Jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Seperti biasa tanpa disuruh, adik akan membantu ummi memotong buah tin di dapur. Buah tin ini untuk dijamukan pada tetamu yang datang ke rumah bersama buah kurma, air zam-zam dan sebagainya. Sehingga ke hari ini, masih ada saudara, sahabat dan kenalan abah juga ummi yang datang bertandang ke rumah untuk bersua muka dengan abah dan ummi bagi bertanya khabar keadaan diri dan keadaan kehidupan di bumi Haramain sana.
“Ummi, ummi takut tak dengan hari kiamat?”
“Mesti la takut, semua orang akan takut.” Jawab ummi tenang sambil terus mencuci lauk yang hendak dimasak. Justeru adik bertanya lagi. Soalan yang berbentuk cadangan seperti yang pernah diajukan pada abah pada malam semalam. “Kalau ummi takut, kita sama-sama duduk dalam rumah la. Kita tak payah pergi mana-mana, kita diam jer…”
Mendengar cadangan itu, ummi terus menjawab, “Mana boleh, sebab nanti pun rumah kita ini akan hancur.” Adik terus memotong buah tin. Tapi harus diingat, adik akan terus bertanya selagi soalan belum terjawab. Jika cadangannya pula ditepis tanpa alasan yang kukuh, selagi itu adik akan bersoal jawab. Adik tidak memaksa orang menerima cadangannya, tetapi adik ingin mengetahui kenapa cadangannya ditolak.
“Kenapa semua hancur ummi? Kiamat tu akan datang sekali dengan ribut ker?” Seperti dijangka, adik bertanya lagi. “Ya dik. Bila waktu kiamat datang, tiada seorang pun akan terlepas. Semua akan hancur termasuk rumah kita. Sebab itulah kita tak boleh nak lari ke mana-mana.” Aku yang berada jauh dari mereka kini mendekat. Ingin turut sama berada dalam diskusi hebat ini. Aku tersenyum mendengarkan jawapan dari ummi, mudah-mudahan jawapan ummi diterima sebaiknya.
“Tapi, adik tetap nak lari. Adik tak nak kena ribut tu.” Adik bijak mengelak. Dia nampak yakin dengan kata-katanya walaupun bagi kita ulasan sebegitu mungkin mudah untuk dipatahkan. Dengan meminta izin, aku mencelah. “Tak boleh jugak la dik sebab bila kiamat datang nanti semua akan kena. Rumah hancur lebur, tanah, bukit-bukit juga akan turut sama hancur.”
“Kalau macam tu, susah la. Habis tu kita macam mana? Kita nak pergi mana sebenarnya?” Adik bertanya untuk mendapatkan kepastian. Mukanya sedikit berkerut, tangannya yang sedang memegang pisau berhenti sejenak dari terus memotong buah tin yang seterusnya. Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapanku.
“Nanti kita semua akan mati.” Jawabku cuba menjelaskan.
“Mati?”
“Ya, mati. Kemudian kita akan dihidupkan semula untuk dikumpulkan di padang mahsyar. Kita semua akan pergi ke padang mahsyar. Di sana nanti semua orang kita akan jumpa.”
“Mati lepas tu hidup semula?” Adik belum berpuas hati.
“Ya, kita semua akan hidup semula lepas mati nanti. Semua tu Allah akan buat.” Habis idea dalam otak aku kerahkan untuk memberi jawapan yang terbaik buat adik. Nasib baik adik mengangguk. Mungkin dia sudah boleh menerima jawapanku.
“Padang mahsyar tu jauh ke bang?” Dia mengajukan soalan seterusnya.
“Mesti lah, jauh. Teramat jauh.”
“Ummi, kalau padang mahsyar tu juah, macam mana kita nak pergi ke sana ya? Dengan kapal terbang boleh ke?” Kini ummi pula yang menjadi sasaran soalannya.
Ummi menjawab tenang. “Tak boleh dik, kapal terbang pun tak boleh bawa kita ke sana sebab jauh sangat-sangat.”
Sahaya senyuman terukir di bibir, ummi tetap menjawab. “Pun tak boleh la dik” Adik pun turut tersenyum ditambah gelak yang sederhana. Mungkin dia pun menyedari soalannya itu lucu dan tidak munasabah untuk diajukan.
“Habis kita nak pergi padang mahsyar nanti macam mana?” Ah, adik belum menamatkan diskusinya. Sebaliknya menanyakan soalan yang tinggi tahapnya melewati ketinggian fizikalnya sendiri. Soalan adik kali ini menyentuh bab Tasawuf dalam Aqidah. Jika ditanya pada kita, ‘bagaimana untuk kita pergi ke padang mahsyar kelak?’ Agak-agak mampu tak kita menjawabnya?
“Allah yang akan bawa kita ke padang Mahsyar nanti dik.” Begitulah jawapan ummi. Bersahaja tetapi tepat pada sasaran bagaikan bola tanggung yang diberikan pada ummi dibalas dengan smash tajam. Jelas, jawapan yang terbit dari libasan itu mengena tepat pada hati. Adik mengangguk faham. Libasan ummi tak mampu lagi disambut atau dibalas.
“Ya, dik. Allah yang akan bawa kita ke sana.” Aku menambah.
“Abang, nanti dekat padang mahsyar, kita akan berkumpul ramai-ramai dan beratur. Betul ker?” Aku mengiyakan sahaja jawapan adik walaupun secara hakikatnya tidak kita ketahui bagaimana keadaan kita akan dikumpulkan nanti.
“Kat sana nanti, Allah akan timbang (amalan) apa yang kita dah buat…kan bang?”Adik bertanyakan soalan yang tidak aku jangka. Soalannya itu diselangi dengan tangan kirinya memegang bahu kirinya sendiri. Mungkin adik ingin memberi maksud ‘catatan amalan’ yang ditulis oleh malaikat Raqib dan ‘Atid yang berada di sebelah bahu manusia. Dalam hati aku bertanya, ‘dari mana adik tahu tentang hal sebegitu jauh dalam usia sekecil itu?’
Aku tersenyum dan sedikit tergelak. Bukan kerana lucu, tetapi teruja. Teruja dengan soalan yang sebegitu hebat. Aku tidak mampu menafikan apa-apa kerana soalan itu sudah lengkap bersama jawapan. Adik turut tersenyum.
“Ya dik, betul la tu. Kita akan ditimbang amalan kita iaitu antara pahala dan dosa kita. Jika banyak amalan baik, maka banyak lah pahala kita. Oleh sebab itu, kita akan dimasukkan ke Syurga. Di syurga, kita akan hidup senang, makan senang, ada tempat rehat selesa dan macam-macam lagi yang baik-baik. Lepas tu…” Tanpa sempat aku menghabiskan ayat, adik menambah.
“Abang, syaitan pun akan masuk neraka ke?”
“Ya, syaitan mesti la akan masuk neraka. Sebab dia yang ajak orang buat jahat.” Aku menjawab. Tapi entah kenapa aku tak mampu tahan dari terus gelak. Bukan bermaksud menyindir adik, tetapi bermacam-macam perasaan yang aku rasakan.
Aku seolah-olah gembira, teruja, bahagia dan agak tidak percaya dengan apa yang sedang adik bualkan. Soalan-soalan adik benar-benar berada pada tahap tinggi. Sukar untuk dipercayai jika hal sebegini sudah diajar di pra sekolah tempat dia belajar. Malahan, lebih mengujakan apabila adik begitu cepat menangkap perkara-perkara sebigini dan terus dimuatkan dalam kotak memorinya.
“Oh, patut lah syaitan itu diciptakan.” Adik menamatkan bicaranya dengan menyokong penuh segala jawapan yang telah dikemukan padanya.
Kami semua tersenyum termasuk ummi. Aku pasti ummi juga berbangga dengan adik yang sudah mampu menguasai bab sebegini. Tugas ummi untuk memahamkan adik mungkin mudah nanti sebab sedikit sebanyak yang adik sudah tahu. Akan tetapi, ummi berdepan dengan masalah besar sekiranya soalan-soalan high class ciptaan adik tidak mampu dijawab dengan jawapan yang super high class!
Semoga ada pengajaran yang dapat kita sama-sama ambil di sebalik perbualan ringkas ini. Wallahua’lam.
~perisaimahkota
1 comment:
SubhanaALLAH...memang xsangka dia sekecik tu berfikir cara org dewasa..kagum ngan adik iklil.. ^_^..
Post a Comment