Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Friday, August 27, 2010

Rayuan Keampunan

Salamullahi'alaikum...


     Sama-samalah kita ambil iktibar dari KISAH BENAR ini. Semoga mampu memotivasikan kita untuk terarah pada perjalanan menuju Cinta dan RedhaNya.

     "Doktor, ampunkan saya ya doktor...saya banyak buat salah dengan doktor."

     Inilah antara ayat pendek yang sering diulang-ulang oleh adik yi (bukan nama sebenar). Walaupun ringkas ayatnya, ia terkandung jutaan makna tersirat. Nampak sahaja kelibat kami yang melintasi sisi katilnya, dia akan memanggil kami dan menghulurkan tangan berjabat salam tanda kemaafan. Entah apa yang cuba dia sampaikan. Pada awalnya kami tersenyum juga dengan gelagatnya yang agak melucukan, tapi setelah diamati lama-lama timbul pula rasa kesian. Mungkin ini yang di sebutkan sebagai Empati. Kami dapat rasakan kesakitannya. Sakit pada jasad anggota, sakit lagi jiwa luhurnya.

     Kesedihannya dapat dirasakan lebih kuat lagi apabila dia sering memanggil ibunya. Walaupun kadang-kadang yang dipanggil itu 'mak', kadang-kadang 'ibu'. Reaksi wajahnya menampakkan dia sukar berjauhan dengan ibunya walau dalam kadar sesaat. Asal saja ibunya menjauh, tegang urat lehernya meraung-raung memanggil 'ibuuu...maaakkk!!!'. 

Siapa Adik yi?

     Beliau adalah seorang pesakit kanak-kanak berumur 6 tahun yang ditempatkan di Wad Peadiatrik 5D HRPB Ipoh. Seorang kanak-kanak riang yang masih dalam perjalanan mengenal erti kehidupan. Peristiwa berlaku minggu lepas. Sewaktu ingin dihantar oleh bapanya ke sekolah bersama dua abangnya. Mungkin kecuaian di sini, apabila si ayah hanya bermodalkan sebiji motosikal untuk membawa anak-anaknya berempat termasuknya. 

     Malang menimpa apabila takdir Allah menemukan mereka pada satu kemalangan jalan raya. Mereka berempat dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Ipoh. Ayah, abang nyah dan abang alang... mereka semua tercedera namun yang paling teruk adalah adik yi. Adik yi mengalami kecederaan serius pada bahagian kepalanya akibat terhantuk manakala kedua-kedua belah kakinya mengalami kepatahan.

     Bagi yang melihat keadaan beliau, sukar untuk digambarkan bagaimana sakit yang dirasakannya. Memang teramat sakit. Namun kesakitannya tidak ternampak sangat pada anggota tubuhnya. Kesakitan yang sebenar adalah kesakitan dalaman. Jiwanya bagaikan diragut kejam oleh kejadian dahsyat itu.

     Adik yi sering mengadu supaya ditanggalkan ikatan pada tangannya, sedangkan ikatan tersebut sudahpun dibuka. Kain hijau 'pengikat' itu adalah bertujuan mengelakkan beliau menjadi agresif. Mengikut cerita dari ibunya, adik yi mula agresif apabila teringat akan abangnya. Dia menghantukkan kepalanya yang sudah berjahit panjang itu ke pagar katil. Kerinduan yang membuak-buak pada abangnya telah menghilangkan rasa sakit kepalanya. Dia mengandaikan permintaan untuk berjumpa dengan abangnya tidak diendahkan. Dengan itu, dia cuba menghantukkan kepalanya bagi menagih perhatian orang di sekelilingnya supaya hanya tertumpu padanya.


     Terlihat sahaja kelibat orang yang lalu di sekitarknya, dia akan melambaikan tangan seraya memanggil, "abang, marilah sini...abang dah tak sayang adik lagi ker?" Itulah luahan-luahan perit yang sempat kami rakam. Hati kami yang mendengar jadi luluh seketika, 'syukur ya Allah kerana aku masih sihat'. Adik yi kini seakan-akan berhalusinasi juga diselit tanda-tanda ilusi. Dia memberitahu, dia mendengar suara abangnya namun dia tak mampu membalas. Anak matanya dipicing jauh seolah-olah melihat seseorang yang beliau cukup kenali. Maka, terzahir kembali di bibirnya memanggil abang. Apabila ditanya siapa, dia menyatakan 'objek' yang dilihatnya adalah abangnya tetapi 'abang' menyembunyikan diri. Sebab itulah, dia sering memanggil abangnya walaupun abangnya tiada di situ.

     Paling menyentuh hati kami, adik yi sering meminta maaf dengan orang di sekitarnya. Ibunya, jururawat, doktor dan sesiapa sahaja yang terlintas di fikiran dan renung matanya, beliau akan segera meminta maaf. Seakan-akan ingin pergi jauh dan tiada peluang untuk kembali. Apabila ditanya dosa apa yang membuatkan beliau terlalu mengharapkan keampunan itu, tidak pula beliau menjawab sebaliknya leka dengan 'dunianya' sendiri. Astaghfirullah... hatiku menganis.




Detik Rasa Hati Kecil

     Sebak, inilah yang saya alami dengan sahabat yang lain pada hari terakhir kami di wad peadiatrik 5D. Belum pernah kami menemui kes sebegini. Amat menyentuh hati. Rasa syukur setinggi-tingginya dipanjatkan ke hadrat Tuhan Yang Maha Sempurna. Sesungguhnya ujian ini adalah tarbiyyah langsung dari Allah supaya hambaNya tidak lepas dari zikrullah. Apabila kesakitan ini dirasakan, maka akan terkenanglah kembali betapa nikmatnya hidup dalam kesihatan sehinggakan amat mudah kita terlupa.

     Buaian Dunia banyak menyebabkan kita terleka hari demi hari. Apabila ujian datang, barulah kita tersedar dari lamunan. Bagi yang punya Iman, walaupun perit tapi mampu lagi diusahakan supaya bersabar. Sebaliknya bagi yang lemah, mereka akan mula memfitnah Tuhan sebagai penyebab kecelakaan. Na'uzubillah...

     Duhai hati, kembalilah pada jalan yang sebenar. Janganlah dibiarkan hati ini sering tersasar jauh dari tipuan Dunia. Ramadhan kian pergi meninggalkan. Saat dia pergi, tidak akan toleh ke belakang lagi. Soalan yang perlu diajukan, apakah kita akan ketemu lagi dengan Ramadhan seterusnya? Mohon pada Allah, supaya dipanjangkan umur untuk terus berjuang di jalan mujahadah ini. InsyaAllah, akanku manfaatkan sebaiknya...


"Ya Allah, aku mengaku sebagai hamba yang lemah hanya mampu berharap dan terus berdoa padaMu. Maka, aku pohon ya Allah...kembalikanlah nikmat kesihatan kepada adik yi, abang alang, abang nyah dan ayah mereka. Kasihanilah mereka ya Allah. Janganlah Kau biarkan mereka menitiskan air mata duka saat umat Islam di luar sana bergembira di Aidilfitri yang bakal kunjung tak lama lagi. Hanya ini pintaku...maka perkenankanlah harapanku ini. Amin ya Allah"


~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails