Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Saturday, August 28, 2010

Nuzul Al-Qur'an dan Badar Al-Kubra

Salamullahi'alaikum...

     Pertengahan Ramadhan kembali mengingatkan kita kepada peristiwa bersejarah yang berlaku sekitar lebih dari 1400 tahun yang lalu. Dua peristiwa besar yang berlaku sebagai titik tolak kepada perkembangan Islam yang kita anuti sehingga ke hari ini. Yang tersebut adalah peristiwa Nuzul AlQuran dan Perang Badar Al-Kubra.

Nuzul Al-Quran


     Turunnya Al-Quran menjadi pegangan kita zaman-berzaman, sehinggalah ke hari ini. Walaupun penerapan mengenai nilai-nilai suci dari Kalamullah itu semakin berkurang searus peredaran zaman, tetapi generasi-generasi baru kini masih lagi mengenali wujudnya Al-Quran. Alhamdulillah. Risau juga kalau-kalau zaman anak-anak kita nanti semakin jauh dengan Al-Quran. Maka tidak mustahil akan tercipta satu soalan yang tak pernah kita terfikir, 'Ayah, Quran tu apa?' walaupun si anak sudah berusia remaja. Na'uzubillah...Semoga tidak akan wujud soalan sebegini dan janganlah kiranya lahir generasi ini.

     Justeru, kita sebagai penghuni zaman ini perlu bekerja keras 'membawa' Al-Quran sehingga sampai ke generasi anak-anak kita akan datang. Berdoa sesungguhnya supaya kelak di anugerahkan kepada kita penyeri keluarga yang kenal dan faham Al-Quran. Pokoknya, bukan hanya kenal jasad dan rupa Al-Quran. Bukan hanya pandai mengalunkan Al-Quran semerdu lagu-lagu padang pasir. Tidak hanya menjadi simbol islamik sewaktu ingin mengadakan mesyuarat apatah lagi Al-Quran hanya digunakan sebagai tangkal dan azimat bagi menghalau makhluk halus.

     Seperti yang kita sering diperingatkan, Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman. Tingginya martabat Islam sewaktu ketika dulu, adalah kerana seluruh umat beramal dengan Al-Quran. Isi Al-Quran itulah yang ditafsir dan disalirkan ke dalam hidup seharian. Maka selamatlah umat dari kutukan dan bala dari Allah swt. Jadi, jawapan kepada persoalan mengapa umat Islam hari ini sudah rosak, dayus, bacul dan sebagainya adalah disebabkan betapa jauhnya kita dengan Al-Quran. Semakin banyak kerosakan di muka bumi, mereka berusaha mencari penyelesaian berdasarkan logik aqal semata-mata. Bukannya ingin kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasul.

     Sampai sahaja tarikh 17 Ramadhan, masjid-masjid akan dihiasi dengan suara-suara garau pak ustaz menerangkan dan mengingatkn kembali jemaah berkenaan dengan Nuzul Quran. Sehinggakan kering tekak mereka mengerah keringat mengumpul maklumat dan mencurah amanat semata-mata untuk disampaikan kepada kita. Tapi, apa tindakan kita selepas itu? Tak lain tak bukan, segala yang didengar tadi dibuang di tangga masjid saat menyarung selipar untuk pulang ke rumah. Nasib Al-Quran masih sama seperti sebelumnya. Tetap dijadikan bahan hiasan di dinding-dinding dan ukiran pintu rumah.


     Sebelum kita menghulurkan keris kepada orang lain, terlebih dulu hulurkan tepat ke dada kita sendiri. Tanya diri kita, selama nikmat hidup yang dianugerahkan kepada kita ini, berapakah kerapkah kita membaca Al-Quran? Soalan lebih tepatnya, sudah sampai ke tahap mana kita beramal dengan Al-Quran? Soalan inilah yang perlu wujud dalam kotak soal jawab dan fikir zikir setiap dari kita. Ia penting supaya kita senantiasa bersiap sedia sebagai pemuda Muslim yang bakal mengorak langkah ke alam zaman yang lebih mencabar.

Badar Al-Kubra

     Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Islam disebarkan melalui tajamnya mata pedang. Dengan hunusan dan tikaman keras ke perut pihak musuh Islam, maka Islam kian berkembang dan makin melebar jajahan takluknya. Sebenarnya ini semua adalah retorik barat bagi menampakkan Islam adalah suatu bekas kelompok yang terkandung sifat-sifat pengganas. Dengan itu, mereka lantang mengatakan Islam adalah sebuah agama yang ekstrim tanpa menyedari hakikat sebenar makna ‘ekstrim’.


     Daripada kisah perang Badar ini, kita akan kembali menyingkap betapa cermatnya Islam dalam mengembangkan dakwah Islamiyyah. Jawapan kepada tuduhan ‘ekstrimis’ barat di atas adalah, sebenar-benarnya Islam adalah sebuah agama yang disebarkan melalui halus tinta Islami yang menyeru ke arah mentauhidkan Allah. Apabila seruan dakwah ini diingkari, barulah peperangan tercetus. Bukan agenda utamanya pada peperangan, tetapi dakwah bagi menyelamatkan seluruh umat dari ketaksuban cinta dunia.

     Sedikit tidak bererti salah, ramai bukan bermakna betul. Sedikit belum bererti kalah, ramai tak pasti menang! Inilah yang berlaku dalam peperangan tersebut. Tentera Islam hanya berbekalkan kekuatan tentera seramai 313 orang sahaja manakala pihak kuffar berjaya menghimpun 1000 kekuatan anggota. Bukti kekuasaan Allah tak mampu kita fikir dengan logik akal semata-mata. Jika percaya pada pertolongan Allah, maka dengan segera pertolongan itu datang tanpa bertangguh.

     Kesungguhan para sahabat dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah dilihat dari sudut betapa cekalnya mereka meredah lautan padang pasir. Perjalanan jauh, bekal makan dan minum yang sedikit, panas terik yang membahang dan yang paling dahsyat adalah mereka sedang berpuasa. Kita sering mengeluh di siang hari Ramadhan, tetapi mereka berjuang bermandi keringat di siang hari Ramadhan semata-mata ingin mempertahankan maruah Islam dan seluruh umatnya.

     Cukuplah sekadar ini olahan saya berkenaan Badar Al-Kubra. Jika kalian ingin menyelami kisah perjuangan para sahabat ini dengan lebih lanjut, maka carilah bahan-bahan bacaan yang menceritakan berkenaannya. Saya yakin, semangat untuk berjuang akan kembali membara secekal kekuatan mereka berperang. Hunusan pedang Baginda dan para sahabat, kita tukar menjadi hunusan pena dan lidah bagi menegakkan yang haq. Islam mesti mempimpin, bukan terus-terusan dipimpin.

     Semoga Ramadhan kali ini penuh makna!


~perisai mahkota

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails