Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Saturday, December 4, 2010

Kepulangan Hj Abah dan Hjh Ummi

Salamullahi'alaikum...

     Alhamdulillah. Setinggi langit seluas hamparan laut dan bumi, aku sujud syukur ke hadratMu ya Allah di atas segala limpahan kurnia nikmat-nikmatMu yang tiada pernah terhenti. Selang masa antara 17 Oktober 2010 ke 3 Disember 2010 terasa singkat yang amat. Pejam celik, abah umi dah nak balik. Betapa cepatnya masa beredar.

     Setelah genap 47 hari abah dan umi menjalankan ibadah haji di tanah suci, kini tiba saat kepulangan yang dinanti. Penantian ini seolah-olah menantikan mujahid dan mujahidah pulang dari medan juang di jalan Allah. Hati berdebar-debar menanti dengan penuh pengharapan. Syukur kepada Allah, segala kerja-kerja ibadah rukun yang kelima dalam susunan Rukun Islam ini telah selamat disempurnakan.

     Sedikit terkilan kerana tidak dapat sama-sama menyertai rombongan menyambut kepulangan abah dan ummi. Di atas halangan-halangan tertentu, niat untuk cuti awal terpaksa dibatalkan. Dari tempat pengajian, aku sampai ke rumah hampir sama dengan waktu abah dan ummi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu. Oleh sebab itu, aku hanya menanti di rumah bersama dengan sepupu (anak-anak ayah ngah) yang lain.

     "Abang!!! bangun la, abah umi dah balik ni..." Astaghfirullah, aku terlena rupanya. Aku celik mata setelah kakak yang mengejutkan aku. Rupa-rupanya, semua orang dah sampai. Apapun syukurlah, semuanya telah selamat.

Petang 4 Disember 2010...

     Sehingga jam ini, abah dan ummi masih dikunjungi sanak saudara, teman taulan dan kenalan.Orang kata, waktu inilah nak ambil berkat dari mereka yang pernah menginjakkan kaki ke Tanah Haram. Haramain bumi yang penuh berkat, maka tempias ganjarannya akan turut dirasa oleh mereka yang pernah sampai di sana. Maka dengan itu, siapapun tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalam dengan mereka yang baru pulang dari mengerjakan ibadah Haji mahupun umrah.

     Lain orang yang datang, lain gaya cerita yang disampaikan oleh abah. Akan tetapi isi pentingnya tetap membicarakan tentang pengalaman hidup di sana. Aku seronok mendengar cerita-cerita yang disampaikan. Kerenah orang Asia langusng berbeza dengan orang Timur Tengah. Malahan, sesama Asia juga memupnyai kerenah yang jauh berbeza. Apabila ummi menceritakan tentang jemaah haji Indonesia, cara mereka jauh bezanya dengan jemaah haji Malaysia. Tidak perlu diceritakan baik dan buruknya, cuma yang sahihnya ia berbeza.

     Sewaktu mengerjakan ibadah-ibadah yang melibatkan jutaan lautan manusia, abah dan ummi mengalami masalah untuk berdepan dengan jemaah haji yang membawa fahaman-fahaman yang berbeza. Sama ada Syiah, Wahhabiah dan sebagainya. Mengikut cerita abah, mereka terlalu keras dalam tindakan. Walaupun melihat orang yang sedang solat, mereka dengan sewenang-wenangnya melangkah jasad yang sedang sujud tersebut. Manakala di tempat-tempat tertentu seperti Makam Sang Nabi Agung s.a.w, mereka akan menangis dengan sepenuh hati mereka. Tidak salah untuk menangis, tetapi jika sampai meratap dan memukul-mukul diri sendiri, ia sudah nampak terkeluar dari nilai kemurnian Islam.

Pak Ngah, Mak Uda dan...

     Selain abah dan ummi, pak ngah dan mak uda turut mengerjakan ibadah haji bersama. Cuma pada awalnya, teramat susah untuk bersua muka dek terhijab oleh himpunan umat manusia. Perjanjian demi perjanjian dibuat, maka akhirnya dapat juga bertemu dengan insan-insan yang dimaksudkan. Bersama pak ngah, adanya mak ngah yang senantiasa menjadi peneman setianya. Manakala mak uda ditemani suami dan anak tersayang, iaitu pak uda dan kak Mazia.

     Maha suci Allah. Teringat kembali peristiwa pertemuan antara Adam dan Hawa yang telah dipisahkan setelah dikeluarkan oleh Allah dari Syurga. Lalu mereka ditempatkan ke alam dunia. Masa berganti masa, mereka akhirnya dipertemukan oleh Allah di padang 'arafah. Rasa rindu Adam untuk bertemu dengan Hawa tidak tertahan rasanya. Kini, kisah pertemuan berulang kembali tetapi dalam bentuk cerita yang berbeza. Ummi, pak ngah dan mak uda tidaklah sampai terpisah lama. Cuma 'perpisahan' di tanah suci itu membuatkan rasa berkobar ingin jua bertemu. Seakan lama berpisah. Hebatnya kuasa rindu.

Fuhhh...penat dah nak taip panjang-panjang...

     Waktu terluang ini aku ambil untuk membelek foto-foto yang sempat dirakam oleh abah. Yang menjadi keutamaan ialah gambaran suasana di sekitar Madinah, Makkah dan sebagainya. Jadi, aku selitkan foto-foto yang terpilih ini sebagai tatapan bersama...

Ummi bergambar dengan Perodua Kembara... bangga jadi anak Malaysia.. ^_^

Amiin... ya Rabbal 'alamiin...

Tetap setia walau dimana berada... Saling cinta, setia merindu... ^_^

Kawasan sekitar Masjidil Haram pesat membangun... Allahuakbar!



~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails