Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Monday, December 13, 2010

MenSyukuri Nikmat Sabar

Salamullahi'alaikum...

     Baru-baru ini, penduduk kampung jadi kelam kabut apabila terlihat Pak Long mengamuk bersenjatakan buluh tumpat. Pak Long menjadi seakan hilang punca setelah diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah motosikal. Dengan lantang Pak Long bertanya kepada orang kampung, "Siapa yang langgar anak aku? Hah, cakap siapa?!" Walaupun ditenangkan beberapa kali, tetapi Pak Long tetap berkeras untuk mengetahui siapa penunggang motosikal tersebut. "Celaka punya budak! Kalau aku dapat kau, aku cincang-cincang sampai lumat." Tambah Pak Long yang semakin tak mampu mengawal emosinya.

     Ini salah satu dialog ringkas yang boleh kita ambil sebagai 'kenyataan masalah' untuk dibincangkan berkenaan dengan erti sabar dalam kehidupan. Tak ramai manusia yang dapat bersabar dengan sebenar-benar sabar. Ada sesetengah orang yang boleh bersabar tetapi masih ada sekelumit rasa dalam hatinya timbul juga penyesalan atau penafian dengan musibah yang menimpa, dan ada juga yang langsung tidak dapat bersabar seperti dialog di atas. Beruntunglah bagi mereka yang mampu bersabar dan teramat malanglah bagi mereka yang tidak dapat bersabar. Mengapa?

     Hal inilah yang kita istilahkan sebagai redha, yakni menerima ketentuan Tuhan dengan penuh berlapang dada. Langsung tiada rasa marah pada apa yang berlaku sebaliknya menerima takdir tersebut dengan berbaik sangka pada Allah. Cuba kita ambil langkah sebegini setiap kali kita ditimpa musibah. Dengan meletakkan tapak tangan pada bahagian dada sambil dipejamkan mata, kemudian dengarkan bisik hati kita;

     'Astaghfirullahal'azim...Ya Allah, aku mengerti setiap apa yang diberikan pada hamba hanyalah pinjaman, bukan hak milik kekal bagiku. Sesungguhnya segala apa yang dihadiahkan ini adalah hak Mu Ya Allah. Engkau berhak memberikan aku nikmat dan Engkau juga berhak mengambilnya kembali. Justeru aku tidak perlu bersedih dengan apa yang berlaku, lalu mana mungkin aku memarahi Engkau. Ampunkan aku Ya Allah'.

     Jika kata-kata seperti inilah yang memujuk hati kita setiap kali ditimpa musibah, maka syukurlah kerana kita sudah melepasi ujian pentarbiyahan Allah. Ujian dari Allah untuk menguji tahap kesabaran hambaNya. Memang sukar untuk menjadi panyabar, kerana kita perlu bersabar untuk menjadi penyabar. Dan, apabila kita sudah mampu menjadi penyabar, kita wajib bersyukur di atas nikmat kesabaran itu. Yakinlah bahawa setiap apa yang Allah jadikan pada makhluk, itulah yang terbaik.

     Telah berkata baginda Rasulullah SAW, "Tidak ada anugerah yang lebih baik selain memperolehi sifat sabar." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

     Namun, masih ramai yang tidak mampu bersabar dengan musibah yang melanda. Mereka menafikan sesuatu takdir dengan mengatakan Allah itu cuai, zalim dan sebagainya. Rasa redha sudah luput dalam diri mereka. Maka dengan itu hati mereka menjadi keras-sekerasnya. Selagi mana tidak ada yang memberi peringatan kepada mereka, selagi itulah mereka akan terus berdemonstrasi di hadapan Allah. Kononnya meminta 'hak asasi manusia' dikembalikan tanpa mereka sedari nikmat bernafas yang dianugerahkan padanya adalah 'hak mutlak Allah'. Disangka meminta hak sendiri, rupa-rupanya meminta hak orang lain.

Sabar atas Nikmah, Syukur atas Musibah

     Kita sering mendengarkan nasihat-nasihat dari para ustaz atau orang-orang lama berkenaan dengan sifat sabar dan syukur. Sesungguhnya yang kedua-duanya itu kunci kepada 'pintu Syurga'. Kata mereka, 'sabarlah di atas musibah dan syukurlah di atas nikmat Allah, kerana musibah dan nikmat itu adalah hadiah dari Allah. Ia bersifat tarbiyah langsung dari Allah. Jika kita mampu bersabar dengan musibah yang didatangkan pada kita, maka kita akan beroleh ketenangan dari Allah. Manakala jika kita sering bersyukur di atas segala nikmat yang dilimpahkanNya, maka lengkaplah erti kebahagiaan kita'.

     Tapi pernahkah kita terbalikkan ayat itu? Kita cuba jadikan, 'sabar di atas nikmah (nikmat) dan syukur di atas musibah'. Bunyinya macam aneh, tetapi hakikatnya tidaklah seaneh yang kita sangkakan, atau mungkin juga sangkaan kita yang sebenarnya aneh.

     Cuba kita bayangkan seorang ahli perniagaan yang baru mendapatkan sebuah kehidupan yang lengkap. Ada rumah, ada kereta, ada anak isteri dan sebagainya. Sudah pasti bagi kita yang berpendapatan sederhana, segala kelengkapan yang sedemikian itu sudah mencukupi. Tetapi tidak bagi ahli perniagaan tersebut. Walaupun dia mengetahui asetnya sudah mencecah jutaan ringgit, tetapi semakin rakus dia mengumpul harta sehingga berbuat kemungkaran dan meninggalkan suruhan. Maka, bagi mengekang nafsu yang membuak-buak ini, perlulah kita sedari bahawa perlunya bersabar dengan nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah. Jangan tamak mencari harta dunia sebaliknya seimbangkan dengan mencari 'harta akhirat'.

     Bagiamana pula dengan syukur di atas musibah? Begini, ibaratkan kita telah kehilangan sebuah kereta BMW 5 series yang telah lama menjadi idaman kita. Baru sempat pakai dua minggu, akhirnya dikebas orang tanpa meninggalkan sebarang bekas. Maka jelaslah kita bahawa yang berlaku itu adalah musibah. Allah sedang mentarbiyah kita supaya bersabar dengan apa yang berlaku. Setelah membuat aduan kepada pihak berkuasa, kita pulang ke rumah, kita seolah-olah putus harapan. Lalu kita berwudhuk dan terus mengabdikan diri pada Allah. Dalam sujud syukur, kita menangis mengenang nasib yang menimpa. Dalam doa sekali lagi kita menitiskan air mata meminta Allah segera memujuk hati kita. Kita pohon agar ditunjukkan hikmah sebenar di sebalik apa yang telah berlaku.

     Lalu kita menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dengan berat menghembusnya sebagai menunjukkan tanda kekesalan. Dengan helaan nafas itu, kita mula tersedar, 'walaupun aku kehilangan kereta, tetapi Allah masih menganugerahkan aku nikmat bernafas...kalaulah Allah mencabut nyawaku sedang aku bermegah dengan kereta mewah, alangkah hinanya kesudahan hidupku menghadap Allah. Syukur Alhamdulillah...aku masih diberi peluang untuk meneruskan hidup'.

     Kemudian datang isteri memeluk tubuh kita seerat-eratnya. Dia mmembisikkan sesuatu di telinga kita, "Kalau ada seseorang memberi pinjam pada abang sesuatu barang, lalu dia mengambilnya kembali. Adakah abang memarahinya?" Sambil mengerutkan dahi kita menjawab, "Sudah tentu tidak kerana itu hak dia. Boleh abang tahu, kenapa ditanya soalan itu?".

     "Abang, kereta abang itu adalah nikmat pemberian Allah, lalu Allah memberi pinjam pada abang. Kini, adakah abang perlu marah atau bersedih dia atas kehilangan pinjaman nikmat itu?" begitu lembut tutur kata yang menari-nari di bibir isteri. Aduhai, kita terpana seketika. Rupa-rupanya Allah hanya mendatangkan musibah yang kecil sebaliknya Dia menzahirkan di hadapan mata kita kenikmatan seisi dunia. Itulah isteri, memiliki seorang isteri yang menenangkan hati suami adalah merupakan nikmat memiliki dunia dan seisinya. Justeru sekali lagi kita bersyukur. Syukur di atas musibah yang menimpa.

     'La takhaf wa la tahzan, innallaha ma`ana'. Jangan kamu takut dan jangan kamu bersedih kerana sesungguhnya Allah senantiasa bersama kita. Dalam mendepani musibah, rasa sabar dan redha perlu sentiasa ada dalam diri kita. Jangan mengalah awal kerana kemenangan sedang menunggu kita di hadapan. Jangan ragu dengan janji Allah. Jika tidak ketemu dengan kemenangan dunia, Allah pasti akan menemukan kita dengan kemanangan akhirat kelak yakni menjadi salah seorang penghuni Syurga yang di bawahnya mengalir air yang tenang dan di temani bidadari seindah rupawan. Bukankah itu yang sering kita idam-idamkan.

Pada Musibah Terkandung Hikmah

     Sesungguhnya setiap yang dijadikan oleh Allah, ada hikmahnya. Sama ada baik atau buruk, semestinya akan ada kebaikan yang tersirat di dalamnya. Dapat kita simpulkan terdapat beberapa hikmah di sebalik musibah yang Allah turunkan. Hal ini dapat diketahui tentunya bila kita mahu berfikir dengan benar dan mengenal islam yang sebenarnya.

1. Mengetahui besarnya kekuasaan Allah
Diantara kekuasaan Allah yang dapat kita saksikan ialah Dia mampu membuat sesuatu dan mampu menghancurkannya, dan tidak ada sesuatu pun dari makhluk yang mampu menghalangNya.

2. Pelajaran bagi yang berbuat dosa
Hendaknya bencana bisa mengingatkan pelaku maksiat agar bertaubat dan menambah rasa takut.
"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan negeri-negeri di sekitarmu dan Kami telah mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami berulang-ulang supaya mereka kembali (bertaubat)." (Al Ahqof : 27). Dan kata Allag lagi, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Al Baqarah; 222)

3. Menghapus sebahagian dosa orang mukmin
Aisyah berkata, Rasulullah bersabda, "Tidaklah musibah yang menimpa kepada orang Islam melainkan Allah akan menghapus dosanya sekalipun musibah itu hanya tertusuk duri.” (HR. Bukhori 5209)

4. Menambah semangat da’i untuk berdakwah
”Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja diantara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.” (Al Anfal: 25)

5. Menambah pahala jika mampu bersabar
"Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat kelak rugi tanpa membawa pahala." (Lihat Al Iman bil Qadha` wal Qadar oleh Muhammad bin Ibrohim Al Hamd, 106)

6. Mengenal bahawa musibah adalah ujian
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. (Al-Anbiya`: 35)

7. Mengetahui betapa besar nilai nikmat Allah
Kita kadang kala baru menyedari hakikat kebesaran nikmat yang telah Allah kurniakan setelah nikmat tersebut dicabut. Sepertimana nikmat muda apabila datang waktu tua, nikmat kaya setelah menyedari diri semakin papa, nikmat sihat apabila terlantar di hamparan derita dan sebagainya.

8. Meningkatkan ibadah orang mukmin
Orang mukmin semakin melihat kebesaran Allah semakin bertambah pula iman dan amal ibadahnya."Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang apabila disebut nama Allah, maka gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat Akkah kepadanya, bertambah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada Tuhannya." (Al-Anfal : 2)

9. Akan datang kelapangan setelah kesempitan
"(Maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (QS An Nisa’: 19)

10. Mendapatkan kesejahteraan dan hidayah dari Allah
"Demi sesungguhnya akan Kami uji kamu dengan sesuatu (cubaan), iaitu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (atas cubaan itu).
"Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah (malapetaka), mereka berkata : Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.
"Untuk mereka itu selawat (keberkatan) daripada Tuhannya serta rahmat, dan mereka itu mendapat petunjuk." (Al-Baqarah : 155-157)

     Pun begitu, masih banyak manfaat yang dapat kita ambil dengan datangnya musibah, misalnya timbul rasa belas kasihan kepada mereka yang ditimpa sesuatu bencana sehingga terbuka pintu hati kita dan ada ruang kesempatan untuk membantu, dan sebagainya.

     Semoga, kita mampu menjadi hamba yang bersabar dan bersyukur. Hidup dunia kita mulia, akhirat kelak kita bahagia. Janji Allah itu benar, kematian itu benar, hari kebangkitan itu benar, saat pengadilan Allah itu benar dan Syurga juga Neraka itu benar. Maka Sabarlah, kerana syurga dan seisinya sedang sabar menanti kehadiran hamba-hamba yang rela bersabar. Dan bersyukurlah kerana Syurga adalah tempat bagi mereka-mereka yang sentiasa bersyukur dengan segala pemberian nikmat yang telah Allah anugerahkan.

Wallahua'lam...


~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails