Salamullahi'alaikum...
Salam Ma'al Hijrah 1432H.
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120
Hijrah Nabi dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah menyingkap tabir sebuah pengorbanan. Pengorbanan yang besar buat Dunia Islam dan seluruh umatnya. Kesusahan dan keperitan untuk meninggalkan kampung asal telah menjadikan diri mereka kuat dan terus istiqamah dalam perjuangan. Mereka tidak gentar apa lagi menyesal kerana yang meyakinkan mereka adalah firman-firman Allah. Apabila pohon firman dan daun Iman bersatu, maka tindakan yang bersungguh-sungguh dan istiqamah akan mewujudkan buah Taqwa.
Diqiaskan pula dalam kehidupan kita hari ini. Perpindahan dari kampung lama ke kampung baru bererti meninggalkan jalan-jalan kegelapan menuju jalan yang terang bercahayakan Iman. Memang sakit untuk meninggalkan 'kampung' lama kerana di sana tempat kita membesar dan tempat kita bermain. Selok belok 'kampung' lama teramat kita kenal sehinggakan kita telah bersumpah untuk mempertahankannya dari amukan orang luar.
Jika firman tidak disatukan dengan Iman, maka 'perpindahan dari kampung lama ke kampung baru' tidak akan terjadi. Walaupun terdetik rasa ingin berubah, jika tidak digerakkan dengan usaha, selama itulah perpindahan hanya menjadi teori semata-mata. Kekuatan usaha membuktikan kekuatan iman seseorang. Maka dengan itu, kita akan mengenali tahap iman kita berdasarkan sejauh mana usaha kita berubah ke arah yang baik dan meninggalkan yang buruk. Namun, tahap keimanan kita yang sebenarnya adalah tetap dalam rahsia Allah swt.
firman Allah S.W.T.: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89
Yang lebih utama, kita buat dulu apa yang perlu kita buat. Amal-usaha-doa-tawakkal. Jika tidak terpisah empat elemen ini berpandukan acuan Al-Quran dan Hadis , insyaAllah kita akan selamat selama-lamanya. Sebagai akhirnya, sempena dengan 1 Muharram 1432H ini, saya ingin menyeru kepada sahabat sekalian terutamanya diri saya sendiri agar sama-sama mengembalikan diri pada jalan mujahadah. Walaupun mujahadah ini pahit, tapi percayalah kepahitan ini hanya sementara kerana kemanisan yang bakal kita kecapi kelak di syurga adalah bersifat kekal tiada penghujungnya. Justeru, ayuh kita berubah! Bukan esok ataupun lusa tetapi sekarang!
Lirik Nasyid Maal Hijrah
Satu Muharram detik permulaan
perkiraan tahun islam hijrah
perpindahan nabi dan umat islam
dari kota mekah ke kota madinah
atas keyakinan dan iman yang teguh
kaum muhajirin dan ansar bersatu
rela berkorban
harta dan nyawa
demi menegakkan islam tercinta
hijrah itu pengorbanan
hijrah itu perjuangan
hijrah itu persaudaraan
hijrah membentuk perpaduan
oleh itu
mari semua kita sambut ma'al hijrah
tingkatkan semangat
tegakkan syiar islam
untuk sepanjang zaman
~perisai mahkota
No comments:
Post a Comment