Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Friday, July 16, 2010

Masjid : Mahligai Yang Disisihkan

Salamullahi'alaikum...

   Pita rakaman memori kembali memutarkan kisah-kisah lama. Saya masih terkenangkan suasana sewaktu berhimpun bersama keluarga di kampung (Rengit, Batu Pahat, Johor). Hampir seluruh sanak saudara waktu itu berkumpul di ruang tamu rumah arwah Atok Bak. Kami berkongsi-kongsi cerita diselang dengan gelak tawa ceria.



   Pok Teh yang biasanya akan menjadi Penglipur Lara mengemudi acara. Selepas kisah demi kisah, Pok teh memanjangkan sembang-sembang malam dengan menimbulkan satu idea yang cukup menarik. Dia mengajak bermain teka-teki. Maka mulalah berbalas-balas soalan antara kami. Antara dialog teka-teki yang masih aku ingat sampai sekarang (ingat-ingat lupa)...



Pok teh : Bangunan apa yang paling tinggi di dunia?

Kami : Affiel Tower, WTC, Menara KLCC...bla bla bla (hentaman demi hentaman jawapan).

Pok Teh : Salah! Salah dan semuanya salah! Hehe...

Kami : habis...ape jawapannya Pok Teh??

Pok Teh : (sambil tersenyum) jawapannya adalah... MASJID.

Kami : Kenapa masjid? Masjid kan rendah jer...

Pok Teh : Sebab, cuba korang semua tengok kat kubah masjid. Bukankah ada bulan dan bintang? Sebab tu la masjid yang paling tinggi. Mana ada bangunan kat dunia ni yang tingginya boleh sampai mencecah bulan dan bintang... hehe...percaya tak??

Kami : ooo...  hahahaha... (gelak disambung-sambung menjadikan suasan bertambah riuh).

   Selepas itu, permainan diteruskan lagi. Bermacam-macam soalan diajukan dan berbagai-soalan yang dijawab. Entah betul entah tidak. Tapi, semuanya telah menjadi kenangan. Selepas arwah Atok Bak dan Atok Mak dipanggil mengadap Sang Khaliq, segalanya telah berubah. Aku amat rindukan suasana meriah itu. Apatah lagi, tika takbir raya sayup-sayup kedengaran. Ya Allah...aku rindukan semuanya...

“Al-Fatihah buat Arwah Atok Bak dan Atok Mak”, semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama para Solihin. insyaAllah...


Teka-teki yang Terjawab

   Walaupun air mata ini berterusan mengalir, segalanya mustahil untuk undur kembali ke masa lampau. Sejarah tetap sejarah. Ia tetap akan meninggalkan kita, tetapi kesegarannya masih terasa dan akan terus dirasai sampai akhir usia.

   Namun, kisah yang ingin dibincangkan kali ini bukan tentang rumah atuk, atau suasana desa, atau meriahnya keluarga, atau sejarah hidup yang indah... tetapi, perbincangan kali ini sekadar ingin menyedarkan diri saya dan sahabat sekalian dari lena panjang. Apa kaitannya dengan dialog teka teki di atas?

   Ya, inilah yang kita akan cuba kupaskan dalam entri kali ini. Apabila diungkap dari sudut nahu (tatabahasa) teka-teki, logiklah masjid adalah bangunan yang tertinggi kerana ketinggiannya boleh mencecah Bulan dan juga Bintang.

   Bagaimana pula kalau saya tanyakan. Apa pula mahligai yang sepatutnya berada pada martabat tertinggi di dalam jiwa kita umat Islam? Mungkin banyak jawapannya. Tetapi saya dapat mengagak, jawapan yang sedang berlegar-legar di kotak fikiran sahabat sekalian juga adalah MASJID. 

   Alasannya, mungkin kalian terikut-ikut dengan jawapan teka-teki di atas ataupun memang kalian membulatkan niat di hati bahawa semangnya masjid perlu diletakkan pada darjat tertinggi. Kerana masjid adalah rumah Allah.

Bangunan Tertinggi di Malaysia?

   Sedar atau tidak, kita sebenar sudah terlalu leka. Kita tak sedar pun apa yang dah berlaku di sekeliling kita. Kita hanya tahu, kita syok sendiri dalam dunia kita. Makan, tidur, kerja dan sebagainya. Semuanya berjalan tanpa langsung kita sedar, yang kepala kita sekarang ini sedang dipijak-pijak. Dipijak oleh siapa?

   Percaya atau tidak, kalau saya katakan kita sekarang dipijak-pijak oleh mereka-mereka yang dilaknat? Bila kita dipijak? Siapa yang dilaknat? Mengapa mereka dilaknat?
Allah taala berfirman yang bermaksud, 
“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219).



“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91).


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,


“Barangsiapa berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia bersedekah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).


   Inilah simpulan jawapan bagi persoalan yang diajukan di atas. Jelas buktinya, masjid-masjid yang sepatutnya kita letakkan pada darjat tertinggi telah di benamkan oleh Mahligai mal’unah (tempat yang dilaknat). Di sana terhimpun segala jenis maksiat yang terang lagi bersuluh. Judi, Arak, Zina, Penipuan dan sebagainya.

   Tempat yang saya maksudkan adalah Pusat Peranginan Genting Highland. Umumnya tahu, tempat tersebut adalah tempat bersantai terbaik bagi kaki judi, kaki botol, kaki betina dan segalanya jenis kaki yang sewaktu dengannya. Mereka inilah golongan yang saya maksudkan sebagai golongan terlaknat. Saya bukan cakap kosong, tapi dalilnya jelas dari Al-Quran dan Hadis.

   Baiklah... saya nasihatkan kalian bertenang. Saya bukan ingin membuat provokasi untung menyerang Genting Highland. Saya tidak mahu kita salahkan sesiapa terlebih dahulu dalam hal ini. Saya mengajak kalian untuk menuding jari ke arah diri sendiri dulu. Maka tanyakan pada diri kita sendiri, apa yang telah aku lakukan untuk ISLAM di Malaysia ini sehingga pusat maksiat boleh berada pada ‘darjat’ tertinggi?

Mahligai yang disisihkan

   Bayangkan kita sebagai anak kandung kepada seorang ibu yang bersifat zalim. Mama Jahat lah kononnya. Sepatutnya kita sebagai anak kandung akan diberi layanan yang adil dengan adik-beradik kita yang lain tetapi tidak. Adik beradik lain makan KFC seminggu sekali, tapi kita setahun sekali pun belum tentu dapat. Orang lain tidur di bilik masing-masing di dalam rumah. Tapi, bilik kita dibina khas berasingan di bawah anjung rumah. Hidup tak ubah macam pelarian. Kita disisihkan. Cuba bayangkan...tentu keperitan yang kita rasakan.

   Realitinya, sudah tentu mustahil untuk berlaku perkara sebegitu. Rata-rata, ibu yang benar-benar punya sifat keibuan tidak akan melakukan perkara sedemikian. Baiklah, sekarang cuba letakkan watak ibu atau ayah yang zalim itu ke dalam diri kita. Dengan kejamnya, kita telah menyisihkan seorang anak kandung yang sepatutnya dibelai dengan penuh kasih sayang. Sanggupkah kita jadi seperti demikian?

   Jika jawapannya ‘sanggup’. Tidak keterlaluanlah kalau saya katakan anda adalah seorang yang bersifat zalim. Tapi jika jawapannya ‘tak sanggup’, syukurlah kerana Allah masih menganugerahkan nilai-nilai positif dalam diri kita. Pun begitu, jawapan tetap jawapan yang hanya terzahir pada lisan perkataan. Akan tetapi, bagaimana agaknya dengan tindakan?

   Kita sebenarnya bukan penzalim, tetapi kealpaan kita terhadap pencarian nikmat dunia telah meletakkan diri kita ditempat mereka-mereka yang zalim. Termasuklah saya sendiri. Dengan kelekaan yang tidak kita sedari, akhirnya kita dihina, kita dipijak, kita di sisihkan.

   Kekuatan umat Islam, akan jelas terbukti jika masjid-masjid dipenuhi dengan jemaah. Setiap kali azan dikumandangkan, ribuan umat akan berbondong-bondong keluar dari rumah masing-masing dan memenuhi saf-saf solat di masjid. Ini bererti, laungan azan dari ‘Tok Bilal’ bukan hanya panggilan kosong. Tetapi ia adalah panggilan Agung yang disambut seluruh umat  yang mendengarnya. Indahnya Syariat ini jika benar-benar terlaksana.

Salah Siapa?

            Namun begitu, malang sekali yang kita rasakan. Masjid-masjid yang menjadi kebanggaan kita umat Islam, kini berada di aras terbawah. Manakala, tempat maksiat diangkat setinggi-tingginya. Siapa yang bersalah dalam soal ini?

            Jika kita bersikap seperti mana lagu ‘Bangau oh Bangau’, sudah tentu kita akan menyalahkan orang lain semata-mata. Tanpa langsung memikirkan kekurangan pada diri. Kemungkinan dalam isu ini, kerajaan yang salah kerana memberi kelulusan tanah. Pihak berkuasa yang salah. Tokey judi itu yang salah. Semuanya salah orang!

            Cuba kali ini, kita pejam mata dan fikir dalam-dalam. Rupa-rupanya semua ini berlaku atas sikap kelalaian kita sendiri. Kita telah melakukan satu kesilapan besar. Kita lah yang sepatutnya mengangkat masjid ini pada darjat tertinggi. Bukan bermakna dengan turut membinanya di tempat tinggi-tinggi seperti di atas bukit, mendirikan menara setinggi menara Kuala Lumpur atau mendirikan sebuah masjid dengan belanja yang berjuta-juta. Akan tetapi, sebagai Muslim seharusnya kita menjadikan masjid sebagai destinasi pilihan seharian.

Penuhi Tuntutan Syariat

   Solat jemaah amatlah penting untuk sama-sama kita laksanakan. Waktu terluang, kita isi dengan kuliyah, perbincangan agama atau tadarrus Al-Quran. Aktiviti masjid mesti diperkuatkan. Yang paling penting dari itu, solat Subuh berjemaah perlu menjadi keutamaan kerana di situ terletak kekuatan umat Islam. Semuanya ini bukan mudah untuk kita laksanakan. Tetapi jika dengan azam yang kuat untuk benar-benar mengangkat sesebuah institusi masjid, inilah caranya.

   Jangan jadikan masjid sebagai simbol agama semata-mata. Tetapi jadikanlah ‘solat berjemaah di masjid’ itu sebagai simbol kekuatan sebenar Umat Islam. Bayangkan jika ribuan umat Islam berkumpul di masjid-masjid setiap 5 waktu sehari semalam. Qiam, ruku’ dan sujud bersama. Seusai solat, para jemaah mengangkat tangan mengaminkan doa. Dipohon penuh harapan, agar segala kemungkaran di bumi Malaysia ini akan terhapus.

“Ya Allah, kembalikanlah kami ke jalan yang paling lurus...iaitu jalan orang-orang yang Engkau berikan mereka nikmat yakni dari golongan Para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin...”

            Inilah kekuatan kita. Sama-samalah kita kembalikan sejarah usang yang telah lama kita tinggalkan. Masjid adalah haq mutlak umat Islam. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. Akibat masjid terbiar terlalu lama, maka tidak ada sesiapa pun yang inginkannya. Azan pun tak lagi kedengaran. Semuanya sunyi. Syariat tidak lagi jadi tujuan hidup. Yang ada cuma dengkuran hanyut manusia dalam selimut kenikmatan. Terus leka dibuai mimpi-mimpi indah. Sampai masa ajal memanggil pulang, berpindah ke alam barzakh tanpa sebarang bekal kebajikan. Waktu itu, barulah kita nak menyesal. Na’uzubillah...

            Dengarlah suara hati. Masjid sering memanggil-manggil kita untuk kita bersatu memenuhkannya. Barisan tikar sejadah yang dihamparkan pada tiap-tiap saf solat merintih menantikan anggota sujud hamba. Kitab-kitab yang tersusun rapi merindukan tangan manusia untuk memegangnya dan mengambilnya menjadi bahan rujukan amal seharian. Dengarlah suara mereka. Walaupun begitu, pada hakikatnya mereka tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan mereka.

Tepuk dada, soal Imanmu sendiri!




~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails