukjizat yang terbesar ini. Cuba kita lihat dari sudut bahasa Al-Quran sahaja. Betapa hebatnya bahasa Arab yang telah dipilih oleh Allah sebagai bahasa Al-Quran.
Berbeza dari kitab suci agama lain yang hanya berlaku untuk masa yang terbatas, Al-Quran diturunkan untuk jangka waktu yang tak terhingga bahkan ianya akan tetap turun sampai datangnya kiamat. Maka bahasa yang digunakan Al-Quran haruslah bahasa yang tetap digunakan oleh umat manusia sepanjang zaman.
Kenyataannya, sejarah manusia belum pernah menjumpai sebuah bahasa pun yang tetap kekal sepanjang sejarah. Setiap bahasa punya usia, selebihnya hanya tinggal peninggalan sejarah. Bahkan bahasa Inggeris sekalipun masih mengalami perkembangan sejarahnya. Maksudnya, bahasa Inggeris yang digunakan pada hari ini jauh berbeza dengan bahasa yang digunakan oleh orang Inggeris di abad pertengahan. Kalau Ratu Elizabeth II masuk ke mesin waktu dan bertemu dengan datuknyanya, King Arthur, yang hidup di abad pertengahan, mereka tidak mampu berkomunikasi, walaupun sama-sama penguasa Inggeris di zamannya. Mengapa?
Kerana walaupun namanya masih bahasa Inggeris, tetapi jelas bahasa keduanya jauh berbeza. Setiap bahasa mengalami perkembangan, baik istilah mahupun tatabahasanya. Setelah beratus tahun kemudian, bahasa itu sudah jauh mengalami perkembangan yang serius. Bagi orang Kelantan, loghat Kelantan 'orang-orang lama' jauh berbeza dengan loghat 'anak-anak moden' sekarang begitu juga dengan loghat-loghat negeri lain.
Sebaliknya, perubahan-perubahan tersebut tidak pernah terjadi pada bahasa Arab. Bahasa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai orang arab yang hidup di abad ke-7 masih utuh dan sama dengan bahasa yang dipakai oleh Raja Abdullah, penguasa Saudi Arabia di abad ke-21 ini. Kalau seandainya kedua-duanya bertemu dalam pengembaraan mesin masa, mereka masih boleh bersembang dari malam hingga ke subuh hanya dengan menggunakan bahasa Arab yang sama.
Dengan kenyataan seperti ini, wajarlah bila Allah SWT memilih bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran yang abadi. Jika tidak, kemungkinan Al-Quran sudah pun musnah seiring dengan musnah bahasanya.
Penawar Penyakit Jiwa
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram” (QS ar-Ra’du:28).
Jiwa yang sakit sentiasa gelisah mencari ketenangan hidup. Sakit akibat tidak berpantang daripada melakukan dosa dan maksiat atau lalai serta lupa tujuan penciptaannya di dunia. Allah Yang Maha Penyayang mengutuskan Rasulullah SAW kepada umatnya, membawa petunjuk menyelesaikan permasalahan manusia hingga ke akhir zaman.
Melalui wahyu yang diturunkan, Rasulullah SAW ditugaskan membersih dan menghidupkan jiwa manusia, menjelaskan yang hak dan batil, memimpin tangan manusia daripada kegelapan ke jalan terang. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul antara mereka, yang membacakan ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab (al-Quran) dan hikmah (sunah); dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 2).
Kehebatan Mukjizat Agung
Bayangkan kita telah membeli sebuah kereta. Sebelum membeli kereta tersebut, jurujualnya menceritakan tentang kehebatan-kehebatannya. Diberitahu, kereta ini tidak akan bergoyang walaupun dipandu selaju 250km sejam. Bumbung keretanya akan terbuka sendiri manakala akan tertutup dengan sediri jika cuaca terlampau panas atau nak hujan. Body kereta tersebut pula kalis peluru, tayar boleh bertukar jadi sayap jika melalui kawasan banjir dan berbagai lagi kehebatan yang tak terfikir oleh kita.
Walaupun segala kelebihannya kita tahu dan kita hafal, adakah kehebatan-kehebatan kereta tadi terbukti sekiranya kita langsung tidak menggunakannya? Sudah tentu tidak. Jadi, dapatlah kita kiaskan kepada kehebatan Al-Quran. Bagaimana untuk kita mengenal kehebatan Al-Quran sekiranya Al-Quran masih lagi disimpan bagi dibuat perhiasan almari?
Zaman sekarang, Al-Quran hanya digunakan untuk bacaan majlis-majlis tertentu. Mushafnya diletakkan di tengah-tengah meja persidangan sebagai simbolik agama. Replikanya pula diukir sebesar-besarnya untuk dijadikan pintu gerbang sesebuah negara. Selain itu, Al-Quran hanya dilagukan dalam pertandingan tetapi tidak pula 'dilagukan' dalam kehidupan. Hukum-hukum yang terkandung di dalamnya diketepikan manakala hukum manusia pula yang diagung-agungkan.
Mungkin tak tercapai untuk kita menyingkap isi-isi tersirat dalam Al-Quran satu-persatu. Tapi bukan bermaksud ketidak upayaan itu membuatkan kita terus melupakan Al-Quran. Bukankah makna Al-Quran itu sendiri bererti 'bacaan'? Jadi maknanya, cukuplah ia sekadar dibaca sebagai salah satu kaedah zikir yang diajarkan oleh Rasulullah selain dari solat dan wirid-wirid harian. Setelah dibaca, difahami, diyakini dan diamalkan maka lengkaplah keimanan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Al-Quran Sebagai Sahabat Sejati
Kesimpulannya, benarlah Al-Quran adalah mukjizat yang sentiasa diturunkan hingga akhir zaman. Sejak mula-mula ia diturunkan hingga kini, Al-Quran tetap dijadikan panduan hidup yang pertama ~ kemudiannya Hadis Rasulullah SAW. Namun kekesalan timbul apabila saban hari, Al-Quran semakin dilupakan. Walaupun pengakuan pada lafaz telah menyatakan bahawa Al-Quran adalah panduan hidup, tetapi betapa ramai dari kita yang masih dan terus menzalimi Al-Quran. Sedar atau tidak, kita telah meletakkan Al-Quran bukan pada tempat yang sepatutnya.
Akibat dari itu, dunia telah Barat mengambil peluang di atas kepincangan umat Islam ini untuk menghina Al-Quran dengan sesuka hati mereka. Hari-hari kita mendengar Al-Quran dipijak, dijadikan alas duduk malah lebih teruk ia dibakar dan dibuang dalam lubang najis. Perkara-perkara sebegini wujud akibat kelalaian kita sendiri. Akibat kita melupakan Al-Quran, golongan kuffar dengan senang mengambil peluang untuk mengotorkan kesucian Islam. Zahirnya kita lihat mereka yang mengotorkan Al-Quran, tetapi hakikat sebenarnya kita sendirilah yang menjadikan Al-Quran dipandang dan dilayan hina-sehinanya.
Al-Quran dihina bukan kerana ia tidak diyakini, tetapi kerana tidak diamalkan. Sekadar keyakinan, belum cukup untuk membuktikan kekuatan iman seseorang. Disebabkan tahu dan yakinlah, orang kafir memijak dan membakar Al-Quran. Jika mereka tidak yakin benda yang bernaskhah itu adalah Al-Quran, sudah pasti ia takkan memijaknya apatah lagi mengoyakkan dan membakarnya. Justeru, cukupkah Iman kita dengan hanya sekadar tahu dan yakin?
Sudah pasti belum cukup. Penyelesaian yang perlu diambil bagi menyempurnakan Iman kita, kita perlu membuka kembali helaian-helaian Al-Quran yang telah lama kita tinggalkan. Bacalah, fikirlah dan zikirkannya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup seharian. Apa-apa yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran, perlu diikuti dan diamalkan. Jangan ragu dengan Al-Quran kerana setiap yang dinyatakan di dalamnya adalah benar kerana ia telah 'diucapkan' oleh Yang Maha Benar. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, Ayat 2 yang bermaksud; "Kitab Al Quran ini tidak ada keraguan padanya, sebagai petunjuk bagi mereka yang berTaqwa."
Akhirnya, jadikanlah Al-Quran sebagai sahabat sejati kita. Kita selalu menginginkan sahabat yang menjadi teman bicara, kita inginkan sahabat yang mampu menyelesaikan masalah, kita inginkan sahabat yang menenangkan hati saat kita ditimpa musibah dan kita berbangga mempunyai sahabat yang mampu mengangkat darjat kita. Maka, berdampinglah dengan Al-Quran kerana ia mampu melunaskan segala keinginan yang telah kita nyatakan. Bukan kerana Al-Quran itu berkuasa, tetapi 'pemilik kalam-kalam' yang terhimpun di dalam Al-Quran itu sebenarnya Maha Berkuasa.
Jangan takut untuk bersahabat dengan Al-Quran, kerana sahabat sejati tidak akan 'makan' sahabatnya!
Wallahua'lam.
~perisaimahkota
No comments:
Post a Comment