Satu petang di sebuah pasar malam...

Aku meneruskan perjalanan. Dari satu point ke satu point berikutnya. Dalam kesesakan orang ramai, aku mencari-cari destinasi persinggahan yang seterusnya. Banyak gerai-gerai yang menarik untuk aku singgah. Juadah yang dihidangkan pun, cukup untuk membuatkan pusat reseptor laparku beroperasi (ting-tong..hehe). Tapi memandangkan beberapa faktor penghalang, aku rancang untuk hanya membeli yang patut sahaja.
Dalam keriuhan suasana pasar itu, gegendang telingaku telah disentuh oleh satu suara lembut si kecil. Pastinya suara itu realiti, bukan halusinasi. Ya, suara itu adalah suara budak lelaki dalam lingkungan usia 6 tahun. Mungkin sebaya dengan adikku. Kuperhalusi setiap bait-bait ayat yang terzahir dari lidahnya. Sambil tangan kanannya menarik-narik jari pejal ayah. Ayahnya pula sibuk memelih kuih yang ingin dibeli.
"Ayah, adik nak mainan!" Rengek si kecil. Dia membahasakan dirinya sebagai Adik.
"Yer...sabar, nanti kita beli la...adik tunggu la jap." Sifat kebapaan si ayah mampu memujuk Adik. Walaupun rengekan tetap diteruskan, suara Adik makin perlahan. Mungkin dia terbayang yang ayahnya akan membelinya nanti.
"Sabar la dik, nanti ayah belikan la. Adik kan anak ayah." Suara mak cik yang menjual kuih di gerai itu pula mencelah. Mungkin niatnya ingin membantu si ayah meredakan rengekan Adik. Tanpa mengenali watak sebenar Adik. Adik jenis tidak mengaku kalah.
"Adik bukan anak ayah, Adik anak ibu...! Adik sayang ibu!" Jawab adik. Rupa-rupanya adik lebih berantai-rantai ideanya untuk sedia menjawab. Diserang kanan, mengelak ke kiri. Begitulah sebaliknya. Bukan senang nak pujuk si Adik.
Bibirku membentuk senyuman. Lucu mendengar jawapan Adik. Tak kusangka ayat itu yang terkeluar dari mulutnya. Walaupun bibirku mengukir senyuman tidak sengaja, tapi dalam hati juah berbeza. Aku sudah terbahak-bahak ketawa. Nasib baik tidak diluahkan dalam bentuk zahir reaksi wajah.
Rasa kesian pun ada. Apa lah nasib si ayah agaknya, setelah mendengarkan jawapan itu yang terkeluar dari mulut Adik. Apa pun bagi si ayah, ia adalah normal. Semestinya si ayah telah fasih dengan perwatakan Adik. Kasih sayang mereka tetap disimpul kemas dan tidak mungkin diganggu gugat.