Jam 12 tengah hari menunjukkan waktu makan bagi pesakit psikiatri di Wad Kemasukan Lelaki (WKL). Semua pesakit bergegas ke dewan makan untuk menyantap hidangan tengah hari. Bermacam gelagat yang kami lihat. Ada yang tidak sabar mengambil makanan, dan ada juga yang lambat-lambat pergerakannya (cool jer...). Suasananya hampir sama dengan hari-hari sebelumnya.
Tiba-tiba kami terkejut. Terdengar suara seseorang menangis teresak-esak. Seakan suara kanak-kanak degil yang menangis setelah baru saja dipukul oleh ayahnya. Saya mencari-cari suara itu. Rupa-rupanya suara itu dari seorang pesakit. Abang Ayie (bukan nama sebenar) bersungguh-sungguh menangis seperti menyesali dosa besar yang pernah dilakukan dulunya. Kami mendekatkan diri untuk bertanyakan sebab mengapa dia menangis.
"Abang, makan la... kenapa nangis ni?" tanyaku memujuk.
Dia tidak menjawab. Hanya menggelengkan kepala dan menyambung tangisannya. Kini semakin kuat. Kami cuba sedaya upaya memujuknya untuk makan, tetapi dia menolak tray makanan kepada sahabat di hadapannya. Matanya mula merah, pipinya dibasahi titis-titis penyesalan. Tanpa ingin mengganggu, kami sekadar memerhati kelakuannya. Tetap sama, tetapi...
"Aku rindu mak, aku dah lama tak balik jumpa mak. Korang tau dah 3 tahun aku tak jumpa mak..." keluhan ini yang sempat kami rakam ke dalam benak fikiran masing-masing.
Tangisan diteruskan, sehingga pujukan kami langsung tidak diendahkan. Kami sedikit tercengang dengan situasi yang berlaku tengah hari ini. Betulkah Abang Ayie menangis? Abang Ayie adalah seorang pesakit paling ceria yang pernah kami jumpa. Waktu lapangnya diisi dengan nyanyian-nanyian yang menghiburkan. Suaranya amat kuat sehinggakan satu blok WKL boleh dengar suaranya. Dia juga suka bercerita. Satu yang kami tanya, berpuluh-puluh jawapannya. Masuk saja waktu solat, dia akan Azan dengan penuh perasaan dan suaranya dikerahkan seluruh tenaga.
Tetapi kali ini, jendela-jendela keceriaan itu seakan-akan tertutup rapat. Langsung tidak memberi peluang kepada cahaya kebahagiaan untuk meresap masuk ke dalam jiwanya. Kesedihan yang teramat dapat kami rasakan. Dia beredar dari dewan makan. Makanannya langsung tidak disentuh kecuali sesuap tembikai sahaja. Dia menyisihkan diri di belakang dinding, dan meneruskan rintihannya di situ. Dengan harapan, ibunya mampu mendengar suara hatinya.
Sepuluh minit berlalu, dia perlahan-lahan berjalan mendekati kami yang waktu ini sedang berada di kaunter pejabat. Di palang kayu, disembamkan mukanya rapat. Kami sedar, mood untuk Abang Ayie menyanyi datang kembali, tetapi lagu kali ini lain ceritanya. Lisannya hanya mengalunkan lagu-lagu tentang kasih suci seorang ibu. Air mata yang mulanya hanya bergenangan di kelopak mata, kini bercucuran mengalir. Hebat tangisannya. Tafsiran perasaan yang cukup mendalam sehingga mampu menyerlahkan keadaan sedemikian.
Saya yang memandang tepat pada matanya, pun merasakan turut diheret bersama ke dalam dunianya. Aku juga hampir-hampir mengeluarkan air mata, tapi berjaya di kawal. Dunia lampau yang cukup memeritkan. Amat sedih untuk diungkap. Saya hanya boleh membayangkan apa yang difikirkan oleh Abang Ayie, tetapi perasaan yang sebenar hanya dapat dirasai oleh dirinya sendiri. Aku hanya mampu melihat wajah itu. Wajah penuh penyesalan. Gayanya tak ubah seperti watak isteri kematian suami yang dilakonkan oleh Fauziah Nawi dalam cerita 'Bertaut di Jabal Rahmah'. Tidak ada siapa pun yang boleh menghentikan tangisannya.
Diagnosis : Bipolar Mood Disorder
Sekadar inilah coretan kisah selama kami mengenali Abang Ayie. Dia sebenarnya mempunyai masalah dalam jiwanya yang amat sukar untuk ditafsirkan bagi kita. Mungkin kalian pernah dengar tentang penyakit ini, Bipolar Mood Disorder (BMD). Ataupun mungkin langsung tidak pernah mendengarnya. Baiklah, sedikit saya ingin kongsikan secara ringkasnya, apakah yang dimaksudkan dengan penyakit BMD ini.
Bipolar Mood Disorder (manic-depression disorder). Bipolar Disorder dipecahkan kepada 2 keadaan yang utama iaitu manic dan depressive.
Keadaan yang bersangatan penuh dengan kegembiraan disebut sebagai manic episode, dan keadaan yang sangat sedih atau tanpa harapan disebut depressive episode. Adakalanya, episode suasana hati ini termasuklah gejala-gejala dari keduanya sekali iaitu manic dan depressive. Ini disebut sebagai keadaan campuran (mixed state).
Rawatan penyakit...Berikut adalah serba sedikit berkenaan penyakit BMD ini. Apa yang dapat kami simpulkan dari perlakuan Abang Ayie adalah selama 3 hari suasana hatinya berada pada tahap manic episode. Dia bergembira sepanjang masa, bernyanyi riang, mengusik teman satu sel, mengacau kami sedang bertugas, suka bersosial dan sebagainya. Semuanya tidak pelik bagi kami, kerana persepsi kami sememangnya itulah sifat yang ada pada seorang pesakit mental.
Hari ini moodnya berubah. Perubahan mood ini sehingga mencecah tahap depressive episode. Suasana hatinya telah meruntuhkan segalanya. Keadaan perasaannya jadi kelam, suram, sedih, putus harapan dan yang sama seangkatan dengannya. Kecewa yang teramat sangat dirasakan sehingga membawa kepada tangisan. Tetapi, mujurlah episode sedih ini berjalan hanya sekitar masa setengah jam. Bagi kami, setengah jam adalah sekejap sahaja dan tidak terlalu lama. Bila kami cuba pujuknya dengan lawak-lawak semasa, dia pun kembali senyum dan lebih dari itu dia kembali mampu tertawa.
Yang Tersirat di Sebalik Tangisan
Siapa yang tidak sayang pada ibu. Ibulah yang menjadi permulaan kita hidup di atas muka bumi Allah ini. Dia yang melahirkan kita, menyiapkan pakai kita. Dia juga yang menjadi perisai bagi jasad kita apabila diganggu gigitan nyamuk saat kita tidur sehinggakan waktu tidurnya sendiri terabai. Dia menyuapkan makanan, dia mengajar kita berjalan, mengajar kita bertutur dan sebagainya.
Setelah kita meningkat umur, dia mengasuh kita untuk mula belajar mengeja. Helaian muqaddam dibelek helaian demi helaian. Suara ibu yang kedengaran mengajarkannya. Ayah membantu menyempurnakannya. Kita menjejakkan kaki ke alam persekolahan dengan penuh harapan di hatinya. Dia ingin sekali melihat anaknya ini berjaya dalam apa jua keadaan. Sebelum melangkah turun dari rumah, dicium tangan ibu untuk mengambil selaut keberkatan kerana tangan inilah yang sentiasa diangkat selepas selesai solat memohon kekuatan pada Allah.
Ya Allah... ya Rahman, ya Rahim
Indahkan kehidupan kami dengan kesolehan anak-anak kami
Peliharalah anak-anak kami yang kecil
Kuatkanlah anak-anak kami yang lemah
Sucikan qalbu mereka
Bersihkan kehormatan mereka
Sihatkanlah badan mereka
Cerdaskan akal mereka
Indahkan akhlak mereka
Gabungkanlah mereka bersama orang-orang yang bertakwa kepada-Mu
yang mencintai Nabi-Mu, keluarganya yang suci, dan sahabatnya yang mulia
yang berbakti kepada orangtuanya yang bermanfaat kepada bangsanya
yang berkhidmat kepada sesama manusia...
sambungan doa penuh disini...
Lalu diaminkan. Saat doa ini di persembahkan pada Rabbul Jalil, kita masih lena dibuai mimpi-mimpi yang mengasyikkan atau mungkin saja kita masih terleka dengan mainan-mainan dunia. Tanpa sedar, kita telahpun meningkat dewasa. Kini ibu ditinggalkan. Tangisan ibu yang dulunya mengharapkan kita berjaya, sekarang telah berubah. Tangisan kali ini lebih memilukan. Dia merindukan kehidupan dulu, saat melihat anaknya mula bertatih dan berlari-lari anak. Saat memakaikan baju dan menyuapkan makanan. Semua amanah telah dilaksanakannya, tetapi kini dia ditinggalkan keseorangan.
Banyak lagu-lagu yang menceritakan kasih suci ibu dimainkan di corong-corong radio, semuanya menyusup masuk ke dalam hati kita. Lalu ketengan yang kita rasakan. Apatah lagi tika berjauhan dari ibu, rindu yang teramat kita rasakan. Kita rindukan belaian halus ibu kita. Kita rindukan juadah dari masakan ibu kita. Tidak ada yang mampu menandinginnya.
Penyesalan dan Harapan
Untuk itu, balaslah segala doa ibu pada kita. Jika dulunya, dia yang sentiasa menadahkan tangan memohon kebahagiaan kita. Kini, ringan-ringankanlah tangan mengangkatnya memohon doa dari-Nya untuk ibu kita pula. Segala pengorbanan yang dicurahkan kepada kita adalah amat mustahil untuk kita membalasnya. Tetapi, usahakanlah yang termampu. Penat lelah yang dilalui oleh ibu sewaktu dulu, tak mungkin dapat kita rasakan. Pun begitu, bermujahadahlah untuk membahagiakan ibu kita. Ceriakan hari-harinya dengan senyuman atau membantunya dalam tugasan seharian.
Yang mengarang nota hati ini pun belum cukup kuat untuk membahagiakan seorang ibu. Terkadang ada khilaf yang terlanjur sehinggakan memaksa air mata ibu keluar. Apa yang disuruhnya, tidak terlaksana. Apa yang dimintanya, tidak kuhulur. Gara-gara bisikan nafsu, aku jadi pemalas. Jasa ibu terus disisihkan.
"Ya Allah, Ampunkanlah dosaku... Dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku sewaktu alam kecilku..."Selangkah lagi kehadapan, aku punya harapan untuk memiliki teman hidup dalam perjuangan perjalanan ini. Setiap dari yang bernama Adam, pasti mencari Hawa sebagai peneman. Itu jua yang aku rasakan. Dia yang cukup istimewa telah hadir dalam hidupku. Aku berharap, dia yang bakal memenuhkan title 'zaujah' ini memahami tugasku sebagai suami. Walau suami, aku tetap anak bagi seorang ibu. Aku tidak mahu kerana terlalu memenuhkan cintanya, cinta ibuku diabaikan. Aku tidak mahu menjadi seperti Alqamah, yang hampir saja dibakar jasadnya akibat terabai dalam memenuhi cinta IBU...
Abang Ayie pernah menulis sepucuk surat pada abangnya. Kami menjumpai warkah keramat itu di dalam fail rekod pesakit. Suara hatinya cukup mengajarkan aku erti cinta sebenar. Abang Ayie menasihatkan abangnya supaya mendahului Cinta Ibu. Tulisannya penuh penghayatan dan sarat dengan pengharapan...
'Ingatlah abangku, isteri boleh dicari tetapi jagalah hati ibu kita sebaiknya sebelum dia pergi meninggalkan kita...'Astaghfirullahal'azhim... (T_T)
...tangisan ini aku tujukan buatmu, Ummi...maafkan segala kesilapan yang telah abang lakukan pada ummi...
~perisai mahkota
No comments:
Post a Comment