Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Saturday, August 14, 2010

Kisah : Lembing Awang Pulang ke Dayang

Salamullahi'alaikum...


     Kalau tak silap, dua minggu sudah. Saya berpeluang menonton cerita lagenda melayu 'Lembing Awang Pulang ke Dayang'. Ceritanya menarik. Ia adalah adaptasi dari sebuah novel, dan juga suatu sedutan kisah dari kisah benar yang berlaku di Selatan Tanah Melayu suatu ketika dulu.

     Saya mulanya bertanya, apa sangatlah keistimewaan dari cerita klasik ini? Maka dengan itu, saya menghadapkan seluruh penumpuan pada cerita tersebut. Gaya penceritaannya juga cukup menarik. Dengan grafik dan kesan khas yang lebih terkedepan. Akan tetapi, ceritanya agak berbeza-beza mengikut perawinya. 

     Mengikut cerita asal dari orang tempatan, ianya berbeza dari apa yang telah dipertontonkan pada khalayak. Setelah digarap ke dalam bentuk penulisan, juga ke medan pementasan, sampailah kepada pengadaptasian menjadi sebuah filem. Perbezaan demi perbezaan wujud. Namun jalan ceritanya seakan-akan sama dan tidak melunturkan motif sebenar ceritanya.

     Kesimpulan yang dapat saya buat, saya amat tertarik dengan kata-kata Awang sewaktu menceritakan kisah cintanya kepada cucu-cucunya. Dayang turut berada di sisi mendengarkan celoteh 'kekandanya'. Yang dapat saya simpulkan, inilah akibatnya jika adat mendahului agama. Dalam cinta, agama perlu diletakkan pada makam tertinggi, barulah disusuri dengan adat. Tiada gunanya menggadai agama, semata-mata ingin mengangkat adat.

    Justeru, saya tidak memaksa kalian untuk menonton ceritanya. Siapa yang nak tengok, boleh cari. Siapa yang tak nak, terpulanglah. Kisah-kisah ini diambil sebagai teladan. Bukan hiburan yang dicari. Tetapi kisah-kisah tersebut mampu melengkapkan lagi erti kehidupan bagi kita. 

     'Tepuk dada, tanyalah Imanmu!

~ perisai mahkota



Lembing Awang terbang tikam mangsa
Tragedi Lembing Awang pulang ke Dayang membabitkan cinta tiga segi berlaku sekitar 1776 di Muar, apabila tunangan Awang dirampas anak penghulu, Bachuk.

CINTA sejati membawa ke mati..demi kasih, sanggup bergadai nyawa dan tidak berkahwin sampai ke mati.

Begitulah kisah benar 'Lembing Awang Pulang ke Dayang', yang berlaku kira-kira 232 tahun lalu dan sehingga kini masih popular bagi penduduk Johor, khususnya yang tinggal di Muar, tempat berlakunya peristiwa yang meragut 99 nyawa.

Peristiwa berdarah membabitkan cinta tiga segi itu berlaku sekitar 1776. Ia membabitkan seorang pemuda dikenali sebagai Awang dengan anak penghulu berketurunan Bugis iaitu Bachuk yang cuba merebut cinta seorang wanita, Dayang.

Kisah sedih itu bermula apabila dua keluarga bersaudara yang tinggal di Parit Raja dan Parit Besar masing-masing bersetuju menjodohkan anak mereka iaitu Awang dengan Dayang. Pasangan itu ditunangkan dalam satu majlis disaksikan penghulu dan pembesar kampung.


Adat resam kampung itu menetapkan, pemuda yang ingin berkahwin perlu merantau mencari pengalaman selama tiga tahun dan Awang juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Sepanjang peninggalan Awang, Dayang sering menjadi mangsa fitnah pemuda kampung yang cemburu termasuk Bachuk.

Persengketaan sejak kecil dengan Awang membuatkan Bachuk merancang membalas dendam, apatah lagi bunga pujaannya, Dayang juga sudah menjadi tunangan musuh sekampungnya itu.

Anak penghulu itu berpakat dengan nakhoda kapal yang membawa Awang belayar supaya menulis surat kepada keluarga Awang mengatakan pemuda itu mati dalam pertarungan di lautan negeri Bugis.

Sebaik saja berita itu diterima keluarga Dayang, penghulu mendesak supaya pertunangan mereka dibatalkan segera. Sudah adat kampung, anak dara berusia lebih 15 tahun dianggap anak dara tua.

Desakan dan ugutan membuatkan keluarga Dayang bersetuju menerima pinangan Bachuk dan terus menetapkan hari persandingan. Sedangkan ketika itu, Awang di perantauan bertungkus lumus mencari rezeki dan ilmu sebagai bekalan berumah tangga.

Sepanjang tempoh merantau, Awang juga menuntut ilmu persilatan sehingga menang dalam beberapa pertandingan. Awang juga dianugerahkan dua bilah lembing iaitu panjang dan pendek yang menjadi pusaka kerajaan Bugis serta bungkusan wang.

Tiba masanya, Awang kembali ke tanah air dan sepanjang perjalanan Awang banyak membantu nakhoda kapal yang dinaikinya menewaskan lanun dan dianugerahkan sebuah perahu untuk ke darat.

Sudah tentu kepulangannya menimbulkan tanda tanya kerana rakan dan keluarga dimaklumkan Awang mati di perantauan tetapi tiba-tiba muncul semula. Menariknya hari kepulangan Awang itu juga adalah hari persandingan Bachuk dengan Dayang.

Sesetengah sejarah berpendapat Awang pulang beberapa hari sebelum persandingan dan menunggu masa menyerang Bachuk. Ada pula yang mengatakan Awang pula tepat pada hari persandingan dan terus menuju ke majlis itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Kawasan Muar, Johor, Khamis Juned, berkata berdasarkan cerita lisan yang diwarisi generasi terdahulu, keluarga Dayang membuat keputusan mengahwinkan anak gadis mereka selepas Awang tidak pulang mengikut tempoh dijanjikan.

“Sebenarnya tempoh pertunangan itu masih kurang sehari daripada tempoh yang dijanjikan selama tiga tahun, sebab itu Awang belum pulang dan memang dia merancang mengotakan janjinya untuk pulang tepat pada masanya,” katanya.

Sebaik saja Awang mengetahui tunangannya dirampas Bachuk, beliau terus ke rumah pengantin dan melihat orang ramai memenuhi segenap ruang menyaksikan persandingan dua mempelai itu.

Ketibaan Awang mengejutkan banyak pihak terutama keluarga pengantin. Awang mencabar Bachuk bertarung di gelanggang dan belum sempat pengantin baru menyahut cabaran, lembing Awang terus menikam dadanya.

Bachuk sempat mencabut keris di dadanya dan membaling semula ke arah Awang tetapi terkena tetamu lain. Lembing itu dicabut mangsa kedua dan dibaling semula ke arah orang lain, seolah-olah lembing terbang untuk meragut nyawa sebahagian besar tetamu dan yang terakhir ialah bapa Dayang.

Bapa Dayang menyerahkannya kepada Dayang yang sedang menangis melihat tragedi berdarah tidak disangka berlaku di depan matanya. 
Anehnya, lembing itu seolah-olah mati sebaik saja berada di tangan Dayang. Antara yang terkorban ialah bapa Dayang, ibunya, ibu bapa Awang dan ibu bapa Bachuk.


Disebabkan lembing meragut 99 nyawa itu diserahkan kepada Dayang, pengkaji sejarah menamakan tragedi itu sebagai Lembing Awang Pulang ke Dayang.

“Semua mangsa dikebumikan dalam kubur besar di sebuah kebun di Parit Raja dan digelar Makam 99. Kubur itu tidak bertanda tetapi penduduk di situ percaya ia memang terletak di situ,” katanya.

Akhirnya, Awang lari membawa diri dan bertempur dengan pengikut Bachuk di pangkalan manakala Dayang tidak berkahwin hingga ke akhir hayat. Lembing itu disimpan Dayang dan diwarisi keluarganya.


INFO:
Kejadian berlaku di Padang Terbakar, Muar.
Semua mangsa korban dikebumikan di sebuah kebun di Parit Raja dan dikenali sebagai Makam 99.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails