Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Saturday, July 10, 2010

Solat : Amanah Agung

   Kedengaran esak tangis di kediaman Baginda saw. Ramai yang berhimpun di sana. Apa yang berlaku? Rupa-rupanya mereka sedang menangisi (bukan meratapi) kewafatan Sang Nabi Agung, Muhammad saw. Lelaki inilah yang memberi kenal akan mereka tentang Cahaya Islam yang suci. Tubuh yang sedang terbujur kaku inilah yang sewaktu hayat perjuangannya, tak henti menyebarkan kebenaran dan menjamin keamanan. Juga yang telah mengeluarkan mereka dari kepompong Jahiliah kepada sinar indah Aqidah, Syariat dan Akhlak Islamiyah. Tanpa Sang Nabi Agung ini, tidak mungkin mereka akan mengerti makna sebenar kehidupan.

   Dialah pembawa risalah Agung. Terus dari Yang Maha Pencipta dan Pentadbir Alam. Kini, segalanya seolah-olah telah berakhir. Mereka menangisi pemergian Sang Nabi kerana teramat tinggi cinta mereka kepada Baginda. Dulu, insan yang memiliki wajah jernih inilah menjadi tempat rujukan dalam segala hal, sekarang tempat pengaduan itu dirasakan seolah-olah tertutup.

   “Jika kamu menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah pergi meninggalkan kita...kerana Baginda juga Manusia. Akan tetapi jika kamu menyembah Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup selamanya...” pujuk Abu Bakar Assiddiq kepada sahabatnya, Umar Al-Khattab.

   Maka berderailah linangan air mata membasahai pipi Sayyidina Umar. Baru dia mengerti makna yang tersirat. Rupanya Rasulullah benar-benar telah pergi meninggalkan alam dunia ini. Tersungkurlah beliau ke tanah. Pedang yang dipegangnya sebagai ugutan untuk membunuh sesiapa yang mengatakan Sang Nabi telah wafat, terlucut dari genggaman tangannya. Segalanya luluh. Berlutut menghadapkan wajahnya ke tanah. Seakan jantungnya direntap. Subahanallah...begini hebat cinta seorang sahabat pada Baginda saw.


   Itu adalah kisah yang berlaku pada sekitar 1400 tahun yang dulu. Telah wafatnya sang Pembawa Risalah. Namun apa yang dibawanya tetap terus kekal dalam lembaran kitab-kitab ulama’. Sepanjang perjalanan perjuangan Rasulullah di alam dunia ini, telah direkodkan dalam berbagai bentuk. Sama ada, disimpan di dalam memori fikiran mahupun termaktub di dalam ribuan karya berbentuk penulisan. Bertebaran tinta emas tersebar ke seluruh pelusuk Dunia. Inilah hasil keringat perjuangan Rasulullah dan para sahabat sewaktu ketika dulu.

   Kali ini, saya hanya cuba ingin mencungkil satu perkara yang amat penting dari apa yang telah Baginda hadiahkan kepada kita. Sempena dengan 27 Rejab, sinonimnya ia akan dikaitkan dengan peristiwa isra’ dan mi’raj Rasulullah saw. Perkara yang paling utama yang di serlahkan di sebalik cerita ini adalah penganugerahan ‘fail’ Solat daripada Allah kepada PesuruhNya. Maka setelah itu, di sebarkan ke seluruh ceruk dunia. Generasi ke generasi. Sampailah sekarang kepada kita. Tidak mustahil nanti, kita pula pula akan perturunkan kepada anak cucu kita hinggalah berterusan ke akhir umur Dunia. Ini bermakna, perjuangan dakwah Rasulullah saw tetap berantaian walaupun jasad Baginda telah lama disemadikan di tempat pembaringan.

   Sebelum wafat Sang Nabi saw, Baginda sempat berpesan kepada kaum keluarga, para sahabat dan seluruh umatnya... “As-solah, As-solah, As-solah... (sembahyang, sembahyang, sembahyang!!!)”. Inilah antara wasiat terakhir yang ditinggalkan oleh Baginda saw. Kenapa solat? Kenapa Rasulullah tidak berpesan supaya ‘bertebaranlah kesuluruh pelusuk dunia untuk mencari harta kekayaan, supaya kamu dapat hidup senang’...?

Realiti umat akhir zaman

   Kenyataan sudah semestinya suatu kebenaran yang jelas dapat dilihat. Ia bukan dongengan palsu yang sengaja dipintal-pintal sebagai menyedapkan buah mulut semata-mata. Apa yang realitinya? Ya, inilah realitinya. Jelas sekarang, pesanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw ini telah terabai tanpa dikenakan sebarang paksaan. Jika dahulu, para sahabat terpaksa mencari tempat-tempat tersorok untuk mendirikan syariat yang telah diberikan. Mereka akan diseksa dan dimaki jika dilakukan secara terbuka. Ada yang langsung dihalang dari mengerjakan Solat dan amalan-amalan lainnya. Walaupun begitu, tidak memutuskan semangat mereka.

   Tetapi semuanya telah berubah. Realiti dunia umat akhir zaman telah terbalik 180 darjah, berbeza dengan apa yang kita dengar dari kehidupan perit Sang Nabi dan sahabat. Jika dahulu mereka dilahang untuk solat, tapi mereka tetap berusaha untuk setia mengerjakannya. Kini, tiada lagi yang menghalang. Tidak ada lagi seksaan ke atas umat yang sengaja mengerjakan ibadat di tempat terbuka. Tiada lagi kritikan dan juga kutukan yang menyeksakan psikologi seseorang individu muslim. Namun, yang sedihnya di saat kelapangan dan kebebasan ini, umat Islam di Malaysia khususnya langsung tidak mengambil berat tentang amanah yang WAJIB dilaksanakan ini.

   Waktu muda disiakan dengan sewenang-wenangnya. Yang kaki rempit, sibuk ‘weenng sana, weenng sini’ sambil angkut anak dara orang. Tak kurang hebatnya bagi si gadis muda, tempat-tempat hiburan dipenuhi sebagai pelaris pasaran. Si jejaka pun akan terikut ke sana sebab katanya di sana dapat menenangkan fikiran sambil memenuhkan kekosongan baki umur muda. Darah muda lah katakan... Maka terabailah segala tuntutan. Yang tua dan berjawatan pula, sibuk dengan urusan pejabat yang tak pernah sudah-sudah. Entah bila lah nak habis. Masuk waktu zohor, masih mengadap laptop sambil seluruh tumpuan diberikan kepada dokumen-dokumen yang perlu disiapkan. Waktu asar pula ditinggalkan atas alasan sibuk ber’meeting’.

   Yang hairannya, si anak pula yang menanyakan si ayah. “Ayah dah solat? Kalau belum, jom kita solat sama-sama nak...ustazah kat sekolah Amin cakap, solat berjemaah lebih afdhal dari solat berseorangan”. Maka tercenganglah si ayah. Si ayah dah 10 tahun tak solat berjemaah (kecuali solat Jumaat), boleh pula si anak menanyakan soalan sedemikian. Bukan setakat solat berjemaah, solat sendirian pun kadang-kadang buat kadang-kadang tak buat. Sekejap ada, sekejap tak ada (macam chipsmore...hehe).

Nikmat Senang akan dirasa bila datang keSusahan

   Sekali lagi saya ingin kongsikan pengalaman saya selama berada di Unit psikiatri Hospital Bahagia. Sempat juga saya bersembang dengan mereka. Bertanyakan nasib mereka. Riwayat hidup mereka. Juga harapan sekiranya ditakdirkan Allah, untuk sembuh sepenuhnya. Soalan banyak tertumpu kepada kefahaman mereka dari sudut agama.

Soalan yang diajukan kepada Pak Cik A (bukan nama sebenar).

   “Kalau pakcik sihat dan dapat duit banyak, pak cik nak buat apa?”.

   “Kalau sihat, saya nak solat la sebab solat tu kewajipan kita sebagai orang Islam (sambil menambah beberapa ayat-ayat yang disusun tidak teratur). Nak ganti semua-semua yang dah tertinggal. Kalau dapat duit banyak, saya nak buat pergi naik haji, nak bagi sedekah kepada orang susah (dan lain-lain jawapan).” Jawab Pak Cik A sambil tersenyum. Mungkin senyuman sinis untuk menjentik naluri normal manusia biasa.

   “Kalau kita tak solat berdosa tak?”

   “Memang lah berdosa, nanti masuk neraka. Sebab solat itu...(bla bla bla dengan gaya ceramah calon Imam Muda Astro Oasis..hihi). Orang yang tak solat diibaratkan seperti MANUSIA BINATANG!” tegasnya.

Maka terpaku lah kami dengan jawapan sadis ini. Mereka yang mempunyai masalah mental pun boleh berkata sedemikian. Rasa malu pula untuk meneruskan soalan-soalan selanjutnya.

Lain pula ceritanya bila ditanyakan kepada Abang Z (bukan nama dalam Kad Pengenalan). Tetapi intinya hampir sama.

   “Abang Z pegang tasbih tu buat apa?”
   “Bacalah...baca doa, zikir (dll)”

   “Doa macam mana?”

   “Doa (zikir) la... em...Subhanallah, walhamdulillah, wa La ilaaha illAllahu wallahuAkbar... (beralun lembut seperti lagu Zikir Munajat yang didendangkan oleh Ustaz Badrul Amin)”

   “Sekarang Abang solat tak?”

   “Solat...tapi kadang-kadang tak solat dah. Macamana nak solat, keadaan abang macam ni...”

   “Kalau Allah beri abang sihat dan banyak duit, abang nak buat apa?”

   “Nak bayar fidyah puasa la, sebab nak puasa dah tak larat. Nak bayar kat fakir miskin, anak yatim. Abang nak solat Jumaat jugak. Kat sini, diorang (warden) tak bagi abang keluar solat Jumaat (dan bersambung kepada jawapan-jawapan lain...)”.

Tafsiran di sebalik penemuan

   Rasanya, tak perlu lagi saya huraikan apakah isi penting yang dapat disimpulkan dalam ringkasan perbualan di atas. Semua persoalan sudah terjawab. Oleh itu, bersykurlah kerana kita masih dikurniakan aqal yang sihat dan ’afiat. Makan boleh, tidur cukup, beriadah hari-hari, tengok tv setiap masa, berfikir tenang, belajar lapang..semuanya boleh (Malaysia boleh!). Tapi, rasanya suatu yang amat menyedihkan jika solat yang sebegitu penting ini, kita abaikan.

   Lisan kita kebiasaannya akan meluncur pantas menjawab soalan jika ditanya, “Di mana kamu nak duduk nanti di akhirat?” Sudah pasti ‘SYURGA’ jawapan kita. Tapi sudahkan kita melengkapkan tuntutan-tuntutan untuk melayakkan kita dicalonkan sebagai ahli Syurga? Atau mungkin hanya layak tercalon sebagai peserta ‘Jangan Lupa Lirik’ (kalau suara sedap, tak pe lah jugak..ni entah apa2). Jadi, tepuk dada tanya Iman. Jangan tersalah tanya nafsu, kerana jawapan nafsu kebiasaanya boleh menafikan jawapan Iman.  –Jangan Lupa Solat!-

   Sebagai mudahnya, saya simpulkan. Untuk mendapatkan 1S, kita memerlukan 2S. S yang satu itu adalah SYURGA. S yang dua, iaitu ada pada mereka yang bersifat Qana’ah. Qana’ah bererti syukur dengan apa yang ada. Bersabar dengan apa yang kurang. Ya, itulah yang dimaksudkan dengan 2S. SYUKUR dan SABAR.

   Dalam bab mengerjakan perintah Agung ini, kita haruslah menanamkan rasa bersyukur. Syukur kerana kita masih sihat, masih berakal, masih mampu untuk berdiri sendiri. Maka bangunlah berdiri untuk solat. Jangan nanti terlantar, baru ingat nak solat. Syukur bukan hanya dengan menyusun ayat di bibir, “Alhamdulillah...”, tetapi di sana terdapat beberapa tuntutan yang wajib disempurnakan. Ia adalah sebagai bukti bahawa kita benar-benar hamba yang bersyukur.

   “Penat la nak kena solat 5 waktu sehari semalam...”, bisik nafsu kita.

   Maka, inilah perlunya S yang kdua, iaitu Sabar. Bersabarlah. 5 waktu tidaklah banyak jika nak dibanding dengan 50 waktu. Katakanlah 30 minit diambil untuk solat seharian. 23 jam 30 minit kita peruntukkan untuk urusan dunia, kenapa 30 minit ini dianggap terlalu penat? Fikirlah...dan berzikirlah.

   Jika nak berdiri pun susah. Sabarlah...usahalah, pasti ada hikmah disebaliknya. Kalau juga tak mampu, kelonggaran turut diberikan. Tak boleh berdiri, solat lah duduk...dan seterusnya. Islam itu mudah, janganlah disusah-susahkan apa yang telah mudah. Kita berada di dalam suasana yang penuh dengan kebebasan, kesihatan, keamanan, ketanangan. Ambillah peluang ini untuk kita hantar hati kita ke ‘bengkel’ untuk diselenggarakan.

   Untuk dapat S, mesti ada 2S...2S terbahagi kepada 2 iaitu S.1 dan S.2. S.1 digunakan bila S#1. S.2 pula digunakan bila S#2. Satu lagi, jangan sesekali tertinggal ‘S’. Pening ke? Baiklah...
Cuba letakkan...huruf-huruf tadi dengan perkataan ini;
   S          = Syurga
   S.1       = Syukur
   S.2       = Sabar
   S#1       = Senang
   S#2       = Susah 
   ‘S’        = Solat

   Akhirnya, sama-sama lah kita berusaha. Saya pun masih di awal langkahan mujahadah. Mujahadah memerlukan kesabaran. Tanpa 2S ini, kemungkinan besar kita mudah terbabas dari landasan Mujahadah. Doakanlah untuk saya terus thabat dalam perjalanan ini. Saya juga mendoakan supaya sahabat sekalian, untuk bangun dan melangkah bersama saya. Kita berpimpin tangan sama-sama. Kalaupun di pertengahan jalan nanti kita berpecah, semoga Allah temukan kembali kita di Syurga-Nya. InsyaAllah...

~perisai mahkota.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails