Salamullahi'alaikum... Terima kasih kerana sudi ziarah blog Perisai Mahkota - Tinggalkan jejak anda, komen pada entri, klik pd tempat-tempat yg boleh di klik dan jangan lupa untuk follow jugak yer..hihi. Jazakumullah khairan kathir. ^_^

Jalan Kehidupan

Wednesday, December 15, 2010

Saat ini...

Salamullahi'alaikum...

     Alhamdulillah. Walaupun dalam keadaan tangan tak mampu berada pada kududukan tetap, hidung pula tersumbat dan bernafas berat. Aku cuba menggagahkan diri bangkit dari pembaringan, supaya dapat aku merenung kembali usia diri. Subhanallah, rupa-rupanya aku sedang di akhir-akhir garisan kehidupan. Walaupun kata orang umurku masih awal dewasa, tetapi nasihat dari 'orang-orang agama' membisikkan agar senantiasa meletakkan diri berada pada garisan-garisan terakhir sebuah perjalanan.

     Saat ini, sempat aku terbaca sebuah diari maya bertajuk 'Saat itu...'. Kata 'dia', saat itu membahagiakan. Maha Suci Allah, memang benar saat itu jua amat membahagiakan bagiku. Siapa sangka haruman Cahaya Kewangian jauh dari wilayah selatan sudi membawa diri ke wilayah timur. Hadirnya bukan sendirian, tetapi ditemani bersama ahli usrah tersayang.

     Saat itu, salam dihulur dibalas senyum bersambut. Kehadiran dia dan keluarga membawa bersama erti sebuah pengorbanan. Berkorban demi kesucian cinta. Maka dengan penuh rela aku menyambut pengorbanan itu tanpa rasa terpaksa. Ketahuilah bahawa pada saat itu hatta saat ini, hati dan jiwa telah kupertaruhkan sepenuhnya untuk kembali membalas setiap pengorbanan yang telah mereka pertaruhkan.

     Sejujurnya yang terzahir, belum pernah ada yang datang bertandang ke teratak usang ini atas tujuan 'membina sebuah masjid'. Tapi yang pertama hadir, adalah dia. Diharapkan dia yang pertama dan dia yang terakhir buatku. Mungkin saat itu teramat singkat masanya untuk mengenali dengan lebih dekat antara dua usrah yang baru bertemu. Namun, waktu yang sesingkat itu telah digunakan sebaiknya. Akhirnya dapat juga aku bersua muka dan berbalas kata dengan insan yang bergelar 'Ayah' dihatinya, juga pertemuan dengan 'Mama' buat kali yang kedua. Tak dilupakan yang lain-lain, terutama sekali jejaka tampan, tunggal lelaki dan bongsu iaitu dikman. 'Sinar matamu tersirat sejuta kebahagiaan'.

Alhamdulillah...lengkap sebuah keluarga disatukan dengan sebuah lagi keluarga.

     Saat itu juga, kenanganku disingkap kembali. Foto-foto lama aku dan usrah dibelek satu persatu. Bermula dari kehidupan Abah dan Umi hinggalah saat ini. Jelas, diriku bukan lagi rahsia baginya. Siapa aku yang dulu dan siapa aku kini, telah berada dalam pengetahuannya. Mungkin juga telah disimpan dalam hatinya. Aku terharu dengan kejujurannya walaupun terpaksa menahan malu akibat terdedah segala kisah-kisah kecilku. Namun tak dinafikan, gabungan rasa itu benar-benar membahagiakan.

     Saat ini, aku semakin menyedari bahawa aku yang dulu adalah tetap sama dengan aku yang kini. Walaupun aku sering ingin menjadi yang lain dari diriku, ternyata ketulusan hati kecil tak mampu diselindungi oleh HATI besar. Sekeras mana pun usahaku, aku tetap menjadi diriku.

     Saat ini semakin genting buat kehidupanku. Aku perlu berfikir tugas yang lebih berat berbanding yang sebelumnya. Antara yang pertama dan yang utama. Antara yang perlu didahulukan dan yang perlu dikemudiankan. Segalanya perlu aku fikirkan mula dari saat ini. Ya, Saat ini! Hari-hari yang akan aku tempuh kelak, bukan lagi zaman kanak-kanakku yang hanya tahu meminta pendapat dan pendapatan dari abah ummi, bukan lagi zaman membazirkan masa dan wang sesuka hati, bukan lagi zaman bermain-main dan sebagainya yang bukan-bukan.

     Zaman ini adalah zaman kritikal. Aku perlu terbang sendirian tanpa bergantung lagi pada sesiapa. Bukan menafikan kewujudan abah dan ummi tetapi inilah prosedur sebuah kehidupan. Sang helang akan mengajar anaknya terbang sehingga benar-benar mampu terbang sendirian. Setelah lulus sekolah penerbangan, si anak akan meminta restu dari si ibu untuk terbang mencari kehidupan sendiri. Mencari makan, tempat tinggal, dan pasangan. Begitu juga dengan aku sebagai manusia. Saat ini, aku perlu memikirkan tentang erti kehidupan yang sebenar.

     Sepertimana mereka-mereka yang dulunya pernah lalui, kini tiba pula saatku. Dia telah hadir dalam hidupku meminta aku memenuhkan ruangan hatinya, maka dengan rela aku menyambut pelawaannya. Namun, aku bersalah kerana pada saat aku menerima cintanya, hidupku masih bergantung pada orang tua. Saat itu, aku masih kosong harta, cetek ilmu juga kurang pengalaman.

     Untuk itu, diari 'Saat ini' akan menjadi lembaran gerak hati untuk aku lebih tabah menyelusuri denai-denai hari. Ke arah hidup yang sebenar-benar kehidupan. Dulunya, aku yang ingin mengikat kata setia dengannya. Maka jawapannya pada waktu itu masih samar dilindung kabus. Tapi kini, kata putus telah tersurat agar ikatan disimpul akhir tahun hadapan. "InsyaAllah, aku akan cuba penuhkan impianmu kerana ia juga impianku." Walau bagaimanapun, aku tak mampu berjanji. Tapi bukan bererti aku tidak mahu berusaha. Jika kali ini pintu rumah telah terbuka seluasnya, harapanku agar ia tidak ditutup sebelum aku melunaskan segala janji. Semoga aku diberi keizinan untuk masuk dan menghulur tanda sebagai janji kesetiaan.

InsyaAllah... Sedetik, dua detik, tiga detik...mudah-mudahan cerita kita sempurna. =)


~perisaimahkota

1 comment:

ana_liyana said...

huhu~ tenang ati baca nih..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails