Alhamdulillah, setinggi syukur ku persembahkan hanya padaMu Ya Allah, Tuhan sekalian alam.
Al-kisahnya...
Minggu ini adalah minggu yang amat mencabar buatku dalam sepanjang perjalanan kehidupan. Perjalanan hidup meniti jambatan-jambatan rapuh menuju alam kedewasaan. Inilah namanya kehidupan. Ada hitam dan putihnya. Ada yang warna warni dan ada juga yang langsung tiada warna. Semuanya telah disusun oleh Sang Khaliq Rabbul 'alamin. Pentasnya adalah hamparan Alam Dunia yang serba luas dan pelakonnya adalah manusia hamba yang berpangkat khalifah.
Selama ini kita hidup hanya berbekalkan sebuah guni kecil. Kegunaannya adalah untuk mengisi seberapa banyak mungkin amalan yang ingin kita bawa ke alam berikutnya. Tugasan yang diberikan adalah sama bagi setiap hamba iaitu 'kerjakan amal kebaikan, dan tinggalkan amal yang buruk'. Itulah kunci kepada kotak Iman dan Taqwa. Bagi siapa-siapa yang dapat membukanya, maka beruntunglah hidup Dunianya apatah lagi Akhiratnya.
Namun persoalannya,
Kita mendirikan ibadah kerana inginkan Syurga, menjauhi dosa kerana takutkan Neraka. Andai Syurga dan Neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama?
Inilah persoalan yang mungkin pernah kita dengar dari pengajian-pengajian kitab atau mungkin juga melalui sembang petang di warung kopi. Kali ini, persoalan ini dijadikan muka hadapan sebuah buku ilmiah karangan Wawan Susetya (Nama Pena : Muhamad Hassan Basri). Tajuk buku yang dimaksudkan adalah ANDAI SYURGA & NERAKA TIDAK ADA. Dengan warna yang memukau dan tajuk yang mampu menjentik ruang fikir, sudah pasti ia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Secara tidak langsung, buku ini menjadi pilihan penggemar buku-buku motivasi Islam.
Membelek helaian kulitnya, tersisip sebuah kata-kata luar biasa yang pernah diluahkan oleh seorang 'insan luar biasa'. Siapa yang tidak kenal dengan pemilik nama indah, Rabiah Al-Adawiyah. Ketua waliyullah dari golongan sayap kiri pejuang-pejuang agama Allah. Beliau berkata...
"Ya Allah, sekiranya aku menyembahMu kerana takut kepada Neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembahMu kerana mengharapkan Syurga, campakkanlah aku jauh dari Syurga. Namun sekiranya aku menyembahMu semata-mata demiMu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan WajahMu yang abadi kepadaku."
Subhanallah, Maha Suci Allah...
Kata-kata ini mampu menggegarkan jiwa hamba yang menagih rasa berTuhan. Terdengar esak tangis kecil sang hati, akibat terkenangkan dosa-dosa silam. 'Zaman kejahilan' diri membawa hati jauh dari pengabdian hamba pada Tuhan. Betapa hinanya sejarah silamku.
Teman di kala Keperitan
Seperti yang telahku sebutkan di awal penulisan, bahawa minggu ini adalah minggu keperitan buatku. Bebanan yang cuba ditanggung sendiri akhirnya membawa padah pada diri. Yang menyedihkan, tempias dahsyatnya jelas tertusuk pada insan yang teramat kusayangi. Betapa rakus aku meratah kesucian hatinya akibat disirna hijab nafsu. Maafkan aku, sesungguhnya langsung tidak terlintas di hatiku untuk meratah sadis isi hatimu.
Maka, sepanjang laluan denai-denai hari yang berselerakan duri-duri tajam ini, aku menjadikan buku ini sebagai peneman sepi. Aku mencari-cari di mana Allah. Aku tercari-cari di mana syurga dan dimana letaknya neraka. Kesinambungannya, aku juga turut mencari-cari dimanakah wujudnya Dia dihatiku? Tanpa sedar, aku terlepas pandang pada suatu pencarian yang lebih penting. Pencarian itu diserlahkan dalam bentuk persoalan, 'Siapakah aku?'
Nyata, aku masih belum dipertemukan dengan diriku yang sebenar. Selama ini aku tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Aku menjadi diri 'orang lain'. Orang lain yang berada dalam jasadku inilah yang telah mengawal segala gerak geriku selama ini. Terkadang aku tersedar dari lamunan. Aku mengerti bahawa aku perlu membebaskan diriku dari 'penjara diri' sendiri, namun lamunan itu kembali membuai lenaku. Justeru aku terus hanyut dalam dunia rekaanku.
Astaghfirullah, ampunkan aku Ya Allah. Semoga Engkau menunjukkan wasilah dan tariqah yang terbaik buat diriku supaya aku lebih terpandu dalam mencari hala tuju hidup. Hidup kita yang sebenar adalah untuk Mati. Lalu, jika masalah sekecil itu tak mampu untuk dikawal, apa pula jika suatu hari nanti akan didakap keras oleh masalah sehebat tanah yang menghimpit jasad? Na'uzubillah...
Ya Allah, hanya Engkau sebaik-baik tempat bagiku memohon keampunan...maka ampunkanlah aku.
~perisai mahkota
No comments:
Post a Comment